Kamus Dewan Perdana

Terbitan khas DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

DBP (Cetakan Kedua, 2021)
2529 halaman

RM200.00

Only 1 left in stock

Product ID: 26276 Subject: Sub-subjects: , , ,

Kamus Dewan Perdana merupakan kamus bahasa Melayu terbesar dan terlengkap yang dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka meliputi lebih daripada 120,000 entri dan subentri merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun. Sejak penubuhan DBP pada tahun 1956, projek penyusunan kamus merupakan salah satu aktiviti utama dengan penerbitan Kamus Dewan pada tahun 1970 sebagai buah tangan pertama. Kemudiannya, dikemaskinikan kepada Kamus Dewan Cetakan Kedua (dengan tambahan) (1984), Kamus Dewan Edisi Baharu (1989), Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), dan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005).

Selari dengan perkembangan ilmu, khususnya dalam bidang leksikografi, tercetus pemikiran untuk menghasilkan sebuah kamus umum yang lengkap yang dapat mencerminkan perkembangan kosa kata mutakhir bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu dan aspek kehidupan, baik dari segi politik, budaya, sains dan teknologi, industri, sejarah, undang-undang, pertanian dan lain-lain, dengan berbantukan teknologi komputer. Langkah pertama adalah merealisasikan Pangkalan Data Korpus DBP yang menjadi asas atau prasarana utama dalam penyusunan Kamus Dewan Perdana. Seiring dengan perkembangan teknologi, DBP mengubah kaedah kerja daripada kaedah lama, iaitu penggunaan kad bahan dan penaipan secara manual kepada penggunaan komputer sepenuhnya dalam proses analisis konkordans, pendrafan, penyuntingan, penyemakan dan penyediaan manuskrip bersih.

Kamus Dewan Perdana mempunyai ruang lingkup yang amat luas, mencakupi tempoh lebih satu abad dengan jumlah entri lebih daripada 120,000 entri dan subentri. Setiap entri dan subentri diberikan huraian makna berasaskan analisis yang baharu, di samping maklumat ejaan Jawi, sebutan, kelas kata, label, nota pengguna dan contoh penggunaan serta etimologi bagi sekitar 7000 entri yang terpilih. Kamus Dewan Perdana tampil dalam saiz yang lebih besar dengan reka letak yang terbahagi kepada tiga lajur bagi setiap halaman, serta susun atur entri, subentri dan maklumat bahasa yang mudah dibaca dan difahami pengguna. Persembahan keseluruhan kamus ini dijangka dapat memenuhi keperluan pengguna sasarannya, iaitu penutur asli bahasa Melayu dan pengguna sasaran sekundernya, orang bukan penutur asli yang mahir menggunakan bahasa Melayu. Secara umumnya, pengguna sasaran kamus ini ialah pengguna dewasa daripada pelbagai lapisan masyarakat, latar belakang pendidikan dan bidang pengkhususan.

Kamus Dewan Perdana merupakan kamus bahasa Melayu yang pertama di dunia yang memanfaatkan data korpus dan data web sebagai sumber data utama dalam penyusunannya. Korpus yang agak besar dan luas serta pelbagai sumbernya yang disokong oleh perisian pengekstrakan data yang pintar telah membolehkan para penyusun kamus memanipulasikan data secara optimum untuk menghasilkan huraian kata bahasa Melayu yang andal. Kamus ini disusun berikutan ledakan maklumat dan perkembangan teknologi serta penemuan baharu yang merentas pelbagai bidang ilmu dan kehidupan. Perkara ini menyebabkan timbul keperluan untuk menghasilkan kamus baharu yg lebih besar dan lengkap daripada Kamus Dewan yang sedia ada.

Seiring dengan perkembangan baharu dalam amalan perkamusan, pasukan penyusun kamus ini menggunakan pendekatan terkini dalam menganalisis data yang jauh lebih besar untuk mendapatkan gambaran sebenar pemakaian kata oleh pengguna bahasa Melayu. Di samping itu, pendekatan memanfaatkan informan bagi kata dialek dan kata bahasa serumpun, serta khidmat pakar untuk kata pelbagai bidang ilmu digunakan.

Sewaktu Kamus Dewan Perdana dirancang penyusunannya pada tahun 1990, DBP sedang berunding dengan pihak Universiti Sains Malaysia untuk membina Korpus DBP, Pangkalan Data Leksikon dan Sistem Penulisan Kamus yang dijangka akan mempermudah penyusunannya. Dengan andaian ketiga-tiga projek ini terlaksana dalam tempoh yang singkat, kamus ini disasarkan terbit pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, disebabkan pelbagai kekangan dan kendala, hanya Korpus DBP yang terbangun. Saiznya pula, sehingga tahun 1998, cuma mencapai 26 juta kata berbanding dengan 200 juta kata yang diperlukan untuk penyusunan kamus ini.

Dalam keadaan ini, yang mampu dilaksanakan ialah kerja-kerja asas seperti penyediaan sistem penyusunan, perakaman kata baharu pada kad bahan dan kajian struktur entri dan subentri Kamus Dewan Edisi Ketiga. Sementara menunggu Korpus DBP mencapai saiz yang memadai untuk menghasilkan entri kata umum, beberapa strategi digunakan pada tahun 1998 untuk membina entri. Antaranya termasuklah bekerjasama dengan 82 informan untuk membina entri dialek dan bahasa serumpun. Selain itu, khidmat lebih daripada 45 orang pakar dimanfaatkan untuk menyemak, mengesahkan dan menambah entri pelbagai bidang ilmu. Pendrafan dan pengeditan kata umum dilaksanakan dari tahun 2000 hingga 2017.

Pada penghujung tahun 1980-an, komputer digunakan dalam penyusunan kamus di DBP hanya sebagai alat perakaman dan penyimpanan data. Pada masa itu, dunia leksikografi Barat telah pun membina pangkalan data berkomputer yang dapat dimanipulasikan oleh penyusun kamus untuk mencapai dan menganalisis data, serta mendraf dan mengedit entri kamus. Agar perkamusan Melayu seiring dengan perkembangan di Barat, DBP dengan kerjasama USM telah membangunkan Korpus DBP yang termuat data mentah daripada pelbagai sumber bercetak. Himpunan, data ini penting bagi penyusun kamus untuk mendapatkan gambaran penggunaan sebenar penutur asli bahasa Melayu. Pemasukan data ke dalam sistem bermula pada pertengahan tahun 1990-an dan bertambah dari tahun ke tahun dan sehingga tahun 2018 berjumlah lebih daripada 113 juta. Walaupun jumlah ini kelihatan besar, namun bagi penyusunan kamus umum dan komprehensif, jumlah ini jauh daripada mencukupi. Oleh yang demikian, para penyusun terpaksa merujuk sumber data yang lain seperti web dan Malay Concordance Project (MCP).

Memang diakui bahawa web merupakan sumber data bahasa yang amat besar dan pelbagai serta berpotensi digunakan sebagai korpus. Dari satu segi, walaupun lombong data ini tidak ternilai kegunaannya tetapi dari segi yang lain, data dalan web menimbulkan beberapa isu, antaranya sama ada penyumbang data merupakan penutur asli bahasa Melayu atau tidak, kesahihan sumber data, kerancuan bahasa, serta pertindanari dan perulangan data. Oleh itu, penyusun mengambil sikap berhati-hati dan membuat penilaian serta tapisan sebelum memilih data untuk dianalisis.

Selain web, para penyusun turut merujuk MCP terutamanya apabila menangani entri kata klasik. MCP yang mengandungi 165 teks Melayu lama dengan jumlah 5.8 juta kata dibangunkan oleh Australian National University dan boleh diakses secara percuma dalam talian. Antara teks yang ada dalam MCP termasuklah Hikayat Hang Tuah, Syair Bayan Budiman dan Misa Melayu. Korpus DBP digunakan untuk mengoutput data kata carian bagi mendapatkan profil entri atau subentri yang ditangan untuk menentukan makna, pecahan makna, kelas kata, laras kata, bentuk terbitan, ayat contoh dan lain-lain.

Sidang Editor
Kata Pengantar
Pendahuluan
Panduan Pengguna
Panduan Penggunaan Kamus
Panduan Sebutan
Kependekan

A—Z

Weight3.732 kg
Dimensions28.7 × 21.9 × 8 cm
Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.