Kesultanan Melayu Melaka

MUHAMMAD YUSOFF HASHIM adalah Profesor Emeritus dalam bidang kesusasteraan Melayu lama dan sejarawan yang tersohor. Antara karya beliau yang lain adalah Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930 (Tempo, 1992), The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992), Tradisi Prasejarah: Pahang Darul Makmur 1800-1930 (Tempo, 1992), Persejarahan Melayu Nusantara: Kajian Mengenai Sumber, Penghayatan, Masalah dan Tafsiran Naskhah-Naskhah Terpilih Sejarah Melayu (Teks Publishing, 1988), Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991), Kesultanan Melayu Melaka: Kajian Beberapa Aspek Tentang Melaka Pada Abad Ke-15 dan Abad Ke-16 dalam Sejarah Malaysia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989) dan Syair Sultan Maulana: Suatu Penelitian Kritis Tentang Hasil Prasejarahan Melayu Tradisional (Penerbitan Universiti Malaya, 1980).

DBP (Edisi Kedua Cetakan Pertama 2015)
615 halaman

RM65.00

Kajian dan penulisan tentang Kesultanan Melayu Melaka telah banyak dibuat sama ada oleh sarjana tempatan mahupun oleh sarjana luar. Kajian dan penulisan yang paling diminati ialah sejarah kesultanan tersebut. Oleh sebab itu, hasil-hasil kesusasteraan dalam bidang dan disiplin sejarah seperti inilah yang paling banyak kita temui dalam berbagai-bagai bahasa seperti Melayu-Indonesia, Inggeris, Portugis, Belanda, Perancis, Cina, Tamil dan Jepun. Apabila membahaskan bahasa Melayu klasik, linguistik, Islam dan berbagai-bagai genre kesusasteraan dan kebudayaan per se untuk jangka masa kesultanan berkenaan, maka termasuk juga bahasa Polish dan Rusia.

Hal ini menggambarkan betapa popularnya kesultanan ini dalam ruang lingkup sejarah dan kebudayaan Melayu. Walau bagaimanapun, kebanyakan hasil tulisan ini adalah dalam bentuk rencana yang dimuatkan dalam jurnal, majalah berkala, bab atau sebahagian daripada buku dan kertas kerja. Tiada suatu pun penulisan yang pertaliannya baik, berbentuk buku, yang khusus membahaskan berbagai-bagai bidang sejarah dan persejarahan Kesultanan Melayu Melaka yang wujud sekitar tahun 1400 sehingga tahun 1511 yang dari segi geopolitiknya disebut Melaka sekarang.

Mulai dari tahun 1536, apabila terdapatnya teks Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu (yang dipercayai sebagai resensi terawal dan pertama wujud yang memperkatakan secara naratif dan secara “berhikayat” tentang sejarah sebuah kerajaan atau kesultanan Melayu di pinggiran timur pantai Selat Melaka dan yang terletak di bahagian barat tebing sebuah muara sungai di Semenanjung Tanah Melayu. Dengan adanya teks tersebut, maka wujudlah secara dokumentasi dan bukti bertulis tentang berbagai-bagai bidang bagi disiplin sejarah kerajaan atau kesultanan tersebut.

Sejarah Melayu telah dapat membuktikan kewujudan Kesultanan Melayu Melaka, walaupun sebagai dokumentasi sosial, teks ini bercorak dalaman. Sebaliknya, sebagai penulisan sastera yang bercorak sejarah, magnumopus Melayu ini telah menjadi pembekal sumber maklumat yang paling berharga untuk kita pada masa sekarang, iaitu tentang kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih kurang 111 tahun, sepanjang abad ke-15 dan pada awal abad ke-l6. Pembuktian sejarah ini diperkuat dan disokong pula oleh hasil penulisan semasa yang wujud seperti hasil kesusasteraan Melaka yang bercorak undang-undang. Oleh itu, sejarah dan kewujudan Kesultanan Melayu Melaka telah mula diketahui ramai.

Maklumat tentang Melaka beberapa dekad awal abad ke-15, sebenarnya diperkaya oleh laporan pelawat dan pedagang yang menyertai misi diplomat China ke Melaka, mewakili pihak Maharaja Yung-lo daripada Dinasti Ming. Namun hanya sekitar penghujung tahun 1960-an, barulah maklumat daripada laporan ini timbul dan seterusnya diselidik, kemudian digunakan sebagai sumber rujukan. Kewujudan laporan China ini sebenarnya telah disedari sejak lebih daripada setengah abad sebelum itu. Pada dekad akhir abad ke-19, Willem P. Groeneveldt, ketika menulis nota tentang Gugusan Kepulauan Melayu, Indonesia dan Tanah Melayu, menyebut bahawa rujukan untuk penulisannya diambil daripada sumber China yang turut menyebut tentang Melaka.

Apabila diketahui adanya sumber dari China ini, seterusnya digunakan untuk rujukan dan tafsiran, maka berbagai-bagai masalah tentang sejarah Melaka yang selama ini menimbulkan persoalan dan kekeliruan sejarah, telah dapat dijelaskan. Salah satu aspek masalah sejarah yang menonjol ialah perihal salasilah Kesultanan Melayu Melaka.

Apabila sumber peribumi daripada tradisi hikayat dan sumber Portugis gagal menghuraikan masalah salasilah ini, maka sumber China telah menjadi alternatif yang amat membantu untuk menghuraikannya. Hanya beberapa tahun selepas tahun 1511, terbit pula sebuah buku tentang Melaka, iaitu The Suma Oriental.

Penulisnya, Tomé Pires, yang berbangsa Portugis, melakarkan suatu gambaran yang jelas, khusus tentang masyarakat Melaka dari tahun 1400 sehingga tahun 1515, walaupun didakwa mengikut sudut pandangannya. Lakaran sejarah tersebut dibuat ketika beliau berada di kota kosmopolitan Melaka dari tahun 1512 sehingga tahun 1515, iaitu tahun-tahun awal penaklukan dan pendudukan (bangsa Portugis Eropah yang pertama ini di Melaka). Mungkin disebabkan Tomé Pires menyaksikan sendiri suasana pada dekaddekad awal zaman peralihan, iaitu daripada penguasaan Melayu kepada penguasaan Portugis, maka beliau bersikap condong ke arah Portugis, sambil cuba mempertahankan, mengekalkan dan memuji (?) nilai-nilai tulen keportugisannya dari segi etos, agama, kepercayaan dan pandangannya tentang dunia.

Tomé Pires telah menyaksikan suatu suasana baharu yang mungkin asing baginya dalam sebuah bandar pelabuhan, iaitu suasana keruntuhan secara geopolitik sebuah kuasa politik Melayu yang didakwanya lemah. Sekiranya kita ketemukan dua watak manusia, yang telah menggambarkan atau menaratifkan Melaka selama lebih seabad itu, iaitu antara watak Tomé Pires dengan watak Tun Seri Lanang atau perawi (seseorang yang menyalin semula sebuah naskhah lama dan dengan sesuka hati menokok tambah atau membuang kandungan naskhah yang disalin mengikut matlamat dan cita rasanya) Sejarah Melayu, iaitu salah satu daripada versi yang tertua, kita akan dapat melihat perbezaan hitam dan putih antara kedua-duanya.

Satu watak dengan sifat kemelayuan dan yang satu watak lagi dengan sifat keportugisan! Dalam konteks inilah maka sumber dari China tadi memainkan peranan sebagai “pihak tengah” yang cukup penting. Walau bagaimanapun, keistimewaan lakaran Tomé Pires terletak pada kedudukan individunya, iaitu beliau mengamati sesuatu yang paling hampir dengan masa hidupnya. The Suma Oriental merupakan sumber primer dalam salah satu bahasa Eropah yang pertama tentang Melaka.

Oleh itu, semasa menulis tentang Melaka, mungkin Tomé Pires masih dapat menyaksikan kepulan asap yang telah menghanguskan Istana Melaka, masih dapat melihat air mata wanita Melayu Melaka yang belum kering sebab meratapi suami mereka yang gugur dalam peperangan, dan masih dapat melihat sisa-sisa serta kesan peninggalan sebuah kesultanan Melayu. Oleh yang demikian, dengan sendirinya sumber primer Portugis yang lain tentang Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 menjadi kurang penting. Braz de Albuquerque, iaitu anak Afonso de Albuquerque, telah menulis buku yang bertajuk The Commentaries of the Great Afonso de Albuquerque, Second Viceroy of India (diselenggarakan oleh Walter de Gray Birch) tentang Melaka dan kegiatan ayahnya di sana, sedangkan beliau sendiri tidak pernah ke Timur.

Beliau menulis berdasarkan catatan diari ayahnya sahaja. Beliau memuji ayahnya dengan menggunakan daya imaginasi yang sungguh keterlaluan. De Eredia telah menulis perihal Kesultanan Melayu Melaka kira-kira 100 tahun selepas kuasa Melayu ini lenyap dari bumi Melaka, walaupun beliau lahir dan dibesarkan di Melaka pada abad ke-l7.

Francois Valentyn yang berbangsa Perancis menuliskan hal yang sama hampir 200 tahun selepas tahun 1511, iaitu pada dekad-dekad awal abad ke-18. Begitu juga dengan hasil tulisan orang Portugis yang lain tentang Melaka pada abad ke-15. Penulis seperti Joao de Barros, de Castanheda, de Diogo de Couto, Duarte Barbosa dan de Correa (catatannya dalam Lendas da India), semuanya berlandaskan sumber sekunder belaka, dengan tafsiran masing-masing tentang masyarakat Melayu di Melaka yang beraneka ragam.

Ketiga-tiga kelompok sumber yang saling berasingan tentang Melaka ini, iaitu sumber peribumi Melayu, China dan Portugis, merupakan landasan sumber bagi membahaskan berbagai-bagai aspek sejarah kebudayaan dan Kesultanan Melayu Melaka. Kesemuanya menjadi sumber primer. Bermula daripada ketiga-tiga kelompok sumber inilah maka lahir dan muncul hasil tulisan yang lain tentang Melaka, sama ada dalam bahasa tempatan mahupun dalam bahasa asing.

Oleh sebab hampir kesemuanya dicetak dan diterbitkan, maka hasil tulisan ini menjadi sumber sekunder. Apabila sumber primer dan sumber sekunder digabungkan, maka sekarang terdapatlah berbagai-bagai hasil tulisan semasa tentang Kesultanan Melayu Melaka. Ada juga penulis dan pengkaji yang dapat menampilkan sumber primer yang baharu dan sumber yang belum pernah diketahui selama ini. Perbezaan hasil tulisan penulis ini hanya disebabkan oleh kaedah yang mereka gunakan untuk mendekati bidang masing-masing. Hal ini termasuk cara penyampaian mereka berdasarkan disiplin yang digunakan dengan tafsiran yang berlainan, merujuk pemahaman masing-masing terhadap sumber primer yang sedia ada dan bahan-bahan sekunder yang pernah ditulis dan yang mereka peroleh.

Kesan-kesan dan bahan tinggalan purba yang bukan bercorak tulisan dapat menambah koleksi sumber primer tentang Melaka. Sumber primer yang bercorak demikian yang terdapat pada hari ini termasuklah batu nisan beberapa orang raja Melaka, keping-kepingan wang logam yang tercatat nama raja dan jangka masa pemerintahan mereka, dan berbagai-bagai jenis keris Melayu yang terdapat di Museu do Oriente di Portugal. Daripada bahan-bahan rujukan seperti inilah berbagai-bagai aspek sejarah Kesultanan Melayu Melaka dapat dihuraikan dalam buku ini.

Huraiannya, secara relatif, terbahagi kepada tiga bahagian yang umum, iaitu pertama, bahagian sumber yang membekalkan pengetahuan kepada kita tentang kesultanan tersebut; kedua, bahagian sejarah yang dibina dan ditafsirkan daripada nilai, pendapat dan pengamatan penulis buku ini sendiri, dengan merujuk maklumat dan fakta daripada sumber yang dibekalkan tadi; dan ketiga, bahagian persejarahan Melaka dalam konteks persejarahan negara ini, persejarahan Selat Melaka dan persejarahan alam Melayu ini secara umumnya.

Bahagian sumber dan tafsiran sejarah sumber-sumber tersebut ada dibincangkan dalam Bab l, Bab 2, Bab 3 dan Bab 4. Bagi sumber sastera daripada jenis sejarah, penulis menjurus aspek yang lebih kompleks, iaitu aspek filologi dan interpretasi naskhah. Penulis berpendapat bahawa bukanlah semudah dan sewenangwenangnya bahan-bahan ini dapat digunakan sebagai sumber sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Saringan mesti dilakukan terlebih dahulu. Gejala filologi yang terselindung antara sumber-sumber ini perlu dipertimbangkan. Begitu juga terhadap sumber-sumber asing dari China dan Eropah (Portugis). Etos sejarahnya haruslah pula dilihat dan dianalisis secara kritis. Daripada proses analisis dan penyaringan inilah, maka, fakta-fakta (besar dan kecil) diperhitungkan bagi percubaan membina suatu panorama sejarah Melaka pada abad yang dibahaskan.

Pelbagai aspek sejarah Melaka yang sebenarnya, ada dibincangkan dalam Bab 5 hingga Bab 12 buku ini. Antara bidang sejarah yang dikaji termasuk tentang institusi Kesultanan Melayu Melaka, perihal beberapa orang tokoh yang telah mengukir sejarah dalam persejarahan Melaka itu sendiri, hal ehwal undang-undangnya, isu tentang tradisi politik dan sistem pentadbiran Melaka yang selalu dibincangkan itu dan nilai-nilai Islam yang terdapat dalam perundangan Melaka serta aspek kemasyarakatan Melaka itu secara umumnya. Kota Melaka pada abad ke-15 merupakan sebuah entrepot. Sebagai kota atau bandar pelabuhan, kekuatan dan ketahanannya dapat dikekalkan kerana adanya kegiatan dan usaha-usaha berdagang secara besar-besaran. Apabila diambil kira kedudukan Melaka sebagai kuasa kelautan Melayu, kegiatan dan usaha inilah yang mendasari faktor ekonominya.

Faktor inilah juga yang menjadikan Melaka sebagai kuasa di bahagian barat laut Nusantara yang cukup unggul. Melaka sebenarnya menjadi penyambung rantaian laluan perdagangan di laut di antara bahagian Timur dengan bahagian Barat dunia. Melaka menjadi sebahagian daripada sistem perjalanan dan perdagangan dunia yang amat penting sepanjang abad ke-15 dan beberapa abad selepas itu. Tomé Pires pernah menyebut bahawa sesiapa yang dapat menguasai Melaka, mereka juga akan dapat menguasai Venice di Eropah. Oleh itu, matlamat ekonomilah yang menyebabkan Portugis bersungguh-sungguh mahu menguasai dan menakluki Melaka. Alasan dan sebab yang lain diada-adakan sahaja.

Dalam Bab Perdagangan dan Perkapalan Melayu Melaka. buku ini cuba menghuraikan beberapa hal tentang perdagangan dan perkapalan orang Melayu yang telah menguasai sebahagian besar daripada kegiatan ekonomi di Melaka, di samping bangsabangsa pendatang yang lain. Pengetahuan kita tentang tajuk ini akan dapat membantu kita untuk memahami keadaan Melaka yang sebenarnya. Kita juga akan dapat memahami pergolakan sejarah yang terjadi di Melaka menjelang tahun 1511 dan keadaan selepasnya. Sehingga kini, memang tidak banyak pengkaji yang meneliti tentang perdagangan dan perkapalan orang Melayu.

Para pengkaji itu tidak berani untuk menghuraikan hal ini dalam konteks dan keseluruhan sistem masyarakat dan kegiatan ekonomi di Melaka. Bukan sahaja maklumat tentang perkara ini terbatas, malah gambaran tentang perkara ini dalam sumber tempatan dan sumber peribumi adalah kabur dan sukar untuk ditafsirkan. Teks undang-undang Melayu seperti Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka memang amat penting untuk menjadi sumber sejarah, tetapi soal filologi dan penggunaan bahasa klasik dan bahasa praklasik, kerap membingungkan pembaca.

Walau bagaimanapun, apabila digabungkan semua sumber, iaitu sumber peribumi, sumber Portugis dan laporan pelawat dari China, maka gambaran tentang perdagangan dan perkapalan Melayu pada keseluruhan panorama sejarah ekonomi Melaka semakin jelas dan meyakinkan. Salah sebuah hasil tulisan yang terawal dan kritis tentang hal ini dalam bahasa Eropah telah ditulis oleh sarjana Belanda, Meilink-Roelofsz. Sarjana wanita ini merujuk secara kritis pada ketiga-tiga kelompok sumber tersebut. Anehnya, apabila beliau menilai dan merumuskan pendapat tentang perdagangan dan perkapalan Melayu, beliau kerap merujuk dan membandingkan dengan sistem perdagangan yang terdapat dalam kalangan masyarakat pedagang di Eropah atau dengan sistem perdagangan yang terdapat di Parsi atau di India.

Hal ini mungkin bertujuan untuk meyakinkan lagi pembaca tentang sistem perdagangan yang dibahaskan, tetapi sistem tersebut belum pemah diperkatakan sebelum tahun 1960-an. Mengapakah harus membandingkan keadaan, suasana dan masyarakat serta tempat yang berbeza? Apabila ini dilakukan, dikhuatiri kelak, sesuatu dan setiap yang terjadi dan yang terdapat di Timur, akan didakwa sebagai pengaruh langsung atau tidak langsung dari luar dan dari Barat. Bagaimanakah pula kelak corak perdagangan tempatan atau Melayu?

Kemuncak perbincangan buku ini terdapat dalam Bab akhir, iaitu Epilog: Melaka dalam Tradisi Sejarah Serantau dan Sejarah Negara. Bab ini membincangkan Melaka dari konteks sejarah serantau dan sejarah negara Malaysia. Bab ini merupakan hasil rujukan penulis buku ini daripada sumber-sumber tentang Melaka. Kini terdapat dua pendapat tentang tradisi Melaka dalam kalangan para sarjana tanah air, pertama, sarjana yang melihat Melaka sebagai asas bagi persejarahan Malaysia; dan kedua, sarjana yang memerhatikan Melaka sebagai sebahagian daripada sistem kesinambungan sejarah umat dan kebudayaan Melayu di sekitar Selat Melaka.

Sekiranya diperhatikan persejarahan Malaysia dengan lebih khusus, akibat perkembangan dan norma serta keadaan politik selepas tahun 1824, pendapat sarjana yang pertama mungkin berkaitan. Namun yang demikian, apabila giat melakukan kaji selidik berhubung dengan tradisi persejarahan Malaysia sebelum tahun 1400, pendapat demikian masih terbuka untuk perbincangan. Haruskah persejarahan Malaysia bertolak dan mengundur lebih daripada tahun 1400?

Bab yang akhir ini akan cuba menjawab soalan tersebut. Tradisi persejarahan umat Melayu Melaka tidak harus dilihat daripada konteks geopolitik Melaka (atau Melaka sebenar) itu sendiri. Tradisi persejarahan itu patut diteliti dalam konteks kesinambungan kuasa, kebudayaan dan politik Melayu dari zaman-zaman sebelumnya, iaitu, zaman Singapura dan zaman Palembang dan Jambi dalam tradisi Srivijaya. Melaka hanya merupakan tapak peralihan petempatan daripada tapak petempatan sebelumnya, iaitu di Singapura dan di Palembang dan Jambi. Selepas tahun 1511 dan menjelang penghujung abad ke-l6, tapak petempatan kuasa dan politik ini berpindah di Melaka dan bertapak pula di Johor Lama. Apabila empayar Melayu yang akhir ini mula retak di sekitar tahun-tahun 1720-an (akibat pengaruh politik Minangkabau, Bugis dan Melayu yang masih bertahan) akhirnya pada awal abad ke-19, empayar ini telah berpecah. Kerajaan Melayu tradisional ini bertapak pula di Pahang, Johor, Selangor, Riau dan Lingga.

Oleh yang demikian, kesinambungan tradisinya jelas kelihatan. Segala-galanya bermula dari Palembang-Jambi atau mungkin bermula dari sebarang kerajaan Melayu yang lebih tua daripada itu, iaitu lebih awal dari abad ketujuh. Apabila kita memperkatakan pula kuasa dan politik tradisional Melayu dalam konteks dan konsep kelautan serantau, pendapat ini semakin menonjol dan kukuh. Hampir seluruh kuasa politik dan kerajaan Melayu tradisional ini berlandaskan kelautan, iaitu kawasan perairan di sekitar Selat Melaka. Kerajaan Melayu tradisional ini menjadi ejen pencorak, perubah kebudayaan dan politik dan menjadikan kegiatan ekonomi sebagai kegiatan yang sangat berperanan dan bermakna.

Mungkin Melaka merupakan suatu pengetahuan dan pengalaman yang baharu bagi persejarahan Malaysia, hanya akibat pengalaman dan perubahan politik yang dialaminya selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian itu ialah ciptaan orang asing, Inggeris dan Belanda, bukan dilakukan oleh bangsa dan umat Melayu sendiri. Sentimen “kemelakaan” dan ikatan kemelayuan yang berteraskan zaman Kesultanan Melayu Melaka masih terus kukuh dalam kalangan penduduk peribumi di persekitaran Selat Melaka. Ikatan ini disimpulkan oleh proses dan tradisi persejarahan yang telah pun berlaku.

Weight 0.915 kg
Dimensions 15.1 x 3.1 x 22.6 cm
Edition

Format

ISBN

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Kesultanan Melayu Melaka”

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You may also like…

  • Kegemilangan Maritim Kesultanan Melayu Melaka

    , RM40.00
  • Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu

    , RM30.00
  • Trade and Society in the Straits of Melaka

    Trade and Society in the Straits of Melaka: Dutch Melaka and English Penang, 1780-1830

    , , , , RM85.00
  • The Singapore and Melaka Straits
    Out of stock

    The Singapore and Melaka Straits: Violence, Security and Diplomacy in the 17th Century

    , , , RM65.00
  • Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15

    Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15

    , , RM25.00
  • Sulalat al-Salatin Perteturan Segala Raja-Raja

    Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturan Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu)

    , , RM30.00