Kritikan Teori Kejadian Alam Semesta

SHAHARIR MOHAMAD ZAIN adalah Profesor Emeritus dalam bidang matematik. Beliau adalah pemegang biasiswa Colombo (1967 dan 1975) dan perintis pelajar aliran Melayu ke seberang laut.

Penerbit UM (Cetakan Pertama, 2014)
172 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM46.00

In stock

ISBN: 9789831007723 Product ID: 2345 Subjects: , Sub-subjects: , ,

Buku Kritikan Teori Kejadian Alam Semesta merupakan penelitian kritis Shaharir Mohamad Zain terhadap teori kejadian alam semesta iaitu Teori Deguman Besar (TDB) dan Teori Alam Mengembang (TAMbang), yakni tentang asal mula dan nasib alam semesta ini, seolah-olah sudah dianggapnya maksum atau teori terakhir. Karya ini ditulis untuk memperkatakan sebuah judul fizik (khususnya astronomi dan kosmologi) yang bukan sahaja masyhur dalam kalangan fizikawan tetapi juga amat popular dalam kalangan penulis umum tentang alam semesta ini yang dikaitkan dengan agama umatnya terutamanya penulis Kristian dan Islam. Yang lebih dominannya dalam kalangan penulis popular ini ialah yang membicarakan teori kejadian alam semesta ini menerusi Teori Deguman Besar dan Alam Semesta Mengembang sebagai sebuah teori yang maksum, iaitu sebuah teori yang benar-benar serasi dengan ajaran agamanya, khususnya umat Kristian dan Islam itu. Oleh itu masyarakat umum di persembahkan dengan suatu yang amat bertentangan dengan yang sedang berlaku dalam kom uniti fizikawan (astronomiawan dan kosmologiawan) itu sendiri sejak teori ini diutarakan pada tahun I922 oleh sarjana Rusia, Friedman, dan dipopularkan di dunia bukan blok komunis oleh fizikawan Belgium yang juga seorang Jesuit bernama Lemaitre hampir sedasawarsa kemudian. Pempopularan ini dilakukan dalam tahun l930-an, dan serentak dengan itu pula disokong oleh sarjana Amerika Syarikat bernama Hubble berasaskan data beliau tentang tabii bintamabor atau galaksi di luar Bimasakti, iaitu Andromeda, yang ditafsirkannya sebagai berlakunya pengembangan alam semesta ini yang dianggap serasi dengan teori Friedman itu.

Tafsiran mengembangnya alam semesta inilah yang memberi hipotesis berlakunya Deguman Besar (DB) yang dianggap berlaku pada asal mula kejadian alam semesta ini yang dibayangkan mengakibatkan pengembangan itu berlaku. Kemudian mekanisma DB itu diutarakan pada I948 yang mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan sarjana Barat hingga kini. Keadaan inilah yang mendorong penulisan buku ini. Asal-usul TDB dan kembarannya. TAMbang. dibicarakan. Segala kelemahan teori ini daripada perspektif fizik itu sendiri yang diutarakan oleh ramai fizikawan sejak 1920-an hingga kini dipaparkan. Yang agak baharunya ialah pemaparan segala kelemahan hujah penulis popular tentang benarnya teori ini berasaskan ajaran agama Kristian dan Islam. Semuanya dipaparkan dengan tujuan menghakiskan pandangan ilmuwan di luar bidang ini dan orang awam terhadap maksum nya teori ini. lni disertakan pula dengan senarai rujukan yang agak tuntas dalam bidang ini bagi memudahkan para penyelidiknya kelak. Sekali gus diharapkan buku ini dapat memberi sedikit semangat untuk mengkritik ilmu semasa, suatu sikap yang perlu bagi kemajuan ilmu sepanjang masa. Muslim khususnya, amatlah perlu bersikap kritis terhadap ilmu semasa ciptaan Barat yang kebanyakannya mencabar agamanya.

TDB atau di Indonesia, Teori Dentuman Besar, dan TAMbang sudah lumrah dibicarakan dalam dunia Islam sebagai sebuah teori yang dianggap akrab dengan ajaran Islam, iaitu yang dianggap serasi dengan beberapa buah ayaht al-Qur’aan. Ini menjadikan dua buah teori ini adalah teori Islam, teori maksum, dan teori terakhir tentang asal-usul dan tuah-nasib alam semesta ini kelak. Sudahlah teori ini dicipta oleh orang yang apeduli agama, deisis dan bahkan ateis/mulhid tetapi tiba-tiba “bertaraf ilmu Islam”; ditambah pula dengan sering pula difitnahkan bahawa kedua-dua buah teori ini adalah teori ciptaan Einstein menjadikan cukuplah banyak isu yang patut diperkatakan dan di perbetulkan. Akan tetapi itu memerlukan keberanian yang lebih kerana seseorang berada di dalam penjuru dunia yang amat sunyi dan menakutkan, terutamanya di sini, di dunia penuh pro-kemapanan atau pro-kuasawan ini.

Di Barat keadaannya cukup berbeza. Sarjananya sendiri cukup kritis dan jiwanya jarang yang pro-kuasawan, mungkin mereka percaya pro-kuasawan/pro-kemapanan dan kritis adalah oksimoron. Di sana kedua-dua teori ini sudah lama (sejak tahun 1970-an lagi) dan sedang menerima kritikan yang dahsyat dari banyak penjuru, dari saijana normal di sana (iaitu sarjana apeduli agama, sekular, deisis atau ateis) dan sarjana yang abnormal, iaitu yang peduli agama (Kristian), atau yang semata-mata radikal dan anarkis sehingga pada masa yang sama banyaklah teori alternatif diutarakan. Namun kegegeran ilmiah di Barat ini nampaknya tidak sam pai kepada komuniti ilmuwan Muslim di mana jua pun. Buku laris jualan sarjana besar dalam bidang ini, Stephen Hawking, berjudul A Brief History of Time terbitan pertamanya 1988, memang dengan pantasnya diterjemah kepada bahasa Melayu Indonesia dalam tahun 1990 dengan judul yang agak berdaya karya, Riwayat Sang Kala, berbanding dengan terjemahan ke bahasa Melayu Malaysia beberapa tahun kemudian sebagai terjemahan harafiah sahaja, Sejarah Ringkas Masa.

Namun berlainan dengan pembaca di Barat, pembaca di Pascabima atau istilah ulama Petani abad ke-19 M, Malayuwiyah, atau mengikut istilah George Earl, ahli etnografi Inggeris pertengahan abad ke-19 M, Malayonesia, ini tidak memberi sebarang ulasan kepada buku ini kecuali menyanjungnya menggunung tanpa kesedaran seiota atau sebesar hama pun yang buku itu merendah-rendahkan ulama atau orang beragama pun, bahkan memperolok-olokkan atau memperlekeh-lekehkan Tuhan. Dalam keadaan inilah, penulis yang telah pun mengkritik teori Einstein dan model-model alam semesta berasaskan teori Einstein, di dalam bukunya Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains terbitan pertamanya 1987, menelaah karya Hawking itu untuk turut mengkritiknya seperti ilmuwan Barat tetapi dari perspektif Islam dan memuatkan kritikan itu di dalam suntingan kedua buku beliau itu terbitan tahun 2000. Rasanya itulah kali pertamanya teori besar Barat, teori Einstein dan penerapan besarnya, teori kosmologi Hawking, menerima kritikan dari perspektif Islam. Kritikan teori Einstein terdahulu dilakukan oleh Iqbal dalam tahun 1934 dalam karya masyhurnya, The Reconstruction of Religious Thought in Islam terbitan London dan diulang cetak beberapa kali sehingga yang terbaharunya setakat ini diterbitkan semula pada 2004 oleh Adam Publishers & Distributors, N. Delhi. Kritikannya itu hanya dilakukan dalam aspek konsep masa daripada perspektif Islam. Buku ini diterjemahkan kepada bahasa Melayu Indonesia pertama kalinya 1966 dengan judul, “Pembangunan Kembali Alam Pikiran Islam” terbitan P.T. Bulan Bintang, Jakarta; yang diterjemahkan lagi pada 2002 dengan judul “Rekonstruksi Pemikiran Agama dalam Islam”, terbitan AlMizan.

Malangnya tiadalah apa-apa sambutan dari dunia kesarjanaan Muslim hinggalah penulis buku ini sekarang melakukannya mulai 1987 hingga kini (Shaharir 1987, 2000, 2011, dan 2013). Kritikan yang menjadi landasan kepada kejadian alam semesta ini. iaitu Teori Einstein dilakukan oleh Tan Malaka 1943, Madilog, terbitan Widjaya, Jakarta 1951, tetapi itu hanyalah aspek pendekatan teori tersebut yang dianggapnya tidak cukup berlandaskan kehendak madilog (materialis-dialektika-logika) tajaannya, oleh itu katanya teori Einstein itu penuh idealisme sahaja dan tiadalah nilai kemanusiaan sebenarnya yang boleh dimanfaatinya. Ini pun tiada sambutan apa-apa dari sarjana Muslim selepasnya hingga kini. Apa pun nasib kritikan kami setakat ini, nampaknya sama seperti nasib kritikan mereka berdua itu juga, bak setitis embun di hujung rumput. Kritikan Iqbal dan Tan Malaka terfosil, diabai terdampar begitu sahaja atau memang dikambus oleh anak bangsanya sendiri yang terjajah. Kritikan kami pun tiada sambutan daripada sesiapa pun selain daripada pelajarnya yang mengikuti kursus “Sejarah dan Falsafah Sains”, tetapi itu pun berbentuk pengakuran dan pencurah ingatan sahaja. Itulah tahap pelajar yang ada di Malaysia—“Bapa borek anak rintik” atau “Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi”. Mereka tetap memuliakan penulis pengakur sains moden sahaja. Lagi pun penulis popular Muslim yang Islamis (cita Islam) tetap menulis genere “pengislaman ilmu” yang popular, iaitu sentiasa akur dan mengukuhkan keakurannya itu menerusi al-Qur’aan. Hampir semua teori sains moden, kecuali Teori Evolusi Darwin atau Darwinan, “diislamkan” atau “diislamisasikan” dengan cara begini. “Pengislaman ilmu” sebegini digelar oleh kumpulan ljmalis yang diketuai oleh Ziauddin Sardar dan bergerak cergas dalam satu lagi gaya pengislaman ilmu dalam tahun 1990-an, sebagai penganut Bucailleisme atau mengikut gelaran penulis berbahasa Arab sebagai penganut i’jazisme.

Sudah tentulah “kaedah sains Islam” ini tidak diiktiraf oleh para sarjana yang cuba menerbitkan sains Islam menerusi gagasan pengislaman ilmu Seyyed Hossein Nasr, Isma‘il al-Faruqi, dan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang di Malaysia ini disintesiskan oleh sarjana ASASI. Buku Kritikan Teori Kejadian Alam Semesta sebuah karya bukan genre Bucailleis atau i’jazis tetapi genre pengislaman ilmu ASASI itu, iaitu pengkritikan ilmu menerusi perspektif Islam dan peribumi (iaitu penglslaman dan pemeribumian ilmu), dan penawaran penambahbaikan, atau penginovasian atau penteorian baharu sepenuhnya berasaskan sistem nilai Islam-peribumi. Tiada tempatnya ilmu Barat disanjung keabsahannya apatah lagi pengabsahan menerusi al-Qur’aan. Sebaliknya, sewajarnyalah al-Qur’aan dijadikan sebagai penimbang-tam dan sumber pengkritik ilmu kontemporer bukan sahaja ditunjukkan oleh buku ini tetapi lebih banyak bidang lain lagi seperti yang ditunj ukkan di dalam Shaharir 2012 dalam makalahnya, “Bagaimanakah al-Qur’aan dijadikan Sumber llmu“, makalah yang dibentangkan di Siri Jelajah llmu Selangor tajaan PAKSI di sepanjang tahun 2012 dan telah dicetak sebagai siri monograf PAKSI.

Senarai Rajah dan Jadual
Prakata
Petua Transliterasi
Senarai Singkatan

1. Teori Deguman Besar
2. Kritikan Spesifik Sarjana Barat
3. Tanggapan Sarjana Muslim
4. Teori Alternatif
5. Kosmologi Hindu-Buddha, Islam dan Melayu
6. Akhir Kalam

Glosari
Bibliografi
Indeks

Weight0.296 kg
Dimensions22.8 × 15 × 1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author