Layar Kata: Pertalian Sastera dan Filem membincangkan perihal adaptasi karya di Malaysia, yang merangkumi penelahan teori dan adaptasi, perbandingan teks sastera dengan filem adaptasi dan reaksi penulis tempatan terhadap fenomena dan pembudayaan filem. beberapa kajian dalam buku ini lebih kurang menjadi pintu pengenalan dan rujukan yang dapat meneruskan perbincangan sihat dalam perkembangan adaptasi karya di Malaysia. Kita sedia sedar bahawa pengumpulan dan penulisan kajian adaptasi filem sangat berkurangan di negara ini, namun kita juga amat menyedari bahawa usaha penyusunan kajian dalam buku ini merupakan salah satu detik bersejarah dalam penerbitan buku kajian sastera-filem. Projek penyediaan buku ini merupakan usaha sulung seumpamanya yang cuba membincangkan pelbagai isu, teori dan persoalan berkenaan adaptasi filem secara khusus, lebih-lebih lagi dalam meneliti perhubungan intim antara sastera dengan filem.
Perhubungan ini dibayangkan sebagai sebuah jambatan yang dapat menyatukan, atau sekurang-kurangnya meletakdudukkan pertemuan dan kehadiran sastera (kata) terhadap filem (layar) dan sebaliknya, justeru Layar Kata. Kesedaran akan perhubungan antara kedua-dua medium ini masih lagi berkurangan dalam pengetahuan pengajian kesusasteraan tempatan, begitu juga dengan pengajian filem kontemporari, apatah lagi yang mampu memberikan penilaian akan proses adaptasi itu sendiri. Dalam hal ini, berapa pihak sahaja yang sanggup mencuba untuk menteorikan cabang-cabang yang baharu apabila menyelami transaksi tekstual yang berlangsung sewaktu satu-satu proses adaptasi itu berlaku, baik daripada perspektif pengadaptasi, pengkritik mahupun penonton/pembaca.
Layar Kata dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Bahagian I, “Teori dan Adaptasi” menelaah beberapa teori filem dan sastera yang dibicarakan di dunia Barat dengan cabang kefahaman dan kesesuaian nadi perfileman-kesusasteraan di Malaysia.
Bahagian II, “Perbandingan Sastera dengan Filem” ialah bahagian yang paling banyak dibicarakan dalam buku ini — malah meneruskan tradisi pengkajian tekstual antara filem adaptasi dengan sumber asal yang biasa dilakukan dalam kajian kontemporari penyelidik, pengkritik dan penonton/pembaca di Malaysia. Bahagian ini merangkumi disiplin perbandingan antara dua medium, isu kesetiaan dan pengaplikasian teori yang tertentu, baik dalam pengajian filem, kesusasteraan mahupun budaya. Terdapat tiga jenis adaptasi karya yang disentuh, iaitu karya sastera tradisional, karya fiksyen moden dan karya luar negara. Hal ini menjadikan bahagian ini agak menyeluruh dari segi bahan adaptasi.
Bahagian III, “Reaksi Penulis Sastera terhadap Sinema” pula ialah bahagian tambahan yang cuba menerokai bukan sahaja bagaimana reaksi penulis tempatan terhadap fenomena dan pembudayaan filem mencernakan penghasilan karya baharu (yang kembali dalam bentuk patah perkataan) tetapi memaparkan hubungan antara filem dengan sastera bertimbal balik dan saling menghasilkan dialog/wacana yang berterusan.
Reviews
There are no reviews yet.