Linguistik Bandingan Bahasa Bidayuhik memperihalkan kajian perbandingan varian-varian bahasa Bidayuh yang dituturkan oleh etnik Bidayuh di Serian, Kuching, Bau dan Lundu serta kajian yang sama di Kalimantan Barat, Indonesia. Etnik Bidayuh adalah golongan minoriti di Sarawak dan jumlah penutur bahasa ini dianggarkan kira-kira 140,000 orang atau 8.290 daripada keseluruhan penduduk Sarawak. Perbandingan yang dilakukan pada sembilan varian Bidayuh ini menggunakan teori perbandingan kualitatif yang dianggap penting kerana teori ini berkemampuan memperlihatkan darjat hubungan antara bahasa-bahasa kerabat yang diturunkan daripada sumber bahasa purba yang sama. Kelompok bahasa Bidayuhik adalah kelompok bahasa yang diturunkan daripada rumpun bahasa Austronesia.
Kajian yang bersifat merentas sempadan geopolitik terhadap sembilan varian Bidayuhik sepertimana yang ada dalam buku ini adalah semata-mata untuk memperoleh satu hasil rekonstruksi dan klasifikasi yang lebih bersifat ilmiah dan bertanggungjawab. Sehubungan dengan itu, maka teori yang dimanfaatkan untuk merekonstruksikan dan mengklasifikasikan bahasa ini adalah menggunakan teori kualitatif bandingan bahasa seperti yang diutarakan oleh Crowley (1992), Fox (1995) dan Campbell (2001).
Aspek rekonstruksi dibuat melalui data yang diperoleh daripada sembilan varian bahasa Bidayuh dan dibandingkan pula dengan bahasa purbanya, iaitu Bahasa Melayu Polinesia Purba (PMP). Kewujudan inovasi mengukuhkan lagi kedudukan Bahasa Bidayuhik Utara Purba (BUP) sebagai satu kelompok bahasa yang tersendiri dan berbeza dengan kelompok bahasa turunan PMP yang lain.
Bahan bacaan berkaitan ilmu Linguistik Bandingan amat kurang di Malaysia. Di Barat ilmu Linguistik Bandingan sudah berkembang sejak abad ke-18 lagi, namun ilmu ini di Malaysia masih baru. Berdasarkan dua fenomena inilah, maka penulis berusaha untuk menulis dalam bidang ini setelah berada selama dua tahun di Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia.
Kajian ini dilakukan di Sarawak, yakni di Bahagian Pertama Sarawak, mencakupi daerah Kuching (Penrisseen), Siburan, Padawan, Hulu Sadong (Serian), Bau dan Lundu. Enam varian Bidayuh yang diteliti untuk kajian ialah varian Tibiyak, Benuk, Biatah, Sadong, Singai dan Rara. Kajian yang dilakukan di wilayah Kalimantan Barat mencakupi Kabupaten Bengkayang (Hulu Sambas) dan Kabupaten Sanggau (Hulu Sekayam). Tiga varian Bidayuh yang dikaji, iaitu varian Sungkung, Tawangtikam dan Bekayek.
Reviews
There are no reviews yet