Linguistik Sejarah: Pertumbuhan, Perkembangan dan Penyebaran Bahasa

ASMAH HAJI OMAR (b. 1940) adalah Profesor Emeritus dan Penyandang Kursi Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

DBP (Cetakan Pertama, 2022)
489 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM60.00

In stock

If you purchase this book you will earn 12 reward points!

Linguistik Sejarah: Pertumbuhan, Perkembangan dan Penyebaran Bahasa memberi interpretasi seluas mungkin kepada linguistik sejarah dengan membawa pembaca menjelajah ke seluruh dunia, menjenguk perkembangan yang berlaku dalam pembentukan masyarakat dan peradaban yang semuanya melibatkan pertumbuhan dan perkembangan bahasa. Kemajuan bahasa, termasuk sistem tulisannya, menggambarkan kemajuan peradaban komuniti bahasa berkenaan. Oleh itu, kandungan buku ini ditulis dengan gaya yang mudah, tanpa banyak jargon linguistik, supaya boleh difahami oleh sesiapa pun juga. Hanya satu bab sahaja yang bersifat “teknikal”, yang memperkatakan dan memberi petunjuk cara menerapkan kaedah linguistik bandingan historis. Linguistik Sejarah (Historical Linguistics) merupakan cabang ilmu linguistik, yang membincangkan liputan yang luas, serta kaedah dan teori bagi tiap-tiap cabang yang diperkatakan. Kebanyakan penerbitan mengenai bidang linguistik sejarah memberi tumpuan kepada linguistik sejarah bandingan, khususnya dalam rekonstruksi dan pengelompokan keluarga bahasa dan juga dialek.

Linguistik adalah ilmu yang boleh dimanfaatkan bukan hanya oleh mereka yang berminat dalam sistem dan struktur bahasa, tetapi juga oleh bidang lain, seperti psikologi, antropologi, etnologi, geografi, sosiologi, dan sebagainya. Kajian yang menerapkan teori dan kaedah ilmu tersebut mewujudkan cabang linguistik seperti psikolinguistik, sosiolinguistik, sosiologi bahasa, etnolinguistik, linguistik antropologi, dan geolinguistik. Linguistik sejarah seharusnya meliputi bidang-bidang yang disebut ini dengan memberi paksi diakronik atau sejarah dalam kaedah dan teori, ditambah pula dengan maklumat daripada primatologi, biologi, arkeologi, semiologi atau semiotik, sejarah tulisan, geologi, genetik dan paleontologi. Bahkan yang turut memperkatakan sejarah bahasa dari segi pertumbuhan dan migrasi penutur bahasa di muka bumi, dan dengan itu mengemukakan teori-teori baharu berhubung dengan tanah asal rumpun bahasa tertentu dan migrasi manusia ke tempat mereka berada sekarang, ialah pakar-pakar yang asal pengkhususan mereka ialah dalam bidang bukan linguistik. Minat mereka berkaitan dengan sejarah manusia, dan manusia tidak boleh dipisahkan daripada bahasa. Berdasarkan kajian mereka, bertambahlah istilah yang menggambarkan cabang baharu seperti “arkeolinguistik” dan “paleontolinguistik”.

Definisi dan liputan linguistik sejarah yang terdapat dalam buku ini boleh dikatakan luas. Teori mengenai perbezaan (atau juga persamaan) manusia dengan haiwan dibincangkan dengan panjang lebar, dari segi teori evolusi dan ciptaan Tuhan. Tumpuan diberi kepada sistem komunikasi yang ada pada kedua-dua jenis makhluk itu; perbezaan yang jelas dalam hal ini ialah wujudnya sistem lambang abstrak yang ada pada manusia, yang tidak ada pada binatang. Lambang semiotik seperti indeks dan ikon didapati digunakan oleh haiwan dalam komunikasi mereka, misalnya menerusi bunyi dan gerak-geri seperti yang ada pada monyet dan burung. Tetapi lambang-lambang ini bukan simbol yang abstrak, dan dengan itu bahasa binatang tidak dapat berkembang seperti bahasa manusia.

Sifat abstrak yang ada dalam komunikasi manusia tidak terhad kepada “pembunyian” bahasanya yang diperbolehkan dengan adanya bentuk filologi dalam tubuh badannya untuk mewujudkan artikulasi dan fonasi. Sifat abstrak ikut terserlah dalam sister tulisan dari berbagai-bagai peradaban. Selama in tulisan (yakni bentuk grafik yang memberi paksi visual kepada bahasa), dalam linguistik arus perdana, dianggap sebagai “artefak luar bahasa”, dan dengan itu diperkatakan dalam bidang sejarah seni khat. Oleh sebab itu, sejarah tulisan tidak dimasukkan dalam kurikulum linguistik. Dalam buku ini, sejarah evolusi sistem tulisan dimasukkan sebagai bahagian daripada linguistik sejarah. Tanpa sistem tulisan, peradaban di mana-mana pun juga tidak dapat melakarkan sejarah sepenuhnya. Sejarah sistem tulisan juga menunjukkan cara timbulnya sifat abstrak itu, yang mulanya berbentuk garis dan kemudian berevolusi kepada gambar, dan seterusnya kepada huruf. Evolusi sistem tulisan membawa kita kepada kefahaman tentang sejarah pemikiran manusia yang memerlukan alat atau kaedah untuk mengingatkan mereka kepada sesuatu yang telah berlaku atau yang akan dilakukan, yang dalam bahasa Inggeris dikenal sebagai mnemonic device.

Selalu timbul pertanyaan di kalangan orang awam tentang tanah asal bangsa dan bahasa mereka. Orang Melayu juga tidak sepi daripada pertanyaan ini. Jawapan kepada pertanyaan itu mengambil pertimbangan asal usul bahasa. Sesuatu bahasa merupakan anggota keluarga bahasa yang menuju kepada rumpun. Dari itu jawapan kepada orang Melayu dari mana asal bangsa dan bahasa mereka, terletak pada pertanyaan dari manakah asal usul bahasa dan orang Austronesia atau Melayu-Polinesia. Terdapat sebuah bab yang menghuraikan dan membincangkan berbagai-bagai teori mengenai tanah asal orang Austronesia/Melayu-Polinesia, dan arah migrasi mereka ke tempat: tempat yang ada sekarang. Pakar-pakar yang mengemukakan teori-teori itu mempunyai latar belakang ilmu yang berbeza-beza dan dengan itu jug tidak ada dua teori yang seratus peratus sama. Dua daripada teori-teori itu mengemukakan Kepulauan Melayu sebagai tanah asal orang Austronesia; yang lain mengemukakan tanah besar China, Taiwan, dan New Guinea. Masing-masing turut melakarkan arah migrasi mengikut letak tanah asal yang dicadangkannya. Tetapi semuanya setuju mengatakan bahawa kemahiran pelayaran dan pembinaan kapal bermula di Kepulauan Melayu.

Prakata

1. Takrif dan Cakupan Linguistik Sejarah
Pengenalan
Takrif Linguistik Sejarah
Cakupan Linguistik Sejarah
Awal Mulanya Linguistik Sejarah
Epistemologi Linguistik Sejarah
Linguistik Sinkronik dan Diakronik
Penggunaan Data Sinkronik untuk Tujuan Diakronik
Kesimpulan
Nota

2. Dari Manakah Datangnya Bahasa?
Pengenalan
Bahasa: Teori Keupayaan Sejadi
Aspek Biologis Bahasa Manusia
Aspek Psikologis Bahasa Manusia
Bahasa dan Teori Evolusi
Teori Teriakan dalam Evolusi Bahasa
Bahasa dan Teori Behaviorisme
Bahasa dan Otak: Teori Evolusi Serentak
Kesimpulan
Nota

3. Pertumbuhan Lambang Bahasa
Pengenalan
Pertumbuhan Unit Bahasa
Lambang dalam Kehidupan Manusia
Teori Lambang Saussure
Teori Lambang/Semiotik Peirce
Pertumbuhan Lambang dalam Sistem Semiotik
Pertumbuhan Unsur Bunyi
Pertumbuhan Unsur Gerak-Geri
Pertumbuhan Vokalisasi
Bilakah Tumbuhnya Lambang Bahasa?
Kesimpulan
Nota

4. Dari Lisan ke Tulisan
Pengenalan
Lambang Tulisan Bahasa Melayu
Zaman Prahuruf: Tradisi Lisan
Kaedah Pengingat
Dari Hieroglif Menuju Abjad
Sejarah Tulisan
Sistem Ideograf atau Ideogram
Sistem Silabari
Sistem Abjad
Kesimpulan
Nota

5. Penyebaran dan Penempatan Bahasa
Pengenalan
Penemuan Kawasan Baharu
Penempatan Lapisan Pertama
Penempatan Lapisan Pertama di Malaysia
Penempatan Lapisan Pertama di Lautan Pasifik dan Lautan India
Penempatan Lapisan Kedua
Penempatan Lapisan Kedua di Malaysia
Penempatan Lapisan Kedua di Kawasan Lain di Dunia
Penempatan Lapisan Ketiga
Faktor Pendorong Migrasi
Melayu Proto dan Melayu Deutro
Kesimpulan
Nota

6. Perkaitan Bahasa
Pengenalan
Kawasan Kepelbagaian Bahasa
Perkaitan Peminjaman
Perkaitan Tipologi
Perkaitan Genetik
Perkaitan Kawasan
Kesimpulan

7. Linguistik Bandingan Historis
Pengenalan
Perbandingan Bahasa sebagai Permulaan Sains Bahasa
Kaedah Rekonstruksi Dalaman dan Luaran
Penerapan Rekonstruksi Dalaman
Penerapan Rekonstruksi Luaran
Rekonstruksi dan Pengelompokan Bahasa
Perbandingan Unsur dalam Rangka Masa yang Berbeza
Leksikostatistik
Penerapan Kaedah Leksikostatistik
Leksikostatistik dan Pengelompokan Bahasa
Glotokronologi
Kesimpulan

8. Sejarah Bahasa dalam Kawasan: Dialektologi dan Geolinguistik
Pengenalan
Bahagian I: Dialektologi/Geografi Dialek
Permulaan Dialektologi/Geografi Dialek
Pengertian Isoglos
Penyebaran Dialek
Kawasan Dialek dan Faktor Sejarah
Kesinambungan dan Selaan Kawasan
Rumpun Dialek
Teori Gelombang
Teori Ombak Timbal Balik
Bahagian II: Geolinguistik
Liputan Bidang
Teori dan Kaedah Geolinguistik
Jenis Penyebaran Bahasa
Tipologi Kawasan Penyebaran Bahasa
Kawasan Teras Lawan Kawasan Bukan Teras
Kawasan Tradisional Lawan Kawasan Bukan Tradisional
Kawasan Satelit
Pusat Penyebaran Bahasa
Jenis Komuniti Kawasan Pindahan
Perkaitan antara Kawasan Bahasa
Jenis Penghijrahan
Tadahan Bahasa
Kesimpulan

9. Teori Tanah Asal dan Migrasi Orang Austronesia
Pengenalan
Rumpun Bahasa: Nama Austronesia dan Melayu-Polinesia
Penyebaran Bahasa Austronesia dan Penentuan Tanah Asal
Teori Tanah Asal – John Crawfurd
Teori Tanah Asal – Hendrik Kern
Teori Tanah Asal – Andre Haudricourt
Teori Tanah Asal – Isidore Dyen
Teori Tanah Asal – Robert Blust
Teori Tanah Asal – Peter Bellwood
Teori Tanah Asal – Stephen Oppenheimer
Teori Migrasi Orang Polinesia – Sir Peter Buck
Kesimpulan
Nota

10. Tinjauan Bidang dan Penutup
Tinjauan Bidang
Penutup

Lampiran I
Lampiran II
Lampiran III

Bibliografi
Indeks

Weight0.574 kg
Dimensions21.5 × 14 × 2.5 cm
Author(s)

Edition

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.