Majalah al-Islah dan Idea-Idea Pembaharuan

HAMIDAH JALANI berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pengajian Usuluddin (Sejarah dan Tamadun Islam) dari Universiti Malaya. Beliau merupakan seorang pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Melaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka (Cetakan pertama, 2019)
291 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM25.00

In stock

Majalah al-Islah dan Idea-Idea Pembaharuan memberikan gambaran nyata tentang keadaan masyarakat pada tahun 1970-an. Pergolakan antara Kaum Tua dengan Kaum Muda menjadi perbincangan semasa. Masyarakat ketika itu walaupun tanah airnya telah sekian lama mencapai kemerdekaan, jiwa masyarakatnya masih dibelenggu dengan penjajahan dan kurangnya penghayatan tentang cara hidup Islam yang sebenar.

Buku ini memperlihatkan semangat yang ditunjukkan oleh Majalah al-Islah dalam menyahut seruan Islamiah bersama-sama peneraju utamanya iaitu Tuan Haji Yusof Rawa. Pengalaman manis dan pahit yang dilalui oleh beliau selaku penerbit, penyunting dan penulis turut dimuatkan dalam karya ini. Semangat kental yang ditunjukkan dalam usaha menerajui dunia islah patut dijadikan contoh teladan.

Majalah al-Islah dan Idea-Idea Pembaharuan turut mengupas beberapa isu terpilih daripada majalah tersebut Lima isu telah dibincangkan, iaitu isu tentang sistem pendidikan yang masih mempraktikkan corak pendidikan Barat dan mengagungkan sekularisme, amalan politik berasaskan acuan Barat, pengaruh undang-undang Inggeris sehingga memperkecilkan peranan undang-undang Islam, soal kemiskinan dan kebergantungan masyarakat Melayu serta kurangnya penghayatan tentang cara hidup Islam sebenar.

Dalam konteks negara Malaysia, gerakan islah atau pembaharuan telah dilakukan oleh pelajar Melayu dari Timur Tengah sekitar tahun 1904. Gerakan ini telah dipelopori oleh Jamal al-Din al-Afghani (1839-1897 M) dan al-Syeikh Muhammad Abduh (1849-1905 M) di Mesir. Pengaruh pembaharuan ini telah disebarkan di Malaysia oleh Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minangkabawi (1861-1957 M), Syed Syeikh Abdul Hadi (1867-1934 M) dan Haji Abbas bin Muhammad Taha yang telah mempelopori pembaharuan Islam bersama dengan Syeikh Muhammad Jamil Jambek dan Syeikh Abdul Karim Amrullah di Sumatera. Mereka ini bukan sahaja aktif dalam bidang pendidikan, malah turut giat dalam aktiviti persuratan. Media menjadi sasaran dalam pergerakan mereka. Keterlibatan ulama serta tokoh dunia Melayu menyalurkan pemikirannya dalam penulisan majalah yang mereka asaskan bukan lagi menjadi suatu perkara baru. Dimulakan dengan al-Imam yang terbit pada 1 Jamadilakhir 1324 H/Julai 1906 di Singapura dan diiringi oleh majalah al-Mudir yang pertama oleh Sheikh Muhammad al-Kalali. Syeikh Abdullah bin Ahmad pula menerbitkan majalah al-Munir di Padang Sumatera oleh ulama Minangkabau pada tahun 1908 dan diikuti oleh majalah Pengasuh di bawah kelolaan Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali) yang diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 11 julai 1918 sebagai majalah yang paling lama berada di pasaran sehingga kini.

Ledakan kebangkitan juga menjadi semakin rancak apabila media massa mula menyongsong arus kebangkitan kesedaran dengan mempraktikkan dunia penerbitan sebagai alat bantu dalam menyuarakan pendapat. Salah satunya ialah Majalah al-Islah (Feb. 1970) yang lahir hasil cetusan kemuncak kebangkitan islah. Pemilihan tahun 1970-an dalam penerbitan al-Islah adalah suatu yang mustahak. Hal ini dikatakan demikian kerana kehangatan puncak islah mula dirasai oleh setiap masyarakat, terutamanya generasi berpendidikan Islam.

Pulau Pinang yang menjadi destinasi penerbitan juga sedang dilanda kemuncak islah. Kurangnya tekanan daripada pihak penjajah terhadap aktiviti islah membuktikan Pulau Pinang sebagai destinasi terbaik dalam mengembangkan ideologi islahnya. Tambahan pula, Pulau Pinang yang terlebih dahulu menerima pengaruh Barat dan secara langsung telah menerima kemasukan teknologi dalam percetakan menyemarakkan lagi aktiviti berbentuk media massa. Kita akui bahawa undang-undang British di Negeri-Negeri Selat itu adalah lebih liberal daripada setengah undang-undang yang diamalkan dalam negeri-negeri Melayu. Justeru, kita dapati pemikiran islam yang progresif hidup subur di Singapura dan Pulau Pinang.

Kelahiran Majalah al-Islah juga adalah bertujuan mengimbangi perkembangan majalah agama yang mengalami revolusi penerbitan majalah di Malaysia. Dan apa yang istimewanya mengenai majalah ini, ia dilihat tidak begitu keras dalam membangkitkan isu-isu yang relatif pada masa itu berbanding aI-Imam. Isinya tidak lagi garang dan pedas dalam memberikan teguran kepada masyarakatnya. Hal ini dikatakan demikian kerana Majalah al-Islah bertatih daripada Majalah al-Imam dan bagaimana pendekatan yang harus diguna pakai selaras dengan perkembangan semasa era selepas merdeka.

Jika Majalah al-Imam agak bersifat terbuka, keras dan garang dalam memberikan teguran, berbeza dengan Majalah al-Islah yang lebih bersifat menerangkan kepada masyarakatnya dengan lebih lunak didengar dan mudah untuk diikuti serta memberikan kesan yang mendalam dalam pemikiran masyarakatnya

Kegagalan Majalah al-Imam dalam mempengaruhi dan memberikan kesan yang signifikan telah memberikan satu pengajaran dan proses pembelajaran dalam menerbitkan Majalah al-Islah, iaitu dari segi pendekatan isu yang cuba diketengahkan dan pendekatannya lebih banyak kepada mendedah dan memperkenalkan tanpa adanya hujah atau perbincangan yang agresif. Inilah yang dikatakan pendekatan deskriptif serta membincangkan dan mengungkap isu-isu yang agak relatif dengan realiti hidup semasa.

Maka dengan kelahiran Majalah al-Islah dilihat sebagai suatu inisiatif dan wakil kepada suara islah pada tahun 1970-an bagi menggantikan suara al-Imam (1906), Neracha (1910), Tunas Melayu (1913), al-Ikhwan (1926) dan Saudara (1934) yang lahir sebelum merdeka. Melalui Majalah al-Islah, sasaran yang agak ketara ditonjolkan dalam menggalakkan orang Melayu mengikuti perkembangan politik, ekonomi, pelajaran dan menggesa mereka agar peka dengan pergolakan yang berlaku di hadapan mata.

Penulis melihat Majalah al-Islah amat unik untuk dibincangkan. Selain penetapan isi yang sarat dengan teguran berbentuk islah seperti menggalakkan orang Melayu mengikuti perkembangan politik, ekonomi, pelajaran dan menggesa mereka agar peka dengan pergolakan yang berlaku, matlamat reformasinya juga bukan sahaja untuk mempertahankan kehormatan dan maruah bangsa semata-mata, bahkan jauh lebih daripada itu cuba mencetuskan rasa kesedaran keagamaan mengenai tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh warganegara dalam sesebuah negara.

Weight0.33 kg
Dimensions21.4 × 14 × 1.4 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.