Out of stock

Makam-Makam Islam Lama di Maritim Asia Tenggara

Terjemahan tulisan pilihan terbitan École française d’Extrême-Orient dan Association Archipel

Jabatan Muzium Malaysia (Cetakan Pertama, 2017)
407 halaman termasuk Indeks

RM45.00

Out of stock

Makam-Makam Islam Lama di Maritim Asia Tenggara memuatkan terjemahan dua buah artikel yang sah daripada majalah Archipel serta dua bahagian daripada monografi siri Cahiers d’Archipel, kedua-duanya diterbitkan oleh Association Archipel, Paris, Perancis; dan bahagian dua buah artikel daripada majalah Bulletin de l’École française d’Extrême-Orient serta dua bab daripada monografi siri Etudes thématiques, kedua-duanya diterbitkan oleh École française d’Extrême-Orient, Paris, Perancis.

Tujuan utama buku ini ialah untuk memperkenalkan sejumlah hasil penyelidikan tentang makam-makam Islam zaman silam yang telah dijalankan di Maritim Asia Tenggara selama 20 tahun terakhir kebelakangan ini yang kebanyakannya telah diterbitkan dalam bahasa Perancis. Selain itu, buku ini turut memuatkan dua kajian asli terbaharu mengenai makam di Malaysia: satu yang memperkenalkan sejenis batu nisan dari negeri Melaka yang belum pernah diperhatikan sebelum ini dan satu mengenai sebuah makam Cina Islam juga di negeri Melaka. Kumpulan tulisan ini akan membawa pembaca dari Patani di Thailand ke Brunei, melalui Malaysia dan Sumatra di Indonesia. Di samping usaha untuk mengatasi halangan bahasa, buku ini merupakan usaha julung kalinya pelbagai tradisi pemanfaatan batu nisan yang telah berkembang di Maritim Asia Tenggara diperkenalkan bersama. Ini sekaligus menyediakan satu peluang untuk menyadari kekayaan tradisi-tradisi makam Islam di wilayah tersebut dan diharapkan akan merangsang kajian perbandingan di masa hadapan.

Makam merupakan sebuah monumen peringatan yang dapat diselidiki dari pelbagai sudut. Sudut pertama ialah sudut teknikal, yang mana para pengkaji memberi tumpuan kepada bahannya. Jelas bahawa iklim tropika dan khatulistiwa di Maritim Asia Tenggara tidak membantu untuk mengekalkan petanda makam daripada bahan organik seperti kayu. Tinggalan yang tersisa daripada makam-makam zaman silam majoritinya petanda dari pelbagai jenis batu sahaja. Dengan demikian, kita tidak boleh melupakan bahawa peninggalan-peninggalan yang sampai kepada kita hanya sebahagian, dan besar kemungkinan sebahagian kecil, daripada tradisi-tradisi kesenian makam zaman silam. Bahannya menimbulkan pertanyaan tentang daerah atau wilayah asalnya serta mengenai cara untuk memanfaatkannya.

Sudut kedua ialah sudut kesenian yang lazimnya menghasilkan pelbagai jenis tipologi, baik tipologi yang berasaskan kepada bentuk-bentuk am jenis batu nisan tertentu, mahupun tipologi yang memberi tumpuan kepada bahagian tertentu pada makam sahaja. Di sini perlu dijelaskan bahawa petanda makam kadangkala tidak terbatas pada batu nisan sahaja. Dalam hal ini, makam-makam dilengkapi dengan sebuah atau beberapa buah batu yang sering diukir di antara kedua-dua batu nisan dan disebut “batu badan” dalam bahasa Melayu. Tipologi jenis batu nisan tertentu merupakan langkah awal untuk mencuba memecahkan soalan seperti kronologi, golongan sosial orang yang dikebumikan, serta aspek-aspek sejarah yang lain, atau untuk melakukan perbandingan dengan tipologi-tipologi lain. Kesenian makam juga membawa pertanyaan tentang gaya kaligrafi inskripsi dan simbolisme, baik simbolisme bentuk tertentu mahupun simbolisme hiasan tertentu.

Sudut ketiga ialah sudut sejarah. Sudut ini lazimnya memberi tumpuan kepada inskripsi yang diukir pada batu nisan. Aspek-aspek sejarah yang dapat dikaji berasaskan kepada ilmu membaca inskripsi atau ilmu epigrafi, termasuk sejarah politik, sejarah sosial, sejarah agama dan sejarah kebudayaan. Epigrafi juga boleh membantu untuk menghasilkan krono-tipologi jenis batu nisan tertentu.

Sudut keempat ialah sudut antropologi dan sosiologi, termasuk kajian-kajian mengenai adat-adat berhubungan dengan pengebumian serta kebiasaan menziarahi makam.

Adalah agak mustahil bersandarkan riwayat penyelidikan di bawah ini semata-mata untuk menyenaraikan semua kajian yang telah dijalankan mengenai makam-makam Islam lama di Maritim Asia Tenggara. Tujuan kami di sini jauh lebih sederhana, iaitu pertama memperlihatkan tahap-tahap utama penyelidikan mengikut negara masing-masing, kedua memperkenalkan hasil-hasil kajian yang kurang dikenali kerana diterbitkan di dalam jurnal-jurnal tempatan, dan ketiga menunjukkan, khasnya di Indonesia, tempat atau daerah yang telah diberi tumpuan untuk pengamatan dan kajian hingga sekarang.

Besar kemungkinan, tirai penyelidikan tentang makam-makam Islam zaman silam di Maritim Asia Tenggara telah dibuka di Hindia Belanda oleh W.R. van Hoëvell sempena lawatannya di Jawa, Madura dan Bali pada tahun 1847. Kisah perjalanan ini, yang diterbitkan dua tahun kemudiannya, memuatkan bacaan pertama sebuah inskripsi pada makam Malik Ibrahim di Gresik (Jawa Timur). Tiga puluh tahun kemudian, besar kemungkinan W. E. Maxwell yang mengawal penyelidikan tentang makam-makam Islam zaman silam di Semenanjung Melayu menerbitkan satu catatan mengenai sebuah makam di Perak, yang batu nisannya dipercayai berasal daripada Aceh.

Weight0.864 kg
Dimensions24 × 16 × 2 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.