Out of stock

Masyarakat Melayu Pulau Pinang dalam Arus Sejarah

Senarai penulis:
MUHAMMAD HAJI SALLEH
MAHANI MUSA
SHOHANA HUSSIN
AIZA MASLAN @ BAHARUDIN
SUHAILA ABDULLAH

Penerbit USM (Cetakan Pertama, 2016)
188 halaman termasuk Indeks

RM48.00

Out of stock

Masyarakat Melayu Pulau Pinang dalam Arus Sejarah meninjau perkembangan dalam aspek sosial dan ekonomi masyarakat Melayu Pulau Pinang sejak awal kurun ke-19 sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua dan beberapa dekad selepasnya. Kedudukan Pulau Pinang sebagai pelabuhan perdagangan sejak diambil alih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) daripada kesultanan Kedah pada 1786 menukar dengan cepat corak kehidupan orang Melayu di negeri ini. Mereka bukan sahaja bersaing mencari kemajuan dalam aspek ekonomi, malah terdedah kepada pembaharuan yang dibawa dari luar mahupun dari negeri-negeri Melayu sendiri. Sifat persaingan dalam sebuah kehidupan kosmopolitan ini turut membawa kemajuan dalam pendidikan, kesusasteraan dan percetakan.

Di Pulau Pinang inilah lahirnya pemikir yang memanjangkan pemodenan yang turut menggunakan percetakan sebagai wadah menyampaikan transformasi kepada masyarakat Melayu. Peranan Pulau Pinang sebagai pusat perkumpulan dan perlepasan jemaah haji sejak pertengahan kurun ke-19 menjadikan dunia percetakan, khususnya buku-buku keagamaan begitu rancak di negeri itu. Seberang Perai turut menerima tempias daripada perkembangan ini. Hubungan antara kedua-duanya terjalin erat atas keperluan ekonomi, kemasyarakatan dan keagamaan meskipun ciri-ciri kehidupan masyarakat Melayu di Seberang Perai masih kuat dipengaruhi sifat kekedahan yang pernah menjadi pertuanan mereka sebelum diambil alih oleh SHTI pada 1800.

Usaha pendokumentasian sejarah tempatan seperti yang dijalankan oleh pihak Arkib Negara Cawangan Pulau Pinang, perpustakaan negeri, jabatan kerajaan dan pelbagai persatuan turut membantu memperkayakan sejarah tempatan termasuk yang bersangkutan dengan orang Melayu. Sebagai contoh, pada awal 1990-an, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang memulakan inisiatif mengumpulkan sejarah orang Melayu di negeri itu. Projek tersebut berjaya menghasilkan tiga jilid penerbitan di bawah judul Jurnal Penyelidikan Sejarah Islam di Pulau Pinang. Sebelum itu pada 1974, sekumpulan pelajar Maktab Perguruan Pulau Pinang telah menghasilkan satu kajian berjudul Historical Survey of the Mosques and Kramats on Penang Island yang menyenaraikan sejarah asal usul 68 buah masjid dan 24 keramat di negeri itu sejak awal kedatangan British atau sebelumnya lagi. Selain pelajar dan penyelidik sejarah, orang perseorangan juga turut memberi sumbangan kepada persejarahan Pulau Pinang. Ada yang menulis memoir tentang sejarah keluarga dan tidak kurang pula yang menghasilkan buku yang boleh dijadikan rujukan umum pelajar, penyelidik, pelancong dan masyarakat awam.

Masyarakat Melayu Pulau Pinang dalam Arus Sejarah menyahut cabaran persejarahan dan bertujuan memerikan kehidupan sosioekonomi dan budaya masyarakat Melayu Pulau Pinang (termasuk Seberang Perai dalam beberapa contoh). Walaupun tidak semua aspek dapat dikupas dalam buku kecil ini, namun isi perkara yang disentuh oleh esei-esei dalam buku ini diharap dapat merangsang penerokaan yang lebih lanjut dan mendalam oleh para penyelidik yang berminat.

Weight 0.341 kg
Dimensions 24.1 × 16.1 × 1.2 cm
Edition

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Masyarakat Melayu Pulau Pinang dalam Arus Sejarah”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.