Out of stock

Melayu atau Kemelayuan: Menelusuri Sejarah Idea

ANTHONY MILNER adalah Profesor Tamu di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya dan Felo Profesor di University of Melbourne. Beliau juga merupakan Profesor Emeritus di Australian National University. Beliau menerima lantikan di beberapa institusi seperti National University of Singapore (sebagai Profesor Tamu Raffles), Research Institute for the Languages and Cultures of Asia and Africa (Tokyo), Universiti Kebangsaan Malaysia, Kyoto University dan juga Institute of Strategic and International Studies, Malaysia. Makalah beliau The Invention of Politics in Colonial Malaya (1995, 2002) dan Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule (1982, 2016) antara yang dimasukkan dalam buku The Malays. Pada tahun 2017, beliau menerima Anugerah Merdeka atas “sumbangan beliau dalam penyelidikan dan pendidikan sejarah di Malaysia”.

Terjemahan oleh MOHD IZZUDDIN RAMLI

SIRD (Cetakan pertama, 2019)
353 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM48.00

Out of stock

Menerusi Melayu atau Kemelayuan: Menelusuri Sejarah Idea Milner utarakan isu siapakah ‘Melayu’, dan mempertanyakan bagaimana mereka menjadi ‘Melayu’ dan apakah makna menjadi seorang ‘Melayu’. Suatu perkara yang menarik minat kepada Milner ialah kebimbangan Melayu tentang daya tahan mereka—suatu ketakutan yang kadangkala diterjemahkan dalam bentuk kata-kata ‘tidak akan Melayu hilang di dunia’.

‘Melayu’, kata ini memecahkan banyak gambaran. Mungkin ada yang teringatkan dunia lanun Joseph Conrad yang misteri dan bahaya; lelaki-lelaki Timur yang santun; masyarakat pemalas dalam ekonomi penjajah; para usahawan “Melayu Baru” dalam Malaysia yang moden dan gemilang; pembina yang berdaya bangun di ASEAN; penyokong setia jujutan monarki dan balai rong yang tidak pernah ada di Eropah mahupun mana-mana rantau Asia yang lain; masyarakat yang berseteru tentang peranan Islam sebenar; baris paling hadapan Asia Tenggara dalam menentang keganasan.

Bayangan tentang ‘Melayu’ ialah sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Memikirkan kesemua gambaran ini membuatkan kita tertanya-tanya siapakah mereka ini? Apakah pula inti pati ‘kemelayuan’?

Tugas untuk menulis sebuah buku tentang ‘Melayu’ adalah sesuatu yang menggentarkan. Persoalan yang timbul sejak dari mula ialah siapakah sebenarnya yang seharusnya dipanggil ‘Melayu’? Menurut satu klasifikasi yang digunakan oleh para ideolog hari ini dan yang ditolak oleh kebanyakan sarjana, ‘orang Melayu’ berjumlah 350 juta orang, tinggal merentasi wilayah besar dari Papua di Timur melalui Indonesia, Malaysia, Thailand sehingga Madagaskar di Barat dan juga Filipina dan Taiwan di sebelah atas. Komuniti-komuniti ‘Melayu’ di Sri Lanka dan Afrika Selatan juga tidak boleh diabaikan.

Tulisan ilmiah berkenaan ‘Melayu’ juga sangat besar jumlahnya. Pegawai Belanda dan British yang mentadbir wilayah ‘Melayu’ merupakan perintis dalam deskripsi dan analisis Melayu; penyelidik Amerika Utara, Jepun dan Australia juga sangat aktif terutama pada separuh abad yang lalu dalam memberikan nilai tambah kepada kajian utama yang dijalankan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Thailand dan Sri Lanka. Para sejarawan, pakar bahasa dan sastera, ahli antropologi, saintis politik, ahli geografi, pakar ekonomi kesemua mereka dan ramai lagi telah membangunkan ‘Pengajian Melayu’ berdekad-dekad lamanya, menokok kajian yang pernah dilakukan sarjana pada era kolonial. ‘Pengajian Melayu’ menjadi satu bidang yang mengujakan, dan perbincangan penyelidikannya disertai oleh para sarjana dimeriahkan dengan kolaborasi dan juga perdebatan.

Meskipun ada sarjana yang dapat menguasai kajian berkenaan bidang ini, penulis tidak merasakan ada sebuah buku berkenaan ‘Melayu’ yang ditulis pada hari ini yang dapat mencerminkan autoriti yang ditanggapi oleh pakar-pakar pada zaman kolonial. Kita tidak menulis tentang ‘Melayu yang sebenar’ (seperti yang ditulis Sir Frank Swettenham seabad yang lalu); kita tidak ‘melukiskan’ dengan baik perwatakan masyarakat ini; sesuatu yang pada satu ketika pernah dianggap sebagai fakta sosial dan budaya. Persoalan perspektif sentiasa wujud pada hari ini: bagaimana ‘orang Melayu’ melihat situasi diri mereka sendiri, dan apakah kategori yang dilihat oleh pemerhati-pemerhati luar, telah menjadi suatu perkara yang sangat menarik minat.

Melayu atau Kemelayuan: Menelusuri Sejarah Idea juga memfokuskan bagaimana idea “menjadi Melayu” dikembangkan dalam kalangan masyarakatnya sendiri. Penulis berminat dengan sejarah idea, dan merasakan aspek ini agak diabaikan dalam Pengajian Melayu. Selepas membincangkan perkembangan sejarah masyarakat yang menggelarkan diri mereka ‘Melayu’ dan juga peradaban Islam yang dibina oleh mereka, Milner mengkaji kemunculan dan penyetempatan konsep ‘bangsa Melayu’ atau ‘etnik Melayu’. Proses ini bermula pada zaman penjajah dan telah dipengaruhi oleh kepelbagaian bentuk di beberapa negara bangsa, yang mana ‘Melayu’ telah digabungkan.

Menjadi ‘Melayu’ pada Milner seolah-olah memberikan makna berbeza pada ruang dan waktu yang berbeza. Dalam konteks tertentu, Milner merasakan hal ini memerlukan pelakuran antara tanggapan Barat tentang etnisiti dengan konsep masyarakat oleh ‘Melayu’ tempatan.

Berdasarkan gambaran ‘konsep masyarakat’ pada zaman moden dan juga pada zaman pra-penjajahan, penulis bertambah yakin bahawa ‘ras’ dan ‘etnisiti’—kategori-kategori yang memberikan dampak penting terhadap cara hidup dan penterjemahan alam di sekeliling kita selama lebih dua abad sering menimbulkan salah tafsir. Ketika penulis mengusahakan buku ini di Jepun dan Jerman, pembacaan beliau terhadap pembangunan di negara-negara ini dan negara lain, penulis mendapati lebih mudah untuk berfikir tentang ‘kemelayuan’ berbanding tentang ‘Melayu’ dan secara umum tentang ‘peradaban’ berbanding ‘etnisiti’.

Salah satu kekuatan siri ‘The Peoples of South-East Asia and the Pacific‘ oleh Blackwell Publishing ialah ianya bukan berasaskan negara-bangsa. Berhadapan dengan kelompok masyarakat seperti ‘Melayu’ yang merentasi sempadan negara, membolehkan kita mengambil perspektif-perspektif baru khususnya berkenaan apakah kesan pembinaan bangsa kepada sudut sosial dan kebudayaan, dan juga politik. Mengambil perspektif pasca-negara-bangsa (atau pra-negara-bangsa) juga membantu kita untuk meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Antara perkara yang menjadi perhatian, adakah rantau Asia akan terus dibentuk berdasarkan asas entiti penjajah yang dibentuk secara besar-besaran oleh Eropah pada abad ke-19 dan ke-20. Mereka yang tinggal dalam rantau ini dan sekitarnya sangat ingin melihat kuasa sosial atau agama mana yang mungkin berpengaruh untuk separuh abad berikutnya. Peranan Islam wajar diberikan perhatian dalam hal ini, seperti mana kemunculan semula China muncul sebagai kuasa besar serantau. Dalam dekad-dekad terakhir ini, terdapat sebilangan penyokong kesedaran dunia Melayu berura-ura untuk mewujudkan kesatuan ‘Melayu’ yang wujud pada zaman pra-penjajah.

Meskipun penulis fikir ini agak mustahil, namun sudut pandang ini diperlukan dalam mengkaji ‘orang Melayu’ dan bukannya negara bangsa tertentu; menggabungkan kedua-duanya pula barangkali akan menimbulkan kewaspadaan, kerana wawasan ‘Melayu’ tersebut mungkin mempunyai potensi ‘antarabangsa’ pada masa hadapan. Dalam hal ini, Milner juga akan memberikan perhatian kepada hujah yang mencadangkan sebaliknya yang mungkin berlaku: idea bahawa ‘orang Melayu’ akan berkurangan secara signifikan dalam jangka masa yang sederhana. Dalam menilai hal ini, penimbangan yang sewajarnya harus dilakukan terhadap apakah sebenarnya fenomena ‘Melayu’ dan dengan cara yang bagaimana maknanya berkemungkinan berubah.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.568 kg
Dimensions 23 × 15.2 × 2 cm
Edition

Format

ISBN

9789672165644

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Melayu atau Kemelayuan: Menelusuri Sejarah Idea”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.