Melayu dan Menara Gading: Di Sebalik Penubuhan Universiti Malaya

ZULKANAIN ABDUL RAHMAN adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera Dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda (Sejarah Malaysia) dari Universiti Malaya; Ijazah Sarjana (Sejarah Rusia) dari Universiti Leeds, United Kingdom; dan Ijazah Doktor Falsafah (Sejarah Eropah Moden) dari Universiti East Anglia, Norwich, United Kingdom. Beliau mengkhusus dalam bidang sejarah Eropah dan politik antarabangsa; dan terlibat secara aktif dalam melakukan penyelidikan multidisplin yang berkaitan sejarah Malaysia; dan demokrasi dan pilihan raya di Malaysia.

ABDULLAH ZAKARIA GHAZALI adalah Profesor dan pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

ABDULLAH GANI adalah Profesor dan pensyarah di Jabatan Sistem Komputer dan Teknologi, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya.

Penerbit UM (2019)
162 halaman

RM48.00

Only 1 left in stock

Melayu dan Menara Gading: Di Sebalik Penubuhan Universiti Malaya merupakan satu usaha mengetengahkan peranan dan sumbangan orang Melayu dalam penubuhan Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1949. Persoalan sama ada orang Melayu ada peranan atau sebaliknya dalam penubuhan Universiti Malaya di Singapura pada 1949 timbul apabila tulisan-tulisan sedia ada sama ada yang hasilkan oleh sarjana tempatan mahupun sarjana antarabangsa; dan juga laman web perpustakaan National University of Singapore tidak membincangkan peranan dan sumbangan yang diberikan oleh orang Melayu dalam usaha menubuhkan Universiti Malaya di Singapura.

Sementara itu, walaupun laman web Universiti Malaya ada menyentuh sejarah awal Universiti Malaya Kuala Lumpur yang ada ikatan sejarah dengan Universiti Malaya di Singapura, tetapi peranan dan sumbangan orang Melayu dalam penubuhan universiti terawal di SemenanjungTanah Melayu itu tidak dibincangkan.

Sebaliknya, tulisan-tulisan sedia ada sama ada yang dihasilkan oleh para penyelidik tempatan mahupun antarabangsa hanya mengetengahkan peranan dan sumbangan orang bukan Melayu termasuk para pegawai kanan kerajaan British di Tanah Melayu dalam merealisasikan penubuhan Universiti Malaya di Singapura pada 1949. Peranan dan sumbangan orang bukan Melayu juga para pegawai kerajaan British di Tanah Melayu pada ketika itu untuk menubuhkan Universiti Malaya di Singapura tidak boleh dinafikan. Dalam masa yang sama, maklumat yang betul dan seimbang perlu diberikan kepada umum.

Dengan demikian, Melayu dan Menara Gading: Di Sebalik Penubuhan Universiti Malaya berusaha untuk memberikan pencerahan dengan mengenal pasti peranan dan sumbangan orang Melayu, khasnya orang persendirian, pemodal, cendekiawan, pembesar dan institusi Raja-Raja Melayu dalam penubuhan Universiti Malaya di Singapura pada 1949.

Umumnya, sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua pada 1941, orang Melayu sendiri secara konsisten tidak memberi sokongan secara terbuka terhadap cadangan untuk menubuhkan sebuah universiti untuk Semenanjung Tanah Melayu. Berdasarkan paparan dan perbincangan secara terbuka dalam akhbar-akhbar Melayu seperti Majlis, Saudara, dan Warta Malaya sekitar tahun 1930-an, orang Melayu berpendapat belum tiba masanya Semenanjung Tanah Melayu memiliki sebuah universiti kerana tiga faktor, iaitu ketidakmampuan anak-anak Melayu dari sudut kewangan untuk melanjutkan pengajian di universiti; anak Melayu perlu memberi keutamaan kepada ilmu yang berkaitan dengan agama Islam; dan kebolehan anak-anak Melayu masih di tahap yang minimum jika dibandingkan dengan orang bukan Melayu atau anak dagang dalam bidang pendidikan.

Namun begitu, pandangan orang Melayu terhadap keperluan untuk Semenanjung Tanah Melayu memiliki sebuah universiti berubah selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Laporan Suruhanjaya Carr-Sauders secara jelas mencadangkan satu usul untuk SemenanjungTanah Melayu memiliki sebuah universiti. Sehubungan itu, orang Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu memberi komitmen yang sangat tinggi yang diterjemahkan dalam bentuk sumbangan kewangan bagi mengumpul dana menubuhkan Universiti Malaya di Singapura pada 1949.

Berkaitan dengan persoalan ada atau sebaliknya sumbangan orang Melayu dalam usaha menubuhkan menara gading terawal di Tanah Melayu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa penulisan dan penerbitan sedia ada hanya memberi fokus terhadap sejarah awal Universiti Malaya dan mengangkat peranan dan sumbangan kewangan kerajaan British menerusi Colonial Development and Welfare Department. Ini bermakna tulisan-tulisan sedia ada juga tidak memberikan penjelasan atau maklumat lanjut berkaitan dengan sumbangan dan peranan orang Melayu dalam penubuhan Universiti Malaya. Tidak diketahui mengapa perkara ini berlaku.

Antara alasan yang boleh diketengahkan ialah rekod atau dokumen yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia yang ada kaitan dengan Universiti Malaya hanya dibuka untuk rujukan umum setelah mencapai satu tahap atau tempoh matang tertentu. Selain itu, sumber primer yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia dalam bentuk keratan akhbar, sebahagian besarnya ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi.

Sejarah Malaysia pada peringkat awal pula banyak dikendalikan sarjana Eropah yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik; dan ramai sarjana Eropah yang menulis mengikut sudut pandangan orang Eropah. Kesannya, sumbangan dan peranan orang Melayu di Tanah Melayu dalam menubuhkan satu gedung ilmu pertama di Tanah Melayu ditiadakan dan diabaikan dalam penulisan sejarah Malaysia.

Tulisan-tulisan sejarah Malaysia yang dijadikan rujukan utama oleh mahasiswa dan mahasiswi di universiti tempatan seperti buku A History of Malaysia yang ditulis oleh Leonard Y. Andaya dan Barbara Watson Andaya; dan T. N. Harper yang menulis buku The End of Empire and the Making of Malaya adalah contoh penulisan yang sama sekali tidak menyentuh aspek sejarah awal Universiti Malaya.

Seterusnya, bahan primer yang berkaitan dengan sejarah awal Universiti Malaya di Singapura berselerak di cawangan-cawangan Arkib Negara Malaysia di hampir setiap negeri, bukannya berpusat dan berhimpun di satu tempat sahaja. Dengan demikian, para penyelidik yang berminat untuk mengetahui sejarah awal Universiti Malaya memerlukan masa dan sokongan kewangan untuk melakukan penyelidikan di hampir setiap negeri. Kajian ini berupaya mengumpul bahan primer yang berkaitan, khasnya di Arkib Negara Cawangan Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Penulis yakin sekiranya peluang diberikan kepada untuk mendapatkan bahan primer di Public Record Office, Kew Gardens, United Kingdom, penulisan sejarah yang lebih komprehensif and informatif boleh diketengahkan.

Melayu dan Menara Gading: Di Sebalik Penubuhan Universiti Malaya diharapkan dapat mengetengahkan dapatan baru dan mengkayakan penghasilan penulisan berkaitan sejarah Malaysia dan Universiti Malaya. Buku ini menggunakan sumber primer dan sumber sekunder. Sumber primer diperoleh menerusi kajian perpustakaan di Arkib Negara MaIaysia dan cawangannya di seluruh Malaysia; dan sumber Digital daripada Perpustakaan University of Illinois, Amerika Syarikat.

Weight0.286 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 0.9 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.