Out of stock

Memoir A. Samad Ismail di Singapura

ABDUL SAMAD ISMAIL (1924–2008) merupakan tokoh kewartawanan terkemuka di Malaysia. Beliau juga tokoh sasterawan dan pejuang bahasa Melayu, aktivis politik dan kesatuan sekerja, pejuang hak asasi selain menjadi pembekal senjata kepada pejuang kemerdekaan Indonesia dalam tahun 1940-an.

Penerbit UKM (Cetakan Pertama, 1993)
275 halaman

 


PENAFIAN: Judul ini menepati keadaan NOS, atau “naskhah baru stok lama”. Justeru, sesetengah naskhah berkemungkinan mempunyai kesan cacat seumpama halaman bernoda, sumbing, melengkung, lusuh, dan sebagainya. Pelanggan dinasihatkan agar meneliti gambar tambahan yang disediakan untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai keadaan naskhah sebelum membuat pembelian.

RM35.00

Out of stock

ISBN: 9789679422634 Product ID: 1157 Subject: Sub-subjects: , , , ,

Memoir A. Samad Ismail di Singapura ialah sebuah memoir seorang wartawan yang menceritakan semua yang terpendam pada waktu kehidupan A. Samad Ismail di Singapura. Penulis dalam Pengiring Kata, menceritakan bagaimana beliau berhadapan dengan persoalan dan dilema sewaktu mula menulis Memoir A. Samad Ismail di Singapura. Apakah yang harus penulis tulis dalam memoir yang diminta oleh teman-teman di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), UKM? Adakah penulis perlu mencatatkan pengalaman hidup dari A hingga ke Z? Adakah memoir itu perlu merangkumi pengalaman penulis dalam bidang politik, bahasa dan budaya serta sastera? Adakah ia harus menyoroti pengalaman beliau dalam bidang kewartawanan?

Sebenarnya, ramai teman penulis sejak beberapa lama dulu telah menggesa beliau agar menulis sebuah autobiografi. Ada teman-teman yang meminta penulis mencatatkan pengalaman beliau dalam awal tahun 50-an dahulu semasa mengasaskan Parti Tindakan Rakyat atau PAP bersama-sama Lee Kuan Yew. Penglibatan penulis dalam PAP telah banyak ditulis oleh para wartawan asing, oleh tokoh-tokoh PAP sendiri, dan oleh para ilmuwan. Tetapi umumnya tulisan-tulisan itu menurut teman-teman adalah berat sebelah. Ramai pula yang menyarankan agar beliau menulis mengenai pengalaman di bidang persuratkhabaran yang bermula pada tahun 1941 sebelum perang dahulu hingga sekarang.

Alasan penulis menolak saranan itu ialah penulis kekurangan masa dan tidak banyak masa lapang untuk menulis. Tambahan pula, usia penulis sudah semakin lanjut, ingatannya mulai kabur dan fikiran beliau juga tidak setajam dulu. Alasan lain yang kerap penulis berikan ialah kalau menulis autobiografi sendiri, tentulah beliau terpaksa menulis secara terus terang mengenai teman-teman yang sesetengahnya masih hidup sedangkan mereka yang telah meninggal pula harus beliau hormati. “Tidak semua teman saya masih hidup atau yang telah meninggal dunia tidak punya kelemahan”, kata penulis. “Bagaimana saya akan berlaku adil terhadap mereka dan bersikap jujur terhadap diri saya sendiri sekiranya saya mahu berterus terang?” kata penulis lagi.

Bagaimana pula penulis harus menulis mengenai diri sendiri? Sekiranya beliau agak membesarkan peranan sendiri, sebagai wartawan atau sebagai pejuang politik, atau sebagai budayawan, maka barangkali ada pula orang yang menuduh penulis takabur, angkuh dan sombong. Kalau beliau kurang menceritakan hal dirinya, maka penulis tidak berlaku adil pada dirinya sendiri. Selain itu, ada pula hal-hal yang terlalu pahit mengenai perjuangan beliau dan beberapa teman yang barangkali tidak dapat beliau ceritakan.

Maka Memoir A. Samad Ismail di Singapura sebenarnya adalah suatu kompromi, dan kerana itu tentu sekali banyak kekurangannya. Penulis tidak mempunyai catatan harian. Surat-surat penulis yang penting dan tidak penting tidak banyak yang disimpan. Tiga kali penulis ditahan kerana perjuangan politik. Setiap kali polis datang menggeledah rumah beliau, di antara yang diangkut oleh mereka ialah buku dan surat.

Beberapa surat peribadi awal tahun 50-an yang agak berharga terjumpa dalam beberapa fail tiba-tiba ghaib dari simpanan penulis. Demikian juga, beberapa gambar yang sesetengahnya sangat tinggi nilainya kerana dirakamkan sewaktu penulis masih di bangku sekolah dengan teman-teman seperjuangan dan gambar-gambar penulis semasa pendudukan Jepun. Barangkali fail dan gambar ini disimpan oleh anak-anak penulis yang bimbang beliau tidak menjaganya. Tetapi semua mereka tidak mengaku apabila beliau tanya adakah mereka telah menyorokkan fail dan gambar itu.

Memoir A. Samad Ismail di Singapura ditulis agak tergesa-gesa, tanpa berdasarkan diari atau surat-surat peribadi melainkan penulis hanya bergantung kepada ingatan semata-mata. Kerana itu, mungkin ada bahagian-bahagian yang tidak memuaskan. Umpamanya, penulis tidak begitu pasti adakah guru sastera beliau di sekolah menengah Inggeris dahulu pernah berkhidmat dalam tentera kebangsaan India atau tidak?

Satu-satunya kelemahan penulis ialah untuk mengingati tarikh dan waktu. Dengan kata lain, penulis amat sukar mengingati sesuatu yang bersifat angka. Penulis akui, kalau ditanya tarikh beliau menikahi isterinya, tentu beliau tidak dapat mengingatinya. Kalau beliau ditanya nombor telefon rumah atau nombor kereta, nescaya beliau tidak mengingatinya. Kalau anda tanya penulis berapa ramai cucunya sekarang pun, beliau tidak dapat menjawabnya dengan tepat.

Namun, inilah sebuah memoir yang ditulis sendiri oleh A. Samad Ismail. Sewaktu di sekolah, Samad kuat membaca dan pintas mengarang. Di kampung Melayu, Singapura, Samad seperti anak muda lain terkenal kerana gemar bernyanyi di lorong-lorong kampung sambil memetik gitar. Setelah tamat Senior Cambridge, Utusan Melayu menjadi sekolah kepada Samad. Di situ beliau mengenali Yusof Ishak dan Kajai, belajar menaip dan trengkas, mula merokok, mencarut, bermain terup, mendampingi perempuan, menari, minum. Utusan Melayu menghantar Samad ke mahkamah, membawanya ke rumah persundalan, menyumbatnya ke penjara sebelum membuangnya ke Jakarta.

Sedang Utusan Melayu mendekatkan Samad ke British, Berita Malai mengajarnya kewartawanan ala Jepun. Sepanjang kerjayanya sebagai orang surat khabar, Samad dipuji dan dihormati, dikeji dan dicaci. Memang sejak dari awal, kewartawanan tidak pernah menjanjikan kemewahan dan kesenangan kepada Samad. Tiga bulan beliau berbasikal ke Utusan Melayu tanpa gaji.

Tiga kali beliau disumbat ke sel—dipenjarakan tanpa dihakimi atau disabitkan. Tiap kali itu juga beliau kembali bingkas mengetuk mesin taipnya.

Sebagai wartawan, Samad menyaksikan dan mencatat banyak peristiwa serta detik sejarah. Sebagai pengarang dan pemimpin akhbar beliaulah sebenarnya yang mencorakkan serta merencanakan fakta sejarah yang berlaku pada zamannya. Komentar beliau dikawal oleh British sewaktu di Utusan Melayu dan ditapis oleh pemerintah Jepun di Berita Malai. Kini, semua yang terpendam pada waktu kehidupannya di Singapura disajikan semula untuk kita di dalam memoir ini, memoir seorang wartawan.

Weight0.685 kg
Dimensions23.8 × 15.6 × 2.4 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author