Buku Muhammad Rashid Rida: Pemikir dan Reformis Islam memberikan fokus terhadap pemikiran salah seorang tokoh islah dalam dunia Islam, iaitu Muhammad Rashid Rida. Beliau merupakan salah seorang tokoh yang memainkan peranan penting dalam pengislahan ummah ketika di ambang kejatuhan Khilafah Islamiah dan selepas kejatuhannya. Ketidakstabilan pemerintahan Islam berlaku apabila Daulah Utsmaniyah yang selama ini bertindak sebagai pelindung umat Islam mulai goyah dan secara rasminya runtuh pada tahun 1924.
Pergolakan yang terjadi pada masa tersebut bukan semata-mata memberikan kesan kepada politik umat Islam, malah turut menjejaskan ekonomi, pendidikan, dan akhlak mereka. Kebangkitan Barat yang menjajah dunia Islam satu per satu pula telah menjadikan krisis yang sedia ada bertambah parah. Dalam situasi beginilah Muhammad Rashid Rida telah bangkit mengemukakan idea islahnya. Beliau telah melalui satu perjalanan yang penuh dengan kesukaran dalam melaksanakan cita-citanya untuk membetulkan kepincangan yang berlaku ketika itu.
Namun, segala kepayahan itu ditempuh jua demi mengembalikan kegemilangan peradaban Islam yang telah hilang. Walaupun usaha beliau kurang berjaya dari sudut lahiriah, namun telah berjaya membangkitkan dan menyedarkan umat Islam tentang kelemahan dan realiti yang sedang mereka hadapi. Semoga buku ini menjadi pencetus minda dan menyuburkan jiwa perjuangan.
Reviews
There are no reviews yet.