Pascakolonialisme Dalam Pemikiran Melayu

Penyelenggara: MOHAMAD DAUD MOHAMAD dan ZABIDAH YAHYA

Sidang Penulis: SYED HUSSIEN ALATAS, ZAINAL KLING, JOMO KWAME SUNDARAM, ABDUL RAHMAN EMBONG, SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN, MOHD. HAZIM SHAH ABD. MURAD, MELANI BUDIANTA, AHMAD SAHAL, ISMAIL TALIB, NOR FARIDAH ABDUL MANAF, HASNAH IBRAHIM, KAMARUDDIN MOHD SAID, UMAR JUNUS, UNGKU MAIMUNAH MOHD. TAHIR, AMIR MUHAMMAD, HANAPI DOLLAH, AZIZAN BAHARUDDIN, ZAMBRY ABD. KADIR dan ABDUL KADIR HAJI DIN

DBP (Cetakan pertama, 2005)
313 halaman

RM28.00

Only 1 left in stock

Makalah dalam buku Pascakolonialisme Dalam Pemikiran Melayu lebih merupakan sikap dan renungan terhadap teori yang dibawa dari Barat. Seterusnya, himpunan makalah ini mengungkapkan sejauh mana teori “alternatif” ini membawa dampak dalam pemikiran bangsa Melayu dalam menanggapi dunia.

Bidang pengajian pascakolonial mula menarik perhatian dengan terbitnya buku Edward Said, Orientalism pada tahun 1978. Buku ini merupakan kritikan yang menyeluruh terhadap konstruksi Barat tentang dunia Timur (the Orient). Said mendedahkan sikap dan proses kepengarangan para Orientalis yang terjelma sejak penghujung abad ke-18, yang melihat masyarakat dan budaya peribumi di tanah jajahan dari sudut pandang yang memungkinkan masyarakat Barat berasa bangga akan kehebatan tamadun mereka. Kajian Said mendapati bahawa penulisan kolonial amat berbentuk politik dalam menggambarkan dunia Timur yang kononnya tidak bertamadun dan berbudaya. Orientalisme dan etnosentrisme menjadi asas perkembangan wacana kolonial yang lebih menyeluruh.

Namun, sebagai istilah, pascakoloniallsme mula digunakan dengan meluas, terutama di jabatan sastera dengan terbitnya buku The Empire Writes Back: Theory and Practice in Post-Colonial Literatures oleh Bill Ashcroft et al., pada tahun 1989. Sejak itu, istilah sastera Komanwel dan sastera Dunia Ketiga semakin kurang digunakan oleh para penyelidik dan sarjana yang kebanyakannya lebih senang dengan istilah sastera pascakolonial.

Istilah pascakolonial merujuk satu siri perubahan masa yang linear ataupun satu perkembangan masa yang berperingkat-peringkat, iaitu bermula dengan prakolonial, kolonial, dan berakhir dengan pascakolonial. Secara harfiah pasca membawa pengertian selepas—pascakolonial bererti selepas zaman kolonial atau selepas zaman penjajahan. Walaupun dari segi semantik perkataan pasca merujuk masa selepas kolonial, namun dalam konteks wacana, kolonial merujuk kewujudan wacana semenjak bermulanya penjajahan dan selepas penjajahan.

Jelas bahawa istilah pascakolonial mencakupi ruang dan waktu yang cukup luas. Selain itu, pascakolonial sering digunakan dalam wacana sebagai satu sikap yang menentang imperialisme dan Eurosentrisme.

Asas wacana pascakolonialisme sebenarnya wujud dan berkembang dalam pemikiran bangsa Melayu di Nusantara ini selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, iaitu kira-kira pada tahun 1950-an dan 1960-an apabila muncul negara yang dilabelkan negara baru, negara mundur, negara membangun, dan negara Dunia Ketiga. Misalnya, Persidangan Asia-Afrika di Bandung, Indonesia pada tahun 1955 merupakan manifestasi yang jelas kepada keadaan yang sedang berlaku ketika itu. Kemunculan negara ini membawa bersama-sama satu wacana baru yang dikenali sebagai wacana pascakolonial.

Reaksi kesedaran bijak pandai Melayu (para sarjana tempatan) terhadap ancaman wacana Orientalis ialah penubuhan Persatuan Orientalis Malaysia (The Malaysian Society of Orientalists) pada tahun 1963 yang bermatlamat untuk membantu mengubah wacana Orientalis kolonial supaya dapat diterima oleh rakyat yang merdeka.

Wacana pascakolonlal atau pascakolonialisme ialah wacana yang terhasil daripada reaksi terhadap kolonialisme yang merupakan satu proses berterusan yang berkaitan dengan penentangan terhadap hegemoni Barat untuk membina identiti dan peribadi sendiri. Proses ini berterusan kerana masyarakat pascakolonialisme masih didominasi oleh neokolonialisme—kemerdekaan yang dicapai masih belum benar-benar merupakan satu kebebasan yang mutlak.

Aliran dan pendekatan pascakolonial ini semakin berpengaruh di institusi pengajian tinggi di Barat dan di Timur, bukan sahaja di jabatan sastera, tetapi juga di jabatan-jabatan lain yang berkaitan, seperti sains politik, sosiologi, antropologi, dan sejarah. Kini teori dan kaedah pascakolonial merupakan suatu alternatif dalam usaha untuk membaca dan merungkai semula teks, meruntuhkan segala yang tersirat dalam persuratan Orientalis menjadi satu kegiatan akademik yang disenangi sebahagian sarjana Barat dan Timur. Dengan demikian, sarjana Timur yang sejak sekian lama dianggap sebagai Yang Lain (the Others) oleh sarjana Barat, kini berasa yakin untuk berdiri setaraf dan diterima sebagai teman ilmuwan di dunia global.

Berdasarkan perkembangan ini, satu kolokium “Mempersoalkan Pascakolonialisme” diadakan pada 8-10 Disember 1998, melibatkan 19 orang ilmuwan tempatan daripada pelbagai bidang ilmu, termasuk dua orang dari Indonesia, untuk melihat apakah sikap dan reaksi para ilmuwan dalam pelbagai disiplin ini terhadap teori dan kaedah pascakolonialisme.

Apakah pendekatan ini betul-betul baru dan menambah wawasan kita terhadap bidang yang dikaji atau satu nama lain daripada pendekatan yang sedia ada?

Apakah aliran/teori/pendekatan pascakolonialisme memaksa kita memeriksa kembali anggapan umum terhadap disiplin kita dan dalam proses itu menawarkan konsep dan kategori baru untuk memperkaya penyelidikan kita? Berjayakah kita melepaskan diri daripada paradigma lama dan mengemukakan alternatif yang lebih segar dan selari dengan Weltanschauung kita?

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.380 kg
Dimensions 21.5 × 14 × 2 cm
Edition

Format

ISBN

9789836285270

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Pascakolonialisme Dalam Pemikiran Melayu”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.