Patah Tumbuh

KERIS MAS (1922—1992), atau nama sebenarnya Kamaluddin Muhamad adalah penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981.

DBP (Cetakan Pertama, 2016)
208 halaman

RM22.00

In stock

Product ID: 5214 Subjects: , Sub-subjects: ,

Patah Tumbuh merupakan kumpulan cerita pendek karya Sasterawan Negara Keris Mas, yang mencerminkan perkembangan yang dilalui oleh penulis tersebut. Sudah nyata kepada kita bahawa sifat Keris Mas sebagai tokoh politik dan kemudiannya tokoh sastera, Keris Mas telah mengambil tindakan yang betul, iaitu tindakan yang sesuai yang mencerminkan kehendak rakyat jelata. Pendiriannya ialah pendirian yang menyebelahi pihak yang menentang penjajah dan yang menuntut keadilan dan kemakmuran untuk rakyat, Soalnya sekarang ialah sejauh manakah menerusi hasil sastera, khususnya cerita pendek Patah Tumbuh Keris Mas telah berjaya menunjukkan sikap serta menegaskan pendiriannya itu?

Seperti yang telah dikatakan terlebih dahulu, Keris Mas menghasilkan kira-kira 50 buah cerita pendek sahaja. Dalam kumpulan cerita pendek ini, kita dapat menghidangkan cuma sepertiga daripadanya, iaitu yang difikirkan paling baik. Juga, cerita ini dipetik untuk mencerminkan perkembangan yang telah dilalui oleh Keris Mas sebagai penulis. Oleh itu, berdasarkan kumpulan cerita pendek Patah Tumbuh dapat agaknya kita mengkaji serta mengukur kejayaannya itu.

Untuk memudahkan analisis, secara umumnya kita boleh membahagikan perkembangan Keris Mas sebagai penulis cerita pendek kepada tiga peringkat. Pada peringkat pertama lebih kurang dari tahun 1946 hingga tahun 1948 kita melihat banyak ceritanya berputar di sekitar peristiwa cinta, menunjukkan kecenderungan pemuda Keris Mas yang romantis. Namun, cerita cintanya lain sedikit. Selain memperkatakan cinta berkuasa menggegarkan ketabahan hati seorang pejuang politik, beliau mencuba menegaskan, misalnya dalam “Wasiat Orang Bangsawan” bahawa cinta antara dua insan yang tidak sama kelas dan martabatnya selalu berhalangan.

Selanjutnya, oleh sebab cerita seperti “Menjual Tanah Air, Berhari Raya ke Kubur Nenek” dan “Bukan Kerana Dia” berlaku dalam kalangan rakyat jelata yang hidup menderita, Keris Mas dapat menggambarkan rasa pahit maung dan perit pedih yang dialami oleh mereka, dan keadaan bagaimanakah orang-orang ini menjadi mangsa segelintir manusia yang mempunyai kedudukan dan kekayaan tetapi tidak mempunyai hati perut.

Pada peringkat kedua, kita melihat Keris Mas membuat perubahan. Beliau telah meninggalkan soal cinta. Oleh sebab perubahan suasana selepas pertengahan tahun 1948 tidak membenarkan, beliau tidak dapat membebaskan diri untuk menyuarakan semangat politiknya dengan lantang, seperti yang telah dilakukannya dalam Darah dan Air Mata. Tidak mungkin juga beliau dengan terang dan tegas menggambarkan penderitaan rakyat jelata kerana bimbang ditafsirkan hendak menghasut rakyat dan memburuk-burukkan dasar pemerintah pada masa itu. Namun, pengalamannya di kota Singapura sebagai seorang wartawan telah memberikannya ilham yang banyak. Keris Mas dapat menggambarkan sebilangan watak dan peristiwa curang yang menggelikan hati. Kita berjumpa dengan Usman, seorang pemuda yang tidak berjaya mengubah dirinya “kerana jiwanya telah dirosakkan oleh cara orang lain berfikir yang tidak mahu mengendahkan kesucian cita-citanya”; kita bertemu dengan Encik Rahman, suami yang memandang isterinya hanya sebagai alat untuk memenuhi kehendak dan keinginannya; dan kita berkenalan dengan Encik Yusuf yang mengejar hidup pura-pura kerana hendak mengabui mata orang bawahannya. Dalam Banyak Anak, kita dibawa oleh Keris Mas mengikuti sebuah cerita yang rancak untuk memikirkan beberapa masalah sosial.

Terbukti bahawa bahan tentang kampung masih berguna kepada Keris Mas. Namun, cara beliau menggunakan bahan ini sudah berbeza. Dalam “Cerita-cerita Sepanjang Jalan“dan “Kejadian dalam Estet“, beliau dapat menggambarkan kepicikan hidup rakyat secara halus dan terlepas daripada kekasaran dan kebekuan dalam cerita-cerita permulaannya. Antara kisah itu, dapat juga beliau menyisipkan kecurangan yang selalu dilihatnya dalam masyarakat” Nyata sekali bahawa pada peringkat ini, Keris Mas telah bedal” memperbaiki tekniknya sebagai pencerita.

Pada peringkat ketiga, yang bermula lebih kurang selepas tahun 1955, kita berdampingan dengan Keris Mas selaku seorang penulis cerita pendek yang sudah mencapai puncak kematangannya. Dalam cerita yang terjaga baik dan tersusun rapi, beliau telah berjaya dengan berkesan sekali mengetengahkan isu yang berlaku di sekitarnya berdasarkan pandangannya sendiri. Beberapa halaman sahaja dalam “Kedai Sederet di Kampung Kami” dan “Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan” sudah cukup untuk memberikan gambaran yang padat tentang perkembangan politik, undang-undang darurat, akibat yang menimpa rakyat jelata yang tidak bersalah dan pemimpin yang disyak-wasangkakan. Sangat berani Keris Mas menjelaskan pendiriannya. Beliau dapat berbuat demikian oleh sebab dalam tahun kedua-dua cerita itu diterbitkan, semangat kemerdekaan telah berkobar-kobar dalam kalangan pemimpin dan rakyat Tanah Melayu.

Selepas tercapainya kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau telah muncul sebagai golongan, sama ada yang mendapat untung atau menanggung rugi disebabkan oleh peralihan keadaan ini. Oleh sebab beliau telah berpindah ke Kuala Lumpur pada ketika itu, Keris Mas dapat melihat telatah golongan yang cukup menarik untuk dijadikan bahan ceritanya. Menjelang Merdeka menceritakan perubahan sikap seorang bekas mahasiswa yang mahu memimpin rakyat tetapi hanya dari atas, dari kerusi kedudukan tinggi yang dapat dinikmatinya selepas kemerdekaan. “Mereka Tidak Mengerti” menggambarkan kekesalan di hati seorang ekspatriat Inggeris sebab melihat masa sudah berubah dan peranannya tidak sepenting dulu lagi; dan “Runtuh” menceritakan perubahan buruk yang berlaku ke atas seorang tokoh politik yang serta-merta menduduki tempat penting setelah keadaan politik berubah. Dalam “Salam Pimpin” kita diingatkan betapa rancangan kemajuan yang dijalankan untuk rakyat jelata hendaklah bersesuaian dengan kehendak dan keadaan mereka; kalau tidak bencana padahnya.

Menghalusi cerita-cerita pendek Keris Mas kita melihat bahawa beliau telah menggunakan sepenuhnya masyarakat sekeliling untuk mendapatkan ilham dan mencari bahan. Kita tidak mengetahui sejauh mana kenyataan yang digambarkan, perasaan yang dilukiskan dan fikiran yang dikemukakan oleh Keris Mas selama kira-kira 15 tahun itu telah berjaya memajukan fikiran rakyat. Rasanya hal ini tidak mustahak dirunsingkan kerana kita sedar bahawa faktor yang lebih asasi dan penting diperlukan untuk mengubah serta memajukan fikiran rakyat. Faktor sastera berkesan hanya apabila cita-cita di belakangnya sejajar dan diberikan galakan pula oleh cita-cita di sebalik faktor-faktor lain itu. Yang kita ketahui dan yang boleh kita banggakan ialah Keris Mas telah berjaya menghasilkan beberapa buah cerita pendek bersifat realistik yang benar-benar merupakan sumbangan besar kepada kesusasteraan Melayu keseluruhannya.

Kata Pengantar

1. Wasiat Orang Bangsawan
2. Darah dan Air Mata
3. Menjual Tanah Air
4. Keinsafan Malam Sunyi
5. Berhari Raya ke Kubur Nenek
6. Bukan Kerana Dia
7. Kejadian dalam Estet
8. Cerita Sepanjang Jalan (I)
9. Cerita Sepanjang Jalan (II)
10. Cerita Sepanjang Jalan (III)
11. Keras Hati
12. Banyak Anak
13. Bilik Belakang
14. Gila Anak Jantan
15. Kedai Sederet di Kampung Kami
16. Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan
17. Menjelang Merdeka
18. Mereka Tidak Mengerti
19. Runtuh
20. Salah Pimpin

Weight0.257 kg
Dimensions21.5 × 13.5 × 1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 1 review
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. Mohd Faizal (Verified Reader)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.