Pemantauan Pilihan Raya di Malaysia: Tadbir Urus dan Peranan Masyarakat Sivil

MUHAMAD TAKIYUDDIN ISMAIL adalah Profesor Madya dan Ketua Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

NORAZAM MOHD NOOR merupakan Pegawai Tadbir Diplomatik dan sekarang berkhidmat di Institute of Public Security of Malaysia (IPSOM).

Penerbit UM (Cetakan Pertama, 2021)
294 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM68.00

Only 1 left in stock

Pemantauan Pilihan Raya di Malaysia: Tadbir Urus dan Peranan Masyarakat Sivil menelusuri secara komprehensif ekologi yang wujud dalam pemantauan pilihan raya di Malaysia—dari aspek sejarah, tipologi kewujudan, pengoperasian dan impak sebenar yang dikenakan oleh mereka. Ia bukan sahaja meliputi penjelasan mengenai organisasi pemantauan pilihan raya domestik (DEMOs) yang menjadi fokus utama buku ini malahan pemantau pilihan raya antarabangsa yang hadir di Malaysia sejak PRU 1990. Semua perbahasan mengenai perkara ini diungkai dalam buku yang disiapkan bukan sahaja menerusi sumber sekunder, namun penglibatan turut serta kedua-dua penulis dalam pemantauan pilihan raya sejak PRU 2018 dan temu bual intensif dengan 48 informan yang terlibat dalam urusan pemantauan pilihan raya di Malaysia, Indonesia juga Filipina.

Secara mudahnya, jika ditanya apakah buku yang perlu dirujuk untuk mengetahui perjalanan pemantauan pilihan raya di Malaysia, jawapannya ialah tiada. Berbanding negara-negara lain seperti Filipina, Indonesia dan Thailand, sudah terbit buku-buku tertentu yang memperkatakan mengenai pemantauan pilihan raya di negara-negara berkenaan dari berbagai-bagai aspek. Hal ini tidaklah bermakna bahawa kajian mengenai pemantauan pilihan raya di Malaysia tidak pernah ditulis dalam terbitan-terbitan jurnal atau disentuh dalam buku-buku tertentu. Namun analisisnya kerap disentuh sepintas lalu, tidak komprehensif dan hanya memberatkan sisi-sisi tertentu khususnya pemantauan pilihan raya yang dijalankan oleh organisasi masyarakat sivil pro-demokrasi.

Biarpun kajian mengenai pilihan raya di Malaysia merupakan antara kajian yang begitu subur, kajian mengenai pemantauan pilihan raya merupakan fokus yang terabai. Sejak 1990, desakan mengenai kehadiran pemantau pilihan raya sama ada dalam kalangan organisasi domestik dan organisasi antarabangsa sentiasa kedengaran. Ia menjadi isu awal yang sentiasa didendangkan atas kebimbangan bahawa sistem pilihan raya di Malaysia gagal menyediakan “padang permainan yang rata.” Oleh sebab itu, perlunya pihak ketiga yang objektif dan tidak partisan untuk menilai perjalanan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan dari semasa ke semasa,

Namun adakah pemantauan pilihan raya merupakan mekanisme yang benar-benar bebas dan berwibawa dalam konteks Malaysia? Adakah mereka benar-benar layak dianggap sebagai “penyumbang” dan bersikap “sivil” dalam menambah baik sistem pilihan raya di Malaysia? Apakah jurang yang wujud di antara jangkaan yang dimainkan oleh organisasi pemantauan pilihan raya dengan realiti yang mengambil tempatnya? Apakah keterbelakangan sistem pemantauan pilihan raya di Malaysia berbanding Filipina atau Indonesia menyarankan bahawa sistem pilihan raya di Malaysia tidak kompeten?

Justeru, buku ini hadir untuk memenuhi lompong yang tidak terisi sejak sekian lama. Sejarah pemantauan pilihan raya di Malaysia bermula semasa PRU 1990 apabila kerajaan Malaysia menjemput Commonwealth Observer Group (COG) yang merupakan sebuah kumpulan pemerhati yang dilantik oleh Sekretariat Komanwel. Selain daripada itu, terdapat juga kumpulan pemantauan dalaman secara tidak rasmi yang turut serta semasa pilihan raya tersebut. Kumpulan ini dikenali sebagai Election Watch (EW) yang diketuai oleh mantan Presiden Mahkamah Persekutuan, Suffian Hashim dengan melaksanakan pemantauan semasa hari mengundi pada pilihan raya tersebut (UCA News 1990).

Begitu pun, desakan terhadap kehadiran pemantau pilihan raya ini haruslah dilihat dalam konteks iaitu cabaran berterusan terhadap legitimasi kepimpinan Mahathir sejak Krisis Politik 1987. Dengan kata lain, ia memulakan trend yang desakan terhadap kehadiran pemantau pilihan raya cenderung dilakukan apabila rejim BN berhadapan dengan krisis besar yang boleh menguntungkan pembangkang. Dalam PRU 1995 yang dilatari oleh kemajuan ekonomi yang baik dan menjurus kepada kemenangan besar semula BN, desakan yang sama tidak begitu kedengaran kerana ketidakwujudan krisis politik yang boleh memberi kesan kepada peluang persaingan yang dipunyai pembangkang ketika itu.

Peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO dan kerajaan pada 1999 telah menjadi pemangkin kepada kemunculan pelbagai NGO yang lantang menyuarakan pandangan mereka. Pemantauan pilihan raya secara tidak rasmi dilakukan oleh Pemantau Pilihan Raya Rakyat Malaysia (PEMANTAU 1999) pada PRU 1999, yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) dan telah berupaya mendapat penyertaan lebih 40 buah NGO lain. Pergerakan PEMANTAU 1999 ini bertujuan untuk memantau kempen pilihan raya dan menyediakan laporan berdasarkan dapatan mereka. Usaha pemantauan ini mendapat sokongan daripada parti-parti politik pembangkang dan NGO utama di negara ini. Hal ini adalah kerana Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan PAS bergabung dan membentuk Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Manakala Gagasan Demokrasi Rakyat (GAGASAN) pula melibatkan kerjasama di antara Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan DAP. Jalinan kesepakatan antara GERAK dan GAGASAN menghasilkan pergerakan PEMANTAU 1999. Keterlibatan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) (kemudiannya didaftarkan sebagai Parti Keadilan Nasional) sebagai penghubung antara GERAK dengan GAGASAN, membolehkan hasrat pergerakan ini dapat merentasi dan melatari segenap lapisan masyarakat dan etnik di Malaysia.

Namun, desakan terhadap kehadiran pemantau pilihan raya sekali lagi menghilang dalam PRU 2004 berikutan keterujaan peralihan kepimpinan Mahathir kepada Perdana Menteri baru, Abdullah Ahmad Badawi. Dalam PRU itu, BN mencapai kemenangan terbesar dalam sejarahnya. Namun dasar keterbukaan yang diasaskan Abdullah memberi ruang pada desakan terhadap penambahbaikan pilihan raya. Pada 2006, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) ditubuhkan dan melancarkan perhimpunan pertama bagi menuntut reformasi sistem pilihan raya pada 2007. Pertubuhan ini turut disertai dan disokong oleh 30 buah NGO termasuklah SUARAM serta media Malaysiakini. Keterlibatan pemerhati pilihan raya domestik di Malaysia secara rasminya berlaku semasa PRU 2008 apabila Malaysians for Free and Fair Election (MAFREL) yang ditubuhkan pada 18 Oktober 2003, telah mendapat pengiktirafan SPR pada April 2007 untuk menjalankan urusan pemantauan pilihan raya di Malaysia secara rasmi pada PRU 2008. Bagi pemerhati pilihan raya domestik, MAFREL diklasifikasikan sebagai pemerhati pilihan raya domestik terawal yang dilantik secara rasmi bagi pelaksanaan PRU 2008.

Selepas perhimpunan BERSIH 3.0 pada 2011, kerajaan Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Proses Pilihanraya (JPKPPP) pada 3 Oktober 2011. Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan untuk mengkaji pengukuhan organisasi SPR dan proses-proses pilihan raya sedia ada bagi tujuan penambahbaikan. Namun daripada kesemua cadangan penambahbaikan yang dikemukakan, tidak ada satu pun menyentuh mengenai peranan pasukan pemantauan pilihan raya. Hanya dalam PRU 2013, barulah SPR memperkenalkan konsep pemerhati pilihan raya bagi tujuan memantau pelaksanaan proses pilihan raya di Malaysia. SPR kemudiannya mengambil langkah penting dengan memberi akreditasi kepada 17 NGO tempatan untuk terlibat dalam pelaksanaan PRU 2013.

Sejumlah 1,200 orang pemerhati berkenaan mewakili 17 NGO urusan pemerhatian pilihan raya ini melibatkan penyertaan badan-badan pemerhati pilihan raya tempatan dari zon Semenanjung, zon Sabah dan zon Sarawak yang terdiri daripada NGO yang berpusat di setiap zon tersebut seperti Centre for Public Policy Studies (CPPS), Persatuan Dayak Miri (DAM), Gabungan Persatuan Cina Sabah, Gabungan Persatuan Orang Cacat Malaysia, Federation of Orang Ulu Association Malaysia (FORUM), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Merdeka Center, Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Sarawak (PEMBINA Sarawak), Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sabah, Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Belia Sabah (MBS), Dayak Bidayuh National Association (DBNA), Persatuan Cina Miri, Persatuan Melanau Sibu, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Orang Ulu National Association (OUNA), dan Sibu Chinese Chamber of Commerce and Industry (SCCCI).

Senarai Rajah
Senarai Gambar
Senarai Jadual
Prakata
Penghargaan
Senarai Singkatan

1. Pemantauan Pilihan Raya dalam Tadbir Urus Pilihan Raya
Latar Isu
Tadbir Urus Pilihan Raya
Sistem Pilihan Raya di Malaysia
Sejarah Pemantauan Pilihan Raya di Malaysia
Mengenai Buku Ini
Pembahagian Bab

2. Memahami dan Meneroka Perjalanan Pemantauan Pilihan Raya
Takrifan
Pemantauan Pilihan Raya Domestik
Pemantauan Pilihan Raya Antarabangsa
Pemerhati Pilihan Raya Zombie dan Bayangan
Pemantauan Media
Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Pemantauan Pilihan Raya
Peranan Masyarakat Sivil
Rungutan dan Struktur Peluang
Pemantauan Pilihan Raya di Asia Tenggara

3. Profil dan Struktur DEMOs di Malaysia
Kedudukan DEMOs dalam Tadbir Urus Pilihan Raya di Malaysia
Tipologi DEMOs Sehingga PRU 2018
Tipologi DEMOs Pasca PRU 2018
Proses Akreditasi DEMOs

4. Pengoperasian DEMOs di Malaysia: Cabaran Utama
Afiliasi Politik DEMOs
Kompetensi Keanggotaan DEMOs
Sokongan Kewangan DEMOs
Keseimbangan Jangkauan Pemantauan dan Fokus Geografi DEMOs

5. Pengoperasian DEMOs di Malaysia: Cabaran Sampingan Konsistensi Penglibatan Pemantauan DEMOs
Keseragaman Akses dan Teknik Pemantauan DEMOs
Keselamatan dan Perlindungan DEMOs
Pelaporan Pemantauan DEMOs

6. Pemantau Pilihan Raya Antarabangsa di Malaysia
Sejarah Pemantauan Antarabangsa di Malaysia
Kaedah dan Terma Pelantikan Pemantauan Antarabangsa oleh SPR
Peranan Aktiviti Pemantauan Antarabangsa

7. Apa yang Dipelajari?
Cadangan Masa Hadapan

Lampiran
Rujukan
Indeks

Weight0.484 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 1.6 cm
Author(s)

,

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.