Pemikir Politik Islam Alam Melayu di Malaysia

Disunting oleh MAKMOR TUMIN, ABU HANIFAH HARIS dan MUHAMMAD TAWFIK YAAKUB

Penerbit UM (Cetakan Pertama, 2022)
200 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM56.00

In stock

Pemikir Politik Islam Alam Melayu di Malaysia melihat unsur tanah air dan Alam Melayu dan kaitannya dengan dunia Timur Tengah berbanding dengan unsur Dunia Barat, terutamanya yang berkaitan dengan perihal pascamodenisme. Terdapat kepentingan untuk mengetengahkan ketokohan pemikir politik Islam Alam Melayu yang berperanan penting kepada tanah air dalam tempoh kira-kira hampir 100 tahun yang lalu. Buku ini adalah perbincangan sumbangan lapan daripada tokoh-tokoh pemikir politik berkenaan. Tokoh pertama yang diketengahkan adalah Tok Kenali yang terkenal sebagai ulama reformis yang bergiat aktif dalam dunia pendidikan dan dakwah yang mana beliau cuba menjauhkan diri daripada pertelingkahan yang disebabkan percaturan polemik Kaum Muda dan Kaum Tua dan sebaliknya menyeru masyarakat Melayu menuntut pelbagai ilmu dan berusaha meningkatkan kedudukan orang Melayu. Kemudiannya, peranan Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) pula ditonjolkan. Beliau disanjung sebagai pendeta dan jasa beliau dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan dan bahasa, agama serta politik menaikkan namanya sebagai pejuang bangsa. Susuk Burhanuddin al-Helmi juga ditonjolkan terutamanya dengan menghuraikan kegigihan tokoh ini menyemarakkan semangat gerakan penyahjajahan (decolonization) dengan gagasan islah dan Islamisme dalam membangunkan masyarakat Melayu.

Selanjutnya, buku ini juga menampilkan ketokohan Sheikh Abdullah Fahim sebagai ulama terkenal ilmu Falak dan peranannya dalam aspek kenegaraan, terutamanya penentuan tarikh Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957. Pemikiran politik Abu Bakar al-Baqir juga diketengahkan, terutamanya peranan tokoh ini dalam ilmu agama. Gagasan beliau tentang politik menyebabkan kegiatannya diawasi pihak pemerintah. Sumbangan Zulkifli Muhammad dalam bidang politik juga tidak ditinggalkan dalam perbincangan buku ini, khasnya peranan beliau dalam memantapkan perjuangan PAS. Muhammad Uthman El-Muhammady yang terkenal dengan pendekatan apolitical juga dibincangkan, yang mana gagasan siasah al-Wuaz, iaitu politik di peringkat orang kebanyakan sebagai sebahagian daripada pendekatan berkenaan. Peranan besar Nik Abdul Aziz terhadap kepimpinan dan pemikiran politik Islam orang Melayu juga mendapat perhatian yang mana gagasan penting tokoh ini tentang negara Islam dan tauhid menerangkan tentang pegangan yang tidak mengetepikan sebarang kepentingan dalam kehidupan.

Abad ke-20 pula sering dianggap sebagai kemuncak dalam perkembangan pemikiran politik Islam di Tanah Melayu kerana abad tersebut menyaksikan kemunculan ramai pemikir politik Islam, khususnya selepas penerbitan majalah al-Imam pada tahun 1906 oleh Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Sayyid Sheikh al-Hadi selaku pengarang. Hal ini kerana kemunculan al-Imam sering dianggap sebagai satu tahap baru dalam perkembangan pemikiran politik Islam kerana buat pertama kalinya pengarang Melayu mula membincangkan isu kemunduran yang melanda orang Melayu, dan seruan kepada orang Melayu agar bangkit daripada kemunduran serta berusaha untuk mengejar kemajuan. Perjuangan tersebut menjadikan al-Imam sebagai akhbar Melayu pertama yang menekankan isu islah dalam penerbitan akhbar ketika itu meskipun sudah terdapat akhbar Melayu yang diterbitkan pada akhir abad ke-19.

Sebelum abad ke-20, jumlah pemikir politik Islam di Tanah Melayu agak terhad disebabkan pelbagai faktor. Antaranya ialah pemahaman dan penghayatan orang Melayu terhadap ajaran Islam masih belum mendalam disebabkan peluang dan akses yang terhad bagi mendapatkan pendidikan Islam yang berkualiti. Selain itu, sebelum abad ke-19 teknologi percetakan masih belum maju sepenuhnya dan hanya bergantung kepada tulisan tangan, sekali gus mengehadkan jumlah karya yang mampu dihasilkan. Pada masa yang sama, penerbitan akhbar dan majalah Melayu juga belum berkembang di Tanah Melayu sebelum abad ke-19, sedangkan akhbar dan majalah sudah muncul antara medium penting kepada pemikir politik Islam pada abad ke-20 bagi menyampaikan idea politik mereka.

Oleh yang demikian, kaedah yang paling berkesan bagi mengkaji pemikiran politik Islam pada zaman awal ialah dengan mengkaji pengarang atau penyusun dan karya-karya mereka khususnya yang ada memaparkan unsur dan nilai politik Islam. Secara umumnya, nilai politik Islam yang dapat dikesan dalam karya-karya Melayu sebelum abad ke-20 ialah gambaran raja atau pembesar Melayu yang menjalankan pemerintahan berlandaskan hukum Islam, peranan pemerintah terhadap kegiatan penyebaran dakwah Islam dan dasar kerajaan berkaitan ilmu pengetahuan Islam. Selain itu, nilai politik Islam dalam sesuatu karya juga dapat dikesan melalui teguran pengarang atau penyusun terhadap raja dan pembesar . yang menjalankan pemerintahan bukan bersandarkan hukum Islam.

Penyumbang

PROLOG: Pemikir Politik Islam Melayu
Makmor Tumin, Abu Hanifah Haris & Mohammad Tawfik Yaakub
Pemikir Politik Islam di Tanah Melayu Sebelum Abad Ke-20
Cabaran Pemikiran Politik Islam Era Transisi dan Masa Kini
Penstrukturan Bab

1. Tok Kenali (1870-1933): Pemikiran Sosiopolitik Islam Tok Kenali
Kamarul Afendey Hamimi
Latar Belakang Tok Kenali
Latar Belakang Pendidikan
Tok Kenali Dan Kegiatan Dakwah di Kelantan
Pemikiran Sosiopolitik Islam Tok Kenali

2. Za’ba (1895-1973): Za’ba dan Naratif Pemikiran Politik Melayu Islam
Ermy Azziaty Rozali
Latar Belakang Za’ba
Pendeta yang Cakna dengan Masa Depan Anak Bangsa
Za’ba dan Pemikiran Politik Melayu Islam
Analisis dan Penilaian Pemikiran Za’ba

3. Burhanuddin al-Helmi (1911-1969): Pengaruh Idea Reformisme Islam Dr. Burhanuddin al-Helmi
Mohamad Muzammil Mohamad Noor
Pengaruh Asuhan Keluarga
Pengaruh Asuhan Islam
Pengaruh Ajaran Tarekat Naqsyabandiah
Pengaruh dan Pengalaman di Singapura
Pengaruh Berpersatuan Politik
Pengaruh dalam Penulisan
Pengaruh dalam Politik-Islam
Pengaruh Reformisme Islam dan Gerakan Kaum Muda

4. Sheikh Abdullah Fahim (1879-1961): Politik, Falak dan Merdeka dalam Historiografi Biografi Sheikh Abdullah Fahim
Azmul Fahimi Kamaruzaman & Ermy Azziaty Rozali
Historiografi Biografi Sheikh Abdullah Fahim
Biografi
Sumbangan
Idea Kerjasama Politik
Legasi Ilmu Falak
Penasihat dan Perundingan Kemerdekaan

5. Abu Bakar Al-Baqir (1907-1974): Pemikiran dan Penglibatan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dalam Politik Tanah Air
Farid Mat Zain & Nurul Husni Abdullah
Latar Belakang
Penglibatan dalam Politik
Penubuhan Hizbul Muslimin
Perjuangan Hizbul Muslimin
Perjuangan Kemerdekaan Tanah Melayu

6. Zulkifli Muhammad (1927-1964): Dari Pendidik ke Politikus dan Perjuangan Memartabatkan Gagasan Politik Islam
Abu Hanifah Haris
Latar Belakang
Melanjutkan Pengajian di Mesir
Pulang Ke Tanah Air
Berkhidmat di Kolej Islam Malaya
Perjuangan Politik
Pemikiran Politik
Detik-Detik Akhir Hayat

7. Muhammad Uthman El-Muhammady (1943-2013): Konsep dan Aktiviti Politik Pendakwah Awam (Siyasah Al-Wu’az)
Makmor Tumin & Ahmad El-Muhammady
Biodata dan Kerjaya
Identiti Islam dan Melayu
Akidah dan Pemikiran Politik
Kewajipan Ketaatan kepada Pemerintah Ulil Amri
Darul Islam, Daulah Islam dan Sekularisme
PAS, UMNO dan Kekompakan Melayu

8. Nik Abdul Aziz (1932-2015): Kedinamikan Pemikiran Politik Islam dalam Konteks Demokrasi di Malaysia
Mohammad Tawfik Yaakub
Latar Belakang
Kedinamikan Pemikiran Politik Nik Abdul Aziz
Memahami Pendekatan Syura dan Demokrasi
Daripada Pemikiran Kepada Pentadbiran Kerajaan

EPILOG: Pemikiran Politik Islam di Malaysia: Cabaran Masa Hadapan
Makmor Tumin, Abu Hanifah Haris & Mohammad Tawfik Yaakub
Pemikiran Politik Islam Sebelum Merdeka
Pemikiran Politik Islam Selepas Merdeka
Pemikiran Politik Islam Era Impak Revolusi Iran dan Globalisasi

Indeks

Weight0.311 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 1 cm
Author(s)

, , , , , , , , ,

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.