Pemikiran Islah Yusuf Ahmad Lubis

KHAIRUDDIN SAID berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Usuluddin dari Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Penerbit UM (Cetakan pertama, 2012)
160 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM42.00

Only 1 left in stock

Product ID: 12892 Subject: Sub-subjects: , , , , ,

Pemikiran Islah Yusuf Ahmad Lubis mendedahkan biodata dan perjalanan hidup Yusuf Ahmad Lubis, serta kaitan dan sumbangannya dalam gerakan islah dan pemikiran islah yang dititip dalam karya-karya yang telah diterbitkan. Kemunculan ulama dalam bidang tafsir telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam perkembangan dakwah Islam. Antaranya, Yusuf Ahmad Lubis yang aktif dalam bidang tulisan dan gerakan dakwah di Indonesia dan Malaysia.

Keistimewaan buku ini terserlah melalui sumber pemikiran islah yang dicerakinkan dari ayat al-Quran dan pentafsilannya yang mengikut metode tafsir yang sebenarnya. Setiap idea digarap dari kandungan makna ayat al-Quran dan ditakwilkan maknanya sesuai dengan peristiwa-peristiwa dan isu-isu semasa yang melingkari kehidupan umat Islam dalam period kesedaran untuk bangkit membina jati diri yang Islami.

Pemikiran Islah Yusuf Ahmad Lubis mampu menjadi rujukan perkembangan gerakan Islam di Nusantara terutamanya di Sumatera Utara. Paparan kemunculan gerakan Islam dalam tempoh tersebut yang merupakan kemuncak keaktifan gerakan Islam sehingga kini jelas dan berdasarkan fakta dari sumber yang berautoriti. Kandungannya sesuai dibaca oleh semua peringkat masyarakat sebagai pendedahan awal kepada sumbangan tokoh ulama dan pemikirannya.

Sesungguhnya Nusantara tidak terkecuali melalui zaman perkembangan penulisan dalam disiplin Pengajian Islam. Umum mengetahui bahawa terdapat sejumlah karya telah dihasilkan dalam pelbagai bidang seperti fiqah dan ilmu tauhid. Namun sebahagian karya-karya yang bernilai itu telah lenyap bersama penulisnya. Satu daripada sebabnya ialah kurangnya penyelidikan terhadap mereka. Keadaan ini lebih ketara lagi dalam bidang tafsir yang dianggap kurang menonjol dan kurang diminati. Namun masih terdapat sejumlah ulama yang telah menyumbang dalam bidang ini dan Yusuf Ahmad Lubis merupakan seorang daripadanya.

Oleh itu, Pemikiran Islah Yusuf Ahmad Lubis mempunyai kepentingan tersendiri kerana memperkenalkan kepada khalayak tokoh ulama Nusantara yang belum dikaji seperti Yusuf Ahmad Lubis. Walaupun beliau tinggal di Medan, Indonesia tetapi buku-buku terawal beliau telah diterbitkan di Malaysia. Dalam masa yang sama beliau kerap berkunjung ke Malaysia dan turut serta membangunkan beberapa madrasah di utara Malaysia selain tugas-tugas dakwah yang kerap beliau lakukan. Ini memberi erti bahawa idea dan pemikiran beliau sebenarnya sentiasa berada di Malaysia. Tanpa kajian ilmiah, tokoh proaktif dan berjasa seperti beliau akan hilang bersama dengan buku dan sejarahnya.

Di samping itu, idea dalam buku-buku tafsir yang telah disusun akan dapat dimanfaatkan oleh khalayak sesuai dengan matlamat penulisannya. Idea-idea yang ingin disampaikan oleh beliau juga akan dapat dikembangkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Buku ini juga mengemukakan aspek penggunaan ayat al-Quran sebagai satu medium untuk membentuk idea islah dan seterusnya disampaikan kepada masyarakat.

Pemikiran dan gerakan islah kerap dilihat sebagai satu gerakan yang didominasi oleh satu aliran sahaja terutamanya golongan yang terpengaruh dengan gerakan islah di Timur Tengah. Keadaan ini memberi impak seolah-olah usaha dan pemikiran aliran lain tidak layak dinilai sebagai satu pembaharuan dalam mengubah pemikiran dan tindakan umat Islam. Amat penting meletak nilai islah pada satu standard yang boleh menjadi kayu pengukur terhadap usaha-usaha dakwah yang telah dilakukan oleh ulama. Oleh itu satu penjelasan tentang islah telah diberikan berdasarkan al-Quran dan hadis untuk dijadikan neraca dalam menilai pemikiran dan usaha yang diberikan untuk gerakan dakwah yang dilakukan Yusuf Ahmad Lubis di Malaysia dan Indonesia.

Pemikiran Islah Yusuf Ahmad Lubis disusun dalam lima bab. Bab pertama memperkenalkan Yusuf Ahmad Lubis, merangkumi sejarah kelahiran, pendidikan, sumbangan dan penulisan beliau dalam bidang tafsir dan pengajian Islam secara umum. Bab kedua memberi tumpuan terhadap sejarah pemikiran islah dan gerakannya di Malaysia dan Indonesia yang bergerak serentak serta kaitan dan persamaan gerakan tersebut. Bab ketiga mengandungi analisis terhadap pemikiran Yusuf Ahmad Lubis dalam usaha melakukan islah terhadap akidah Islam dan pelaksanaan syariatnya. Bab keempat mengandungi analisis terhadap pemikiran Yusuf Ahmad Lubis terhadap pembaharuan umat Islam dalam membentuk jati diri yang unggul menurut al-Quran. Bab kelima mengandungi kesimpulan terhadap perbahasan yang telah dikemukakan dalam bab-bab sebelumnya.

Weight0.234 kg
Dimensions21.5 × 13.8 × 1.3 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.