Pemikiran Politik Islam Masa Kini: Sandaran Syariah dan Falsafah ditulis tidak setakat ingin mengetengahkan idea politik Islam, malahan percubaan untuk menunjukkan bentuk-bentuk respons pemikir Islam terhadap gagasan yang datang dan mempengaruhi pemikiran umat Islam, terutamanya gagasan liberalisme. Dengan mementaskan tokoh Islam dalam tujuh bab dengan aturannya daripada tokoh yang paling berusia kepada yang paling muda, diharapkan perbincangan tentang tujuh cendekiawan Islam yang dikaji itu dapat menepati tujuan penulisan buku ini. Terdapat dua justifikasi pemilihan tujuh tokoh dalam buku ini, iaitu yang berdasarkan wilayah pengaruh tokoh berkenaan dan faktor keketaraan dimensi sandaran syariah dan falsafah dalam buah pemikiran mereka. Rashid Ghannoushi mewakili tokoh daripada Afrika Utara, kemudian diikuti pula oleh Yusuf al-Qaradawi (Timur Tengah), Recep Tayyip Erdogan (Turki), Mohammad Khatami (Iran), Qazi Hussain (Indo-Pakistan), dan masing-masingnya daripada Asia Tenggara, iaitu Abdul Hadi Awang dan Amien Rais. Berkaitan dengan justifikasi dari segi dimensi sandaran syariah dan sandaran falsafahnya pula, kesemua tokoh yang dikaji ini sememangnya tegar condong kepada sandaran syariah. Cuma, yang ada perbezaan ketaranya dari segi pengaruh aliran ahli sunnah wal jamaah dan syiah.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan faktor majoriti penganut ahli sunnah wal jamaah dipertimbangkan secara serius dalam buku ini, hanya satu tokoh daripada aliran pengaruh syiah dikemukakan, iaitu Mohammad Khatami. Sungguhpun masing-masing tokoh yang dikaji tegar dengan aliran syariahnya, namun beberapa tokoh tertentu seperti Rashid Ghannoushi, Amien Rais, Recep Tayyip Erdogan dan Mohammad Khatami sendiri menunjukkan toleransi mereka terhadap mempertimbangkan aspek falsafah, iaitu falsafah Barat dalam wacana pemikiran politik mereka masing-masing. Ketujuh-tujuh pemikir yang ideanya dikupas oleh para penulis buku ini adalah beragama Islam, meskipun ada yang berlainan alirah akidah, dan tentunya ramai yang berbeza dari segi pemahaman fiqh. Begitu jugalah dengan aliran akidah dan fiqh para penulis. Perlulah difahami bahawa pemikir politik Islam yang ada di dunia ini, terutamanya di Barat itu tidak semestinya kesemuanya Islam, dan buku ini hanya mampu mengetengahkan pemikir Islam yang disumbangkan oleh orang Islam dalam wilayah-wilayah yang tidak termasuk dunia Eropah, Amerika Syarikat, serta lain-lainnya, cuma hanya tidak lain dan tidak bukan wilayah yang umum telah mengetahui tentang adanya tokoh-tokoh Islam. Wilayah yang dimaksudkan itu adalah Afrika Utara, Timur Tengah (termasuk Turki), Iran dan Indo-Pakistan, dan termasuklah dunia Alam Melayu juga.
Reviews
There are no reviews yet