Pengajian Tinggi: Pendemokrasian, Pengkomersialan dan Pengantarabangsaan

QASIM AHMAD adalah penyelidik, dan pernah bertugas di Fakulti Sains Pentadbiran Pengajian Polisi UiTM dari tahun 2005 hingga 2014.

Penerbit UM (Cetakan Pertama, 2022)
607 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM98.00

In stock

Pengajian Tinggi: Pendemokrasian, Pengkomersialan dan Pengantarabangsaan menggarap fenomena proses pendemokrasian, pengkomersialan dan pengantarabangsaan telah membawa kejayaan cemerlang kepada sesetengah universiti, dengan mengambil kira perkembangan pengajian tinggi di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia—sesuatu yang mungkin julung kalinya dilakukan oleh penulis tempatan. Istilah seperti globalisasi, ledakan maklumat, pemeluasan akses, pendemokrasian, pengantarabangsaan, pengkorporatan, penswastaan, pengkomersialan, pembelajaran dalam talian, pendidikan sepanjang hayat semuanya merupakan ciri-ciri atau hal-hal yang sering diperkatakan tentang pengajian tinggi masa kini. Tidak dapat dinafikan bahawa pada dekad-dekad akhir kurun kedua puluh yang lalu landskap pengajian tinggi di banyak negara di dunia telah mengalami perubahan besar. Proses transformasi ini masih berterusan dan kekal dirasai.

Antara sebab utama yang mendorong atau mengakibatkan revolusi senyap dalam dunia pengajian tinggi ini ialah kemajuan pesat dalam bidang teknologi maklumat, kedinamikan sistem pengangkutan awam, perubahan demografi, perkembangan ekonomi dan mobiliti sosial dalam masyarakat di seantero alam. Proses pendemokrasian, pengkomersialan dan pengantarabangsaan pengajian tinggi ini amat berkait rapat di antara satu sama lain. Pada suatu masa dahulu pengajian tinggi ini umumnya berunsur elitis, yakni ia menjadi hak atau privilege sekumpulan kecil ahli masyarakat. Seterusnya, dibandingkan dengan keadaan masa kini, kos pengendalian institusi pengajian tinggi dahulu tidaklah begitu tinggi. Ia mudah ditanggung oleh pihak pemerintah atau sesuatu badan atau para individu yang berharta lumayan lagi dermawan.

Pembiayaan oleh pihak kerajaan bermakna pembayar cukailah yang terlibat. Hal ini dianggap wajar kerana apabila para graduan dari beraneka disiplin akademik ini bekerja dan menawarkan khidmat mereka dalam pelbagai bidang, maka masyarakat (pembayar cukai) jugalah yang akhirnya akan mendapat faedah dan manfaatnya. Lagipun, pendidikan sering dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia. Jadi kerajaan dikatakan mempunyai obligasi atau tanggungjawab untuk membolehkan rakyatnya menikmati hak asas; tersebut.

Kemudian pada zaman kita ini, universiti telah memberi peluang pengajian kepada lebih ramai calon, terutamanya golongan lepasan sekolah menengah. Golongan yang sudah bekerja, yang telah lama meninggalkan bangku sekolah, juga telah turut dibawa arus ini, memasuki universiti tidak lagi terdiri daripada ahli kelas atasan atau menengah semata-mata. Para calon dari kelas bawahan kian bertambah bilangannya di universiti. Begitulah juga halnya dengan kaum wanita dan ahli masyarakat dari golongan minoriti atau etnik yang terpinggir di dalam sesebuah negara. Inilah dia pendemokrasian pengajian tinggi.

Dari segi teorinya, pendemokrasian, pengkomersialan dan pengantarabangsaan pengajian tinggi memang mempunyai asas tertentu dan menjanjikan prospek yang menarik. Apa tidaknya, dengan pemeluasan akses ke institusi pengajian tinggi maka lebih ramailah lepasan sekolah akan diberikan peluang untuk memasuki universiti. Dengan itu peluang pekerjaan yang lebih baik akan terbuka kepada lebih ramai rakyat. Paling tidak pun jumlah rakyat yang berpendidikan tinggi, yang lebih berpelajaran, akan bertambah.

Jadi, demi meneruskan agenda pendemokrasian pengajian tinggi ini, Kerajaan Konservatif di United Kingdom atau UK pada hujung tahun 2016, telah memperkenalkan rang undang-undang pengajian tinggi dan penyelidikan. Tujuan utamanya ialah bagi memudahkan lagi penubuhan universiti baru. Hasratnya ialah agar institusi pengajian tinggi baru yang belum bertaraf universiti dibolehkan memohon menjadi universiti tanpa mengemukakan rekod pengalaman akademik yang meluas. Dengan tertubuhnya lebih banyak universiti, kata Joseph Johnson Menteri Universiti, Sains, Penyelidikan dan Inovasi UK (2015-2018 dan 2019), maka para pelajar akan mempunyai lebih pilihan. Sehubungan dengan itu, universiti di UK, termasuk universiti elit, dijangka akan membuka peluang kemasukan kepada lebih ramai calon.

Joseph atau Jo Johnson juga mahu agenda pendemokrasian itu disekalikan dengan kegiatan pengkomersialan pengajian tinggi. Bagi beliau, para pelajar akhirnya akan menentukan atau mempengaruhi universiti agar menjadi mesra pelajar. Universiti akan bertindak dan terpanggil untuk memberikan sistem pengajaran dan pembelajaran yang terbaik kepada para pelajar. Dengan kata lain, pelajar adalah klien yang akan turut membentuk perjalanan universiti. Pembekal produk pengajian tinggi yang tidak mengendahkan tuntutan para pelajar ‘akan menghadapi risiko tertinggal di belakang’. Menyokong langkah kerajaan tersebut, seorang jurucakap Jabatan Pelajaran United Kingdom berkata, “Kita mahu lebih ramai golongan muda berpeluang mendapat akses kepada pendidikan universiti yang lebih berkualiti.”

Memanglah perkiraan begini dicedok bulat-bulat dari teori ekonomi liberal yang mengandaikan terdapatnya persaingan yang adil dan konsumer yang rasional. Pendeknya, persaingan akan menguntungkan pelanggan seandainya pelanggan betul-betul tahu dan arif tentang aneka pilihan yang wujud dalam pasaran. Pada masa yang sama mereka juga tidak terhalang untuk melaksanakan pilihan seperti yang dihajatkan. Tetapi segala andaian sebegini tidak sentiasa terdapat atau terbukti tepat di dunia nyata.

Senarai Rajah dan Jadual
Prakata
Siri Wawancara
Senarai Singkatan

1. Pengenalan
2. Konsep Sebuah Universiti
3. Anekaversiti?
4. Pendemokrasian
5. Pengkomersialan
6. Pengkorporatan di Malaysia
7. Autonomi dan Akauntabiliti
8. Pengantarabangsaan
9. Faedah dan Cabaran
10. Pendidikan Transnasional
11. Isu Bahasa Inggeris
12. Akhir Bicara

Rujukan
Indeks

Weight0.922 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 3.1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.