Pengaruh Pemikiran Ulama di Semenanjung Malaysia Akhir Abad ke-20

SHUKRI AHMAD adalah Profesor di Universiti Utara Malaysia.

Penerbit UUM (Cetakan Kedua, 2014)
289 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM52.00

In stock

Pengaruh Pemikiran Ulama di Semenanjung Malaysia Akhir Abad ke-20 memberi tumpuan khusus terhadap kategori ulama di Semenanjung Malaysia pada akhir abad ke-20. Selain itu, ia juga menganalisis mengenai peranan ulama sebagai pengawal pemikiran Syariat-Sunni dan pemikiran tasawuf. Antara yang turut disentuh dalam buku ini adalah peranan institusi-institusi utama Islam dalam membina jaringan ulama seperti Makkah dan Madinah serta analisis mengenai penglibatan ulama dalam parti politik. Selain itu, buku ini juga menganalisis tentang penglibatan ulama dan penyertaan mereka dalam beberapa pilihan raya di Malaysia sehingga 1999. Turut dibahaskan adalah kesan daripada peranan yang mereka mainkan sehingga dapat membentuk pola politik di alaf baru ini.

Pengaruh Pemikiran Ulama di Semenanjung Malaysia Akhir Abad ke-20 juga bertujuan mengetengahkan penjelasan komprehensif mengenai ulama dan pemikiran mereka di Semenanjung Malaysia sepanjang abad ke-20. Tiga aspek utama yang melibatkan peranan ulama dibincangkan dalam buku ini iaitu aspek agama, pendidikan dan politik. Manakala dua kategori ulama dijadikan asas dalam buku ini iaitu melibatkan ulama tradisional dan ulama bukan tradisional. Dalam bab dua, buku ini menjelaskan pengertian ulama, pengelasan ‘ulama* al-din dan kriteria-kriterianya. Kemudian disusuli dengan perbincangan mengenai peranan dan penglibatan ulama abad ke-19 dalam bab tiga dan peranan ulama abad ke-20 dalam bab empat. Bab seterusnya mengemukakan implikasi penglibatan ulama tradisional dan bukan tradisional dalam organisasi politik dan sosial akhir abad ke-20.

Menyoroti peranan ulama abad ke-19, ternyata peranan mereka di Tanah Melayu atau di Semenanjung Malaysia adalah cukup besar. Ulama tradisional tempatan telah berjaya melaksanakan fungsi mereka sebagai ‘ulama al-din dalam bidang keagamaan dan pendidikan walaupun agak kurang menonjol dalam bidang politik. Institusi pendidikan tradisional pondok menjadi tunggak kepada penglibatan mereka. Lebih mengukuhkan, institusi ini turut mendapat naungan raja-raja Melayu. Ulama tradisional berpendidikan Haramayn ternyata mendominasi pemikiran agama dan sosio budaya pada masa itu. Mereka terus memperkembangkan neo-sufisme aliran al-Ghazali menerusi gabungan bersepadu ‘ilm al-syari’ah dan ‘ilm al-tasawwuf yang bertunjangkan amalan tarekat. Ulama tradisional rasmi pula telah memainkan peranan mengawal akidah masyarakat Islam daripada kepercayaan tahayul dan khurafat. Mereka merupakan golongan yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa secara rasmi mengenai agama.

Menjelang abad ke-20 suatu fenomena yang dinamakan sebagai fenomena kesinambungan dan perubahan (continuity and change) berlaku dalam pemikiran ulama. Dalam suasana ulama tradisional masih kukuh meneruskan peranan mereka dalam tradisi pengajian pondok, muncul ulama reformis yang membawa pemikiran pembaharuan. Kemunculan ulama reformis menandakan kemunculan ulama bukan tradisional. Natijahnya, kefahaman agama mula berubah dalam kalangan masyarakat dan semakin didominasi ulama bukan tradisional. Perubahan dalam sistem pengajian, pemikiran tasawuf dan syariat serta penglibatan mereka dalam pentadbiran dan politik berlaku dengan ketara. Pada akhir abad ke-20 kedudukan ulama bukan tradisional semakin kukuh. Ulama bukan tradisional semakin terlibat dalam institusi politik dan sosial. Antara institusi politik yang terlibat ialah parti PAS dan UMNO. Manakala institusi sosial ialah dalam pertubuhan-pertubuhan sukarela seperti ABIM, JIM dan Persatuan-Persatuan Ulama.

Secara umumnya, Pengaruh Pemikiran Ulama di Semenanjung Malaysia Akhir Abad ke-20 mendapati bahawa ulama tradisional telah berjaya mempertingkatkan kefahaman agama dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat tempatan. Manakala peranan dan sumbangan ulama bukan tradisional pula lebih ketara melalui penglibatan dalam organisasi politik dan institusi sosial yang tertentu.

Weight0.474 kg
Dimensions22.8 × 15.3 × 1.7 cm
Author(s)

Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.