Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai di Terengganu 1942-1945

ABDULLAH ZAKARIA GHAZALI adalah Profesor di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Antara karya beliau ialah Terengganu: Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan (1966), Ngah Ibrahim: Orang Kaya Menteri Paduka Tuan (1993), Dato’ Sagor: Peranannya Dalam Gerakan Menentang British di Perak 1874-1876 (1993). beliau juga merupakan salah seorang ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia.

UM Press (Cetakan Pertama, 1996)
202 halaman

RM25.00

In stock

Product ID: 4375 SKU: 9789679940978 Categories: , , Tags: , , , , , ,

Perbincangan Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai di Terengganu 1942-1945 menyentuh perjalanan pentadbiran tentera Jepun dan Thai di Terengganu pada tahun 1942-1945. Sejarah Malaysia pada tahun 1942-1945 dikenali sebagai zaman pendudukan Jepun. Tentera Jepun merancang menyerang Tanah Melayu melalui Thailand sejak tahun 1938. Walaupun begitu hanya pada Oktober 1940, barulah Phibun Songkhram, Perdana Menteri Thailand secara rahsia membenarkan tentera Jepun menyerang Tanah Melayu melalui negaranya. Sebagai menyatakan kerjasama, Thailand membenarkan Jepun mendirikan Konsulnya di Senggora (Songkhla). Dengan itu pada Mac 1941, Konsul Jepun dibuka di Senggora.

Tentera Jepun melancarkan serangan melalui Thailand ke atas Kota Bharu, dan seterusnya memasuki Terengganu pada 10 Disember 1941. Kemudiannya tentera British menyerah kalah di Singapura pada 15 Februari 1942. Dengan itu tentera Jepun pun memerintah Tanah Melayu sehingga mereka dikalahkan oleh Tentera Berikat pada tahun 1945. Sementara tentera Jepun memerintah Tanah Melayu, empat buah negeri Melayu, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu dipindahkan ke bawah pentadbiran tentera Thai pada tahun 1943. Dengan itu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu ditadbir di bawah tentera Jepun pada tahun 1942-1943 dan tentera Thai pada tahun 1943-1945. Manakala negeri lain di Tanah Melayu terus menerus berada di bawah pentadbiran tentera Jepun pada tahun 1942-1945.

Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai di Terengganu 1942-1945 mencuba untuk melihat bagaimana tentera Jepun dan kemudiannya tentera Thai melaksanakan dasar, undang-undang dan peraturan di Terengganu. Walaupun kajian ini hanya tentang Terengganu, tetapi dapat mencerminkan perjalanan pentadbiran tentera Jepun di Tanah Melayu dan pentadbiran tentera Thai di negeri Perlis, Kedah, dan Kelantan.

Dalam usaha menjelaskan perkara ini, peraturan dan undang-undang yang diisytiharkan dan dikuatkuasakan oleh pentadbiran tentera Jepun, tahun 1942-1943 dan pentadbiran tentera Thai, tahun 1943-1945 di Terengganu menjadi rujukan utama. Selain itu surat-menyurat juga digunakan dalam kajian ini. Sebahagian besar dokumen yang digunakan ini terdapat dalam fail Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Bagi memudahkan perbincangan, dengan sengaja bab buku Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai di Terengganu 1942-1945 dibahagikan kepada Pentadbiran Tentera Jepun, tahun 1942-1943 dan Pentadbiran Tentera Thai, tahun 1943-1945. Manakala Bab 1, Pentadbiran Terengganu Sebelum tahun 1942 adalah sebagai latar kepada pentadbiran Jepun di Terengganu. Walaupun perbincangan buku ini disentuh secara berasingan: Pentadbiran Terengganu Sebelum tahun 1942, Pentadbiran Tentera Jepun, tahun 19421943 dan Pentadbiran Tentera Thai, tahun 1943-1945 tetap diharapkan kajian ini dapat memaparkan perubahan dan kesinambungan dalam pentadbiran Terengganu.

Dengan mengekalkan bidang kuasa Sultan dalam hal berkaitan dengan agama; tentera Jepun menguruskan pentadbiran Terengganu berasaskan lima Pejabat: Pejabat Cuji Keimu-bu (Pejabat khas untuk Syuciji Terengganu), Pejabat Somu-bu (Pejabat Am), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah), Pejabat Sangyo-bu (Pejabat Perniagaan) dan Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan). Pegawai tempatan yang bertugas sebelum pentadbiran Jepun dikekalkan. Manakala kuasa tertinggi pentadbiran terletak di tangan Gabenor atau Syuciji.

Selain itu, Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai di Terengganu 1942-1945 juga cuba memaparkan berbagai-bagai perubahan yang berlaku dalam pentadbiran Terengganu pada tempoh tahun 1942-1945. Misalnya, ketika pentadbiran tentera Jepun, perjalanan pejabat berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan tentera Jepun. Berbagai-bagai arahan dikeluarkan. Antara arahan itu ialah orang ramai memberi hormat kepada pegawai dan tentera Jepun dan mempelajari bahasa Jepun. Pada 1 April 1942, Syuciji Terengganu memaklumkan kepada Sultan Terengganu bahawa baginda tidak boleh lagi campur tangan dalam pentadbiran Terengganu.

Begitu juga pada 1 April 1942, penduduk Terengganu dimaklumkan bahawa segala peraturan atau undang-undang yang dilaksanakan pada masa pentadbiran tentera Jepun disifatkan sebagai Undang-Undang dan Peraturan Dai Nippon. Dengan itu segala undang-undang dan peraturan sebelum ini yang berkuat kuasa atas nama ‘Duli Yang Maha Mulia dalam Mesyuarat” adalah terbatal. Selain itu pejabat kerajaan diarahkan berjimat cermat dalam penggunaan alat tulis, buku-buku, dan borang-borang bercetak.

Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai di Terengganu 1942-1945 juga cuba memaparkan dasar pentadbiran tentera Jepun terhadap Sultan dan Mahkamah. Misalnya, kerajaan tentera Jepun tidak membenarkan Sultan menaikkan bendera di Istana Kolam. Arahan juga dikeluarkan untuk melarang pemasangan bendera kerajaan atau Jepun pada kereta sultan atau pegawai. Pihak Jepun hanya akan mengeluarkan sekeping surat dalam tulisan Jepun yang bermaksud “Terengganu Sultan” untuk dilekatkan pada kereta Sultan. Pentadbiran tentera Jepun juga tidak membenarkan orang memakai lambang Kerajaan Negeri Terengganu yang berbentuk mahkota dan keris kerana itu dianggap bukan cap keturunan Sultan tetapi hanyalah cap kerajaan dahulu.

Pada 7 Mei 1942, jawatan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan dimansuhkan. Perubahan juga dilakukan dalam bidang kehakiman. Mahkamah Terengganu dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu Mahkamah Koto Hain atau Mahkamah Besar, Mahkamah Ciho Hoin atau Mahkamah Jajahan, dan Mahkamah Kaikyo Hoin atau Mahkamah Kadi. Di samping itu disentuh juga perubahan yang dilakukan dalam perkhidmatan polis, hari kelepasan, dan waktu pejabat. Hari kebesaran negara Jepun disambut di Terengganu dan menjadi hari kelepasan. Waktu pejabat yang dipinda itu berdasarkan waktu tempatan Jepun.

Oleh sebab Jepun menyerahkan Terengganu, termasuk Perlis, Kedah, dan Kelantan kepada Thailand, beberapa perkara berkaitan sehingga penyerahan dibuat turut sama disentuh. Pada tahun 1943, beberapa langkah diambil oleh kerajaan Jepun dan Thailand untuk memindahkan pentadbiran Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu kepada kerajaan Thailand. Sehubungan dengan ini disentuh juga tentang adanya segolongan penduduk Terengganu melalui Sultan dan Mufti yang membantah perpindahan ini. Bantahan ini tidak berkesan dan Jepun terus dengan rancangannya.

Apabila mengambil alih teraju pemerintahan, kerajaan Thai meletakkan Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu di bawah pentadbiran Gabenor Jeneral yang berpusat di Alor Setar. Pentadbiran tiap-tiap negeri pula diletakkan di bawah Gabenor.

Dalam pada itu perbincangan Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai di Terengganu 1942-1945 juga dibuat terhadap proses perpindahan kuasa tersebut. Pada 15 Oktober 1943, Gabenor dan pegawai-pegawai Thai tiba di Terengganu dan mereka mengambil alih teraju pemerintahan Terengganu pada 18 Oktober 1943. Pentadbiran Terengganu diletakkan di bawah gabenor. Kemudiannya pada 1 November 1943, gelaran Gabenor Jeneral ditukarkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Tentera Thai Bagi Empat Buah Negeri (The Military High Commissioner of Four States). Manakala gelaran gabenor bagi tiap-tiap negeri ditukarkan kepada Pesuruhjaya Tentera.

Dalam perbincangan pentadbiran tentera Thai, beberapa perkara diberi perhatian. Ini termasuk bagaimana pentadbiran tentera Thai menyesuaikan pentadbiran Terengganu dengan sistem mereka. Dengan ini kita akan dapat melihat beberapa perubahan yang berlaku, misalnya, waktu kerja diubah mengikut waktu Thailand dan hari perayaan Thailand disambut di Terengganu. Mereka juga membenarkan kerajaan Terengganu mengibarkan bendera di kawasan istana dan di kereta sultan serta memulihkan kembali Jemaah Mesyuarat Negeri dengan nama Montri Sapha yang dimansuhkan oleh pentadbiran tentera Jepun sebelum ini. Kini perjalanan pentadbiran negeri Terengganu berlandaskan keputusan terbanyak dalam Montri Sapha.

Pentadbiran tentera Thai di Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 15 Ogos 1945. Serentak dengan itu Tanah Melayu diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British. Manakala Terengganu diletakkan di dalam Region 8, di bawah pentadbiran Leftenan Kolonel D. Headly.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.270 kg
Dimensions 21.3 × 13.7 × 1.2 cm
Edition

Format

ISBN

9789679940978

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Pentadbiran Tentera Jepun dan Thai di Terengganu 1942-1945”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.