Out of stock

Penyakit Tropika di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, 1896-1914

NORAINI MOHAMED HASSAN adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

Penerbit UM (Cetakan Pertama, 2008)
144 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM44.00

Out of stock

Penyakit Tropika di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, 1896-1914 membincangkan penularan tiga jenis penyakit tropika iaitu beri-beri, malaria dan disenteri di Negeri-negeri Melayu Bersekutu antara tahun 1896 hingga tahun 1914. Perkembangan ekonomi dan kemasukan buruh asing merupakan faktor utama berlakunya penularan penyakit yang serius dalam kalangan penduduk khasnya golongan imigran. Keadaan ini menyebabkan British memperkenalkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan sebagai usaha menangani permasalahan kesihatan yang wujud. Penulisan buku ini memperincikan sejarah penularan setiap penyakit, kawasan dan kelompok sasaran serangan penyakit dan agenda pengawalan yang dilaksanakan oleh pihak British dalam tempoh tersebut. Dalam memperhalus langkah-langkah pengawalan British, terlihat akan pemberatan yang diberikan kepada ketiga-tiga penyakit ini kerana kaitan langsungnya dengan keperluan perburuhan dan kegiatan ekonomi yang rancak di Negeri-negeri Melayu Bersekutu ketika itu. Peranan yang dimainkan oleh tenaga perubatan negeri, kakitangan Institut Penyelidikan Perubatan dan kerajaan persekutuan menjelaskan lagi peri pentingnya pengawalan yang terbaik perlu dilakukan.

Perbincangan Penyakit Tropika di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, 1896-1914 ditumpukan pada tahun 1896 kerana pada tahun ini British telah membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, Dengan pembentukan ini telah diwujudkan pegawai dan jabatan-jabatan persekutuan untuk menyelaras pentadbiran antara keempat-empat negeri. Salah satu aspek yang diberi penekanan adalah penyatuan pentadbiran perubatan di peringkat pusat. Cadangan jawatan Chief Surgeon seperti dalam Scheme for the Administrative Federation of the Protected Malay States menunjukkan kepentingan penyatuan tersebut. Walaupun pentadbiran perubatan negeri masih berada di bawah State Surgeon masing-masing selepas pembentukan Persekutuan, Principal Civil Medical Officer dari Perkhidmatan Perubatan Negeri-negeri Selat telah dilantik sebagai Inspector-General of Medical Institutions in the Federated Malay States. Beliau bertanggungjawab melakukan lawatan pemeriksaan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan membuat laporan kepada Residen Jeneral.

Perkembangan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini disambut pula dengan keprihatinan Joseph Chamberlain, Setiausaha Negara untuk Tanah Jajahan terhadap penyakit. Beliau memberi perhatian khusus kepada kesan perkembangan parasitologi dan bakteriolog terhadap tanah jajahan. Penularan penyakit dilihat sebagai penghalang kepada perluasan ekonomi British di kawasan yang dikuasainya. Pelantikan Dr. Patrick Manson pada 7 Julai 1897 sebagai Penasihat Perubatan untuk Pejabat Tanah Jajahan yang baru membuktikan komitmen Chamberlain. Gabungan Chamberlain-Manson merealisasikan penubuhan London School of Tropical Medicine pada 2 Oktober 1899; sebuah institusi untuk melatih pegawai-pegawai perubatan yang akan atau sedang berkhidmat di koloni tropika British mengenai penyakit tropika.

Skop perbincangan dalam Penyakit Tropika di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, 1896-1914 dibataskan sehingga tahun 1914. Impak peperangan yang berlaku di Eropah terhadap penularan penyakit tropika di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dapat dilihat dalam dua keadaan berbeza yang menjadikan perbincangan selepas tahun 1914 beralih ke satu tahap yang lain. Keadaan pertama ialah pengurangan kakitangan atasan Eropah kerana berkhidmat dalam perang. Antara tahun 1915 hingga 1917 misalnya, seramai 15 orang kakitangan Eropah dari Jabatan Perubatan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Institut Penyelidikan Perubatan meninggalkan jawatan masing-masing untuk berkhidmat dalam tentera British. Pengurangan kakitangan Eropah dalam jabatan perubatan semasa perang menyebabkan wujudnya masalah pentadbiran kesihatan yang serius selepas perang.

Keadaan kedua ialah pengurangan perbelanjaan kerajaan. Akibatnya, kebanyakan projek awam yang utama seperti pembinaan jalan raya, limbungan dan hospital terpaksa ditangguhkan.” Antara tahun 1914-1916 misalnya, perbelanjaan kerajaan persekutuan menurun daripada $55,010,037 (1914) kepada $42,838,631 (1915) dan $31,966,581 (1916). Hasil pendapatan kerajaan persekutuan juga menurun daripada $44 juta pada tahun 1913 kepada $40 juta antara tahun 1914-1915. Hal ini menyebabkan peruntukan kepada jabatan-jabatan kerajaan terpaksa dikurangkan dan ini memberi kesan terhadap projek yang sedang dan akan dijalankan oleh jabatan-jabatan berkenaan.

Justeru itu, jangka masa antara tahun 1896 hingga 1914 merupakan tempoh paling penting untuk memahami peranan British dalam mengawal penularan penyakit ekoran eksploitasi ekonomi yang dialami oleh negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British. Menurut J. Norman Parmer, pentadbiran British menjadikan masalah penyakit dan kematian yang diakibatkan olehnya bertambah serius daripada tempoh sebelumnya. Pembersihan tanah untuk estet, perkembangan kegiatan perlombongan dan pembinaan kerja-kerja awam telah mengganggu keseimbangan ekologi sedia ada. Tenaga buruh dairpada kalangan golongan imigran yang dibawa untuk membantu perkembangan ini tidak mempunyai sistem imun semula jadi. Manakala di satu pihak yang lain iaitu kerajaan kolonial yang menjadi penyedia perkhidmatan perubatan tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan. Keadaan ini menyebabkan berpuluh ribu pekerja imigran mati.

Weight0.255 kg
Dimensions22.7 × 15.1 × 1 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.