Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina

WAN NORHASNIAH WAN HUSIN adalah pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Penerbit UM (Cetakan kedua, 2015)
432 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM63.00

Only 1 left in stock

Kajian lalu yang membahaskan isu-isu hubungan etnik sama ada dari sudut politik, ekonomi, sistem kelas, dan sejarah masih kurang berjaya meleraikan konflik hubungan etnik yang berlarutan hingga masa kini. Fokus utama Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina ialah menganalisis dan menilai punca konflik antara etnik Melayu dengan etnik Cina dalam proses pembinaan negara-bangsa di Malaysia dari sudut baharu, iaitu perspektif peradaban.

Ini merujuk kepada dua nilai utama yang terangkum dalam peradaban dan budaya yang dikenali sebagai nilai induk dan rukun teras. Usaha memupuk kesatuan antara etnik Melayu dengan etnik Cina bukanlah sesuatu yang mudah kerana masing-masing lahir dengan mewarisi unsur budaya dan peradaban yang bertembungan. Jurang yang memisahkan hubungan kedua-dua etnik ini mungkin dapat dikurangkan dan kerjasama mampu dipupuk sekiranya semua pihak sedia bertolak ansur serta memahami kedudukan masing-masing menerusi sejarah.

Proses pembinaan negara-bangsa di Malaysia bermatlamatkan pengukuhan kesatuan dalam kalangan komuniti etnik yang berbeza, terutamanya antara komuniti Melayu dengan komuniti Cina, bagi melancarkan pentadbiran dan meningkatkan kemakmuran ekonomi. Walau bagaimanapun objektif tersebut sukar dicapai disebabkan perbezaan warisan peradaban seperti agama, bahasa, budaya, ekonomi, politik, sosial dan kesenian. Kesannya, meskipun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun, namun pemupukan rasa saling mempercayai agak sukar dan ketidakpuasan hati masih lagi wujud di antara satu sama lain.

Kajian mengenai hubungan etnik antara komuniti etnik di Malaysia sudah pun diketengahkan oleh ramai pengkaji sama ada dari aspek politik, ekonomi, sosial ataupun sejarah. Namun, kajian dari sudut peradaban yang melibatkan hubungan etnik antara komuniti Melayu dengan komuniti Cina belum lagi dikemukakan. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan perlakuan dan tindakan manusia dipengaruhi oleh dua nilai utama yang terangkum dalam peradaban dan budaya iaitu nilai induk (core value ataupun ‘conscience‘) dan rukun teras (core pillars). Nilai induk adalah nilai dalaman yang mengemudikan pemikiran dan perlakuan manusia, manakala rukun teras pula mencakupi agama, budaya, bahasa, ekonomi, politik, sosial dan kesenian yang wujud dalam sesebuah peradaban dan budaya.

Hasil daripada warisan nilai yang berbeza, kajian ini mendapati ia menjadi punca konflik antara etnik Melayu dengan etnik Cina. Nilai induk etnik Melayu berasaskan budi-Islam yang seterusnya melahirkan nilai tolak ansur dan tolong-menolong demi mencapai matlamat keamanan. Bagi etnik Cina, nilai induknya berasaskan filial piety yang melahirkan nilai kecinaan yang tegar, semangat kepuakan yang kental dan sikap pragmatis untuk mencapai matlamat menjadi sebuah komuniti etnik yang unggul.

Manakala rukun teras utama yang dipertahankan oleh etnik Melayu ialah nilai Ketuanan Politik Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan adat resam Melayu. Bagi etnik Cina pula rukun teras yang dipertahankan adalah budaya Cina, bahasa dan pendidikan Cina dan ekonomi Cina.

Konflik mulai terungkap dalam proses pembinaan negara-bangsa kerana salah satu matlamatnya adalah untuk melahirkan satu bangsa yang bersatu padu, yang memerlukan satu set nilai (dasar kebangsaan) yang boleh dikongsi bersama.

Pada peringkat ini didapati komuniti Melayu dan komuniti Cina berusaha untuk mempertahankan rukun teras masing-masing. Selaku penduduk asal, etnik Melayu begitu bersungguh-sungguh mempertahankan rukun teras mereka untuk dijadikan dasar kebangsaan bagi pembinaan negara-bangsa, manakala bagi etnik Cina usaha untuk melindungi rukun terasnya tetap dipertahankan dengan alasan mereka telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara ini. Bagaimana setiap komuniti etnik mempertahankan hak mereka telah memaparkan nilai induk masing-masing.

Dengan pengemudian nilai induk budi-Islam, pendekatan yang diketengahkan Melayu ketika menyelesaikan pertikaian lebih memaparkan sikap bertolak ansur dan akan berterusan selagi mana ancaman yang diketengahkan tidak melampaui batasan tertentu. Manakala bagi etnik Cina, perlindungan terhadap rukun terasnya lebih memaparkan sikap yang radikal seperti mengadakan mogok, hartal, demonstrasi dan penentangan secara bersenjata. Ianya terungkap hasil daripada pengemudian nilai induk filial piety, kecinaan yang tegar dan pragmatis.

Hasil daripada kajian semenjak dari pengenalan polisi Desentralisasi oleh British sehinggalah pada masa kini menunjukkan trend konflik hubungan etnik antara komuniti Melayu dengan komuniti Cina boleh dirumuskan sebagai bersifat peradaban, seperti yang diutarakan menerusi Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina.

Weight0.695 kg
Dimensions22.8 × 15.1 × 2.4 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.