Peranan Intelektual

Kumpulan tulisan USMAN AWANG, PRAMOEDYA ANANTA TOER, AHMAT ADAM, RUSTAM A. SANI dan OTTO RENÉ CASTILLO

Kata pengantar oleh SYED HUSIN ALI

SIRD (Cetakan Kedua, 2022)
139 halaman

RM18.00

Only 1 left in stock

ISBN: 9789670960104 Product ID: 2298 Subject: Sub-subjects: , ,

Buku Peranan Intelektual ialah sebuah kumpulan yang mengandungi empat buah karangan, oleh empat orang tokoh terkenal, tentang intelektual dan peranannya. Mereka ialah: Usman Awang, seorang sasterawan Malaysia ternama, terutama kerana sajak-sajaknya yang mudah, indah akan tetapi sangat berisi; Pramoedya Ananta Toer, pejuang dan novelis agung Indonesia yang pernah ditahan selama 10 tahun di Pulau Buru tanpa bicara; Rustam A. Sani, ahli akademik serta pengkritik sosial yang pernah diiktiraf sebagai intelek awam penting di Malaysia; dan Ahmat Adam, juga seorang ahli akademik, yang mengkhusus dalam bidang sejarah. Karangan-karangan ini sudah agak lama, kesemuanya diselesaikan sebelum terbitnya sinar abad ke-21.

Tulisan Usman “Peranan Intelektual” berdasarkan sebuah ucapannya kepada pelajar-pelajar Malaysia dan Singapura di London, yang disampaikan pada 25 Mei 1970. Karangan Pramoedya, bertajuk “Sikap dan Peranan Kaum Intelektual di Dunia Ketiga” merupakan petikan dari teks ceramahnya di Universitas Indonesia atas undangan Senat Mahasiswa universiti itu; malang tarikhnya tidak tercatat. Agak signifikan kedua-dua penulis ini berucap tentang peranan intelektual di hadapan para mahasiswa, kerana bukankah mahasiswa sering dianggap sebagai satu golongan intelektual yang penting?

Sebagai ahli akademik, Rustam sering menulis bagi persidangan ataupun jurnal ilmu. Esei Rustam “Tradisi Intelektual Melayu dan Pembentukan Bangsa Malaysia: Beberapa Persoalan Sosial” berasal sebagai salah sebuah kertas yang diterbitkan dalam Kertas Kadangkala Bil. 5 pada tahun 1989. Akan artikel Ahmat Adam pula, yang bertajuk ‘Sang Intelektual di Kawasan Nusantara: Suatu Tinjauan Historis”, ia diterbitkan juga dalam kertas kadangkala Bil. 15, bersama kertas Rustam.

Sungguhpun terdapat penumpuan yang agak berbeza di antara keempat-empat tulisan di sini, namun, kita dapat mengesan adanya kaitan di antara mereka.

Usman Awang memulakan pembicaraannya dengan takrifan agak panjang dan boleh dikatakan lengkap mengenai intelektual. Baginya, intelektual tidak semestinya seorang yang berpendidikan tinggi. Bahkan ia merupakan seorang yang mempunyai pengetahuan yang sentiasa dikembangkan. Ia pemikir yang mengembangkan ida. menggunakan ilmu untuk “mengkaji, menganalisis dan merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia’ mengenal kebenaran serta kebebasan, dan berani berjuang untuk menegakkannya.

Pada pandangan Usman, yang penting bagi intelektual ialah sikapnya. Usman berkata intelektual harus memihak kepada kemajuan ilmu pengetahuan sains dan teknologi, menegakkan “kebebasan berfikir, semangat perwira dan jiwa besar”, menghapuskan kemiskinan serta penyakitan dan menentang penindasan oleh golongan berkuasa serta kaya ke atas yang lemah serta miskin.

Dalam hubungan ini, kata Usman, “Peranan intelektual ialah mengenali masyarakat dan sistemnya dengan sedalam-dalamnya melihat dengan sikap kritis segala sebab dan akibat”. Sebagai contoh, untuk mengetahui masalah kemiskinan di kampung dalam konteks lebih luas; perlulah intelektual sejati menyelami masyarakat itu dan bukan dengan meninjau sebagai seorang pelancong cuma. Tidak boleh dengan mudah saja disimpulkan seorang petani itu miskin kerana mereka malas dan keadaan kemiskinan kampung memang sudah “natural”. Ada orang malas, tidak perlu bekerja tetapi hidup serba mewah dalam istana.

Bidang perbicaraan Pramoedya Ananta Toer kelihatan hampir sama dengan Usman, namun Pramoedya menumpu lebih khusus kepada peranan intelektual dalam Dunia Ketiga. Beliau bermula dengan memberi takrifan tentang Dunia Ketiga serta intelektual dan kemudian membicarakan peranannya. Huraian yang diberikan oleh Pramoedya tentang intelektual lebih ringkas daripada Usman, dan ada persamaannya. Pramoedya menganggap bahawa dalam diri intelektual itu “terdapat gudang ilmu dan pengetahuan, terutama pengalaman nasionnya, juga ia dengan isi gudangnya dapat memilih yang baik dan yang terbaik untuk dikembangkan.”

Pramoedya merujuk kepada “Kata Sahibul Hikayat” untuk memberi makna bahawa intelektual adalah kaum yang menempatkan nalar (pertimbangan akal) sebagai kemampuan pertama yang diutamakan, yang melihat tujuan akhir upaya manusia dalam memahami kebenarannya dengan penalarannya. Seterusnya beliau merujuk kepada Hinduisme, yang mempunyai sistem berkasta, untuk meletakkan kedudukan intelektual itu. Katanya “Kaum intelektual berada dalam kasta Brahmin. Hanya bezanya kaum Brahmin moden menempati kedudukan sebagai jambatan pada hari depan”.

Mengenai Dunia Ketiga pula, Pramoedya menyatakan bahawa kebanyakannya adalah negara-negara yang telah bebas daripada penjajahan. Antara penjajah terbesar dunia dalam sejarah ialah Portugis, Sepanyol, Inggeris dan buat seketika Jepun. Perkembangan penjajahan tiga-tiga kuasa Barat itu didorong oleh tujuan untuk menguasai ekonomi, pada peringkat awalnya perdagangan misalnya monopoli perdagangan rempah di Nusantara. Bangsa-bangsa dijajah kerana tidak mampu menghadapi perkembangan kegiatan Barat oleh kerana kemajuan teknologi perang Barat dan juga kerana adanya golongan dalam negara dijajah yang sanggup bersubahat dengan penjajah untuk menakluki negara mereka.

Penjajahan telah menimbulkan kekayaan dan kemajuan kuasa penjajah dan mengakibatkan keterbelakangan masyarakat dan kemiskinan rakyat di Dunia Ketiga. Untuk mengatasi imej kaya-miskin yang dikaitkan dengan negara penjajah dan Dunia Ketiga, telah ditimbulkan konsep-konsep seperti negara-negara Utara-Selatan dan juga diberi “nama manis” sebagai negara membangun. Secara ironis Pramoedya menyatakan: “Nama-nama yang lentur dan dilenturkan ini tidak lain daripada satu persetujuan tak terucapkan bahawa Dunia Ketiga berterima kasih pada bantuan yang menguntungkan dari Barat, sebaliknya Barat dengan bantuannya pada Dunia Ketiga mendapat keuntungan lebih besar lagi”. Di sinilah terletaknya kedudukan Dunia Ketiga yang mencabar sikap dan peranan kaum intelektual.

Pendekatan Rustam A. Sani dan Ahmat Adam berbeza daripada Usman dan Pramoedya. Rustam dan Ahmat Adam tidak merumuskan apa seharusnya sikap dan peranan intelektual dalam masyarakat, sebagaimana yang dilakukan oleh Usman dan Pramoedya. Bahkan mereka memerikan apa yang telah berlaku dalam masyarakat dan apa peranan yang berjaya atau tidak berjaya dilakukan oleh intelektual yang wujud ketika itu.

Rustam menumpukan perhatiannya kepada soal pembentukan negarabangsa, iaitu satu soal yang penting bagi kebanyakan bangsa yang telah bebas daripada penjajahan. Dalam hal ini kelihatan dua aliran, satu yang menekankan pulang kepada peribadi atau identiti nasional berasaskan tradisi dan satu lagi mementingkan upaya menyerap bahkan meniru budaya dunia moden khususnya dari Barat. Imbangan dan persaingan di antara kedua-dua natijah ini sering menimbulkan dilema di kalangan intelek politik yang mahu menegakkan negara bangsa. Dalam gerakan sejarah nasionalisme, terdapat kelompok tertentu yang “menjulang dan mengungkapkan simbol-simbol tertentu sebagai alat untuk menyatukan dan menggembleng kesetiaan para anggota kelompoknya…”

Di Malaya dulu terdapat kelompok Melayu yang menyuarakan cita-cita atau hasrat untuk menegakkan nasionalisme Melayu. Ada yang membataskan wilayah politik yang dicita-citakan itu bukan saja kepada negeri tradisional akan tetapi meliputi wilayah budaya dan politik lebih luas, iaitu Melayu Raya. Pada umumnya, tradisi pemikiran yang mencorakkan politik moden Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraan. Melalui bahasa, ini telah dikembangkan persuratan Melayu yang menyalut serta mengembangkan unsur-unsur bahasa, budaya, kepercayaan dan peradaban Hindu, Islam dan juga Barat. Akan tetapi ini “tidaklah semestinya melibatkan penyerapan unsur-unsur pemikiran dan tradisi intelektual yang mendalam. Walaupun pengaruh Islam paling kuat di kalangan orang Melayu, namun penghayatannya lebih banyak dari segi hukum serta ritual daripada falsafah atau pemikiran.”

Berpaling kepada Ahmat Adam, kita melihat beliau menyusur galur sejarah lampau Nusantara untuk memahami peranan yang dimainkan oleh intelektual di rantau ini. Beliau memetik ahli sosiologi, Bottomore, untuk memberi takrifan kepada konsep intelektual. Mengikut Bottomore, intelektual merujuk kepada “kelompok kecil yang secara langsung menyumbang terhadap penciptaan, pancaran, dan kritikan idea-idea.” Ahmat mengaitkan para intelektual dengan penulis di sepanjang zaman.

Ahmat Adam menyimpulkan “peranan elit pribumi Melayu yang mendapat pendidikan Barat melalui sekolah Inggeris, kecuali segelintir orang, hampir tiada dalam mengutarakan visi sebuah Tanah Melayu yang merdeka dan anti-kolonial”. Ketandusan ini ketara dalam sejarah pembangunan nasionalisme sebelum perang di Malaya.

Pendahuluan: Peranan Intelektual
Syed Husin Ali

1. Peranan Intelektual
Usman Awang

2. Sikap dan Peranan Kaum Intelektual di Dunia Ketiga
Pramoedya Ananta Toer

3. Sang Intelektual di Kawasan Nusantara: Suatu Tinjauan Histories
Ahmat Adam

4. Tradisi Intelektual Melayu dan  Pembentukan Bangsa Malaysia: Beberapa Persoalan Sosial
Rustam A. Sani

5. Cendekiawan Tanpa Pendirian
Otto René Castillo

Weight0.16 kg
Dimensions19.6 × 13.3 × 1.2 cm
Author(s)

, , , , ,

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.