Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau 1824-1957

NELMAWARNI BUNGO merupakan pensyarah dalam bidang Sejarah dan Peradaban Islam di lurusan jenayah Siyasah, Fakultas Syari’ah, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Imam Bonjol Padang. Sumatra, Indonesia. Beliau merupakan sarjana Sejarah Sosial dan Ekonomi yang berkelulusan Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebagai seorang sarjana sejarah beliau juga amat bergiat aktif dalam penulisan ilmiah yang diterbitkan dalam bentuk makalah dalam buku, artikel dalam jurnal dan juga buku. Beliau kini merupakan Timbalan Dekan Bidang Kemahasiswaan di Fakultas Syari’ah IAIN Imam Bonjol Padang.

NORDIN HUSSIN adalah profesor di Pusat Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Hasil karya beliau berjudul Trade and Society in the Straits of Melaka yang diterbitkan oleh Nordic Institute of Asian Studies (NIAS) telah memenangi International Convention of Asian Scholars (ICAS) International Book Prize Award, Leiden University pada tahun 2007 dan juga Anugerah Akademik Negara dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada tahun 2008. Beliau berkelulusan dari Universiteit van Amsterdam dan mengkhusus dalam bidang sejarah ekonomi dan sosial. Antara karya belia yang lain termasuklah Sejarah Riau Lingga dan Daerah Takluknya dan Perkahwinan dan Perceraian di Terengganu 1950-1970.

DBP (Cetakan Pertama 2018)
576 halaman

RM50.00

Only 1 left in stock

Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau 1824-1957 mengkaji peranan yang dimainkan oleh kumpulan etnik Melayu yang telah berjaya menjadi perintis dalam pembangunan awal negeri-negeri Melayu. Sebahagian besar penulisan tentang sejarah pembangunan negeri-negeri Melayu telah mengabaikan peranan yang dimainkan oleh masyarakat Melayu seperti Minangkabau, lawa, Bugis dan sebahagian besar masyarakat Melayu dari dunia Melayu. Sebahagian besar sarjana juga telah mengabaikan perkembangan sejarah semasa zaman awal moden yang telah membentuk sejarah negara ini.

Bermula dengan permasalahan ini, justeru penulisan Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau 1824-1957 merungkai dengan mendalam sejarah yang telah dimainkan oleh masyarakat Melayu Minangkabau yang sebahagian besarnya merupakan perintis awal kepada pembangunan ekonomi di negeri negeri Melayu.

Kumpulan etnik Melayu Minangkabau juga merupakan salah satu suku bangsa Melayu yang bermastautin di bandar-bandar besar serta di beberapa buah petempatan di negeri-negeri Melayu. Seperti suku bangsa Melayu yang lain, kedatangan mereka ke Tanah Melayu ini bukan hanya bermula sejak zaman kolonial British. Akan tetapi, pergerakan masyarakat Minangkabau yang sering berulang alik melalui kegiatan berlayar; berdagang dan merantau telah menjadi lumrah dalam kehidupan seharian masyarakat tempatan dari rumpun Melayu di dunia Melayu.

Kehidupan orang Melayu yang bergantung pada tanah dan air membuatkan mereka peka dan prihatin kepada alam sekitarnya sehingga berjaya membina peradaban dan mampu membina dan membangunkan masyarakat. ekonomi dan politik dalam sejarah negeri-negeri Melayu. Sistem sosial bangsa Melayu yang sangat mementingkan hubungan kemasyarakatan membuatkan pelbagai masyarakat daripada pelbagai rumpun Melayu menjadi rapat dan terikat dengan budayanya.

Hal ini bermakna latar belakang sosial, ekonomi dan geografi dunia Melayu sangat penting untuk membentuk aktiviti kehidupan seharian mereka. Dalam konteks ini, aktiviti merantau yang menjadi tradisi bangsa Melayu bukan suatu yang hanya baru muncul pada zaman kolonial tetapi tradisi ini merupakan satu warisan bangsa yang berterusan tanpa mengenal batasan sempadan dan zaman. Berdasarkan warisan tradisi inilah yang menjadikan orang Melayu Minangkabau antara suku bangsa Melayu di Nusantara yang berjaya meletakkan budaya merantau sebagai institusi sosial yang terpenting dalam kehidupan mereka.

Dalam konteks ini, faktor merantau dari sudut sejarah Malaysia secara hakikatnya mendasari sejarah perkembangan penduduk masyarakat dan bangsa Melayu. Sedangkan faktor migrasi yang melibatkan kedatangan orang asing dari luar dunia Melayu, khususnya Cina, India, Arab dan lain-lain adalah merupakan peringkat kemudian, khususnya sejak era kolonial dan tambahan lagi kumpulan masyarakat ini bukan terikat dengan adat, budaya serta sejarah sosioekonomi masyarakat Melayu di dunia Melayu.

Mereka ini terdiri daripada bangsa yang berlainan dari segi budaya dan sejarah dan tidak terikat dengan sejarah dan rumpun bangsa yang terdapat dalam gugusan kepulauan Melayu. Merantau yang merupakan salah satu tradisi kehidupan bangsa Melayu juga harus difahami dari sudut fungsinya yang memberikan motivasi dan pergerakan yang dinamik yang boleh membangkitkan sikap yang positif dalam kehidupan mereka. Melalui budaya dan amalan merantau sangat ternyata amat rapat dengan elemen yang rasional, khasnya jika dilihat dari sudut ikhtiar atau usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengubah dan mempertingkatkan kehidupan ekonomi dan sosial.

Tradisi merantau yang merupakan tradisi rumpun Melayu merupakan suatu tradisi yang amat teguh, bersifat dinamis dan positif. Tradisi ini bukan hanya penting untuk mempertingkatkan mutu kehidupan seseorang, tetapi juga masyarakat. Oleh itu, tradisi merantau telah diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi kerana sifatnya yang banyak membantu mereka ke arah sebuah kehidupan yang terjamin. Tradisi ini salah satu daripada faktor yang boleh mempertingkatkan stratifikasi sosial, imej, status, taraf sosial serta ekonomi individu dan masyarakat, bahkan telah menjadi salah satu faktor yang penting dalam menjayakan rancangan pembangunan ekonomi kolonial British di Semenanjung sejak abad ke-19 dan sehingga pertengahan abad ke-20.

Jelas sekali penulisan dan kajian terhadap sejarah awal perintis dan peneroka pembangunan negeri-negeri Melayu tidak banyak yang memberikan fokus terhadap kepentingan dan peranan yang dimainkan oleh masyarakat keturunan Melayu.

Menjelang abad ke-19, dunia Melayu telah terbahagi kepada dua wilayah yang terpisah. Tanah leluhur Melayu yang merangkumi Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu telah terbahagi dua entiti yang dikuasai oleh Belanda dan juga British. Di samping itu juga konsep merantau yang mendasari budaya dan juga amalan masyarakat rumpun Melayu masih tidak banyak dikaji dan juga diselidiki. Oleh itu, persoalan kajian yang dibawa oleh Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau 1824-1957 berkaitan dengan budaya merantau dalam kalangan perantau, peneroka dan pedagang Minangkabau ke Semenanjung Tanah Melayu pada zaman kolonial. Kajian ini bertujuan mendedahkan secara terperinci peranan dan sumbangan masyarakat Melayu suku Minangkabau dalam membina petempatan baharu di Semenanjung Tanah Melayu.

Penulisan Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau 1824-1957 juga turut membincangkan aktiviti perdagangan dalam kalangan orang Minangkabau semasa zaman kolonial Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu. Kajian yang berdasarkan penggunaan sumber primer dan sekunder memfokuskan Semenanjung Tanah Melayu sebagai lokasi kajian utamanya. Sumber primer seperti dokumen kolonial dan manuskrip dirujuk di pelbagai arkib dan perpustakaan di Malaysia dan Indonesia. Kaedah penyelidikan luar juga dilakukan untuk mendapatkan maklumat, khususnya daripada generasi ketiga dan keempat dalam kalangan keluarga keturunan Minangkabau terutamanya yang melibatkan aktiviti perdagangan.

Penulisan Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau 1824-1957 juga bertujuan memberikan maklumat baharu berkaitan dengan tradisi dan budaya merantau masyarakat rumpun Melayu, umumnya dan dalam kalangan masyarakat Melayu Minangkabau, khasnya dengan mendedahkan peranan dan sumbangan mereka yang bukan sahaja dalam konteks pembangunan ekonomi kolonial Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan juga memberikan pengertian dan kefahaman tentang dunia perantauan Melayu.

Kesimpulan kajian menunjukkan bahawa tradisi merantau bukan hanya sekadar perpindahan atau pertukaran tempat tinggal, malahan mengandungi misi dan visi yang lebih luas. Salah satu perkara yang sangat penting adalah untuk memperlihatkan kaitan yang rapat antara aktiviti merantau dengan pembangunan ekonomi dan landskap pembangunan wilayah yang berlaku di negeri-negeri Melayu. Penulisan Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau 1824-1957 diharapkan dapat memberikan sumbangan kepada historiografi sejarah ekonomi dan sosial di Malaysia dan Indonesia.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.665 kg
Dimensions 14 × 2.7 × 21.6 cm
Edition

Format

ISBN

9789834915339

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau 1824-1957”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.