Perubatan Melayu Berdasarkan Manuskrip Kitab Tibb Melayu

NORNIZAM NGADENI adalah Pengamal Perubatan Melayu, Pengubatan Islam dan Perubatan China (Akupuntur) hampir 21 tahun sejak tahun 1996.

Baytul Hikma (Cetakan Ketiga, 2019)
198 halaman termasuk Bibliografi

RM40.00

In stock

Perubatan Melayu Berdasarkan Manuskrip Kitab Tibb Melayu merupakan hujah pembuktian bahawa kitab-kitab Ilmu Perubatan Melayu yang berjumlah lebih seratus naskhah itu adalah wadah paling penting sebagai asas kepada pembelajaran dan amalan ilmu perubatan. Melalui kitab-kitab itu dapat diserlahkan betapa ilmu perubatan Melayu mempunyai asas yang kukuh daripada tamadun-tamadun terdahulu, khususnya tamadun Islam, sekurang-kurangnya sejak lima ratus tahun yang lalu.

Kandungan pembicaraan buku ini amat sesuai dengan maksud mengaitkan bidang amalan semasa dalam Perubatan Melayu dengan teras ilmu itu yang telah diwarisi dan diperturunkan dari generasi ke generasi hingga ke generasi masa kini. Pilihan kepada kitab-kitab yang dibicarakan juga sesuai dengan kronologi penghasilan dan penyebaran kitab-kitab tersebut dalam perkembangan Tamadun Melayu. Kitab Bustanus Salatin oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri, Aceh 1638M merupakan dokumen tertulis yang terawal. Kitab ini berhubungan rapat dengan kitab-kitab terdahulu, antaranya Kitab Tibb al-Nabawiyyah yang telah wujud lebih 10 abad sebelumnya. Kitab ini diturunkan pula kepada kita melalui kitab-kitab lain selepasnya. Kitab Al-Raḥmah fī al-Ṭibb wa al-Ḥikmah karya Syeikh Abbas Kuta Karang, Kitab Ṭayyib al-Iḥsān fī Ṭibb al-Insān karya Syeikh Wan Ahmad Mustafa al-Fatani dan Kitab Tib Khazinatul Insan, yang disebut antara lain. Karya-karya terawal ini juga merupakan bahan rujukan kepada beberapa kitab tibb Melayu yang telah diterbitkan antaranya Kitab Tajul Muluk yang sangat luas penyebarannya di awal abad ke dua puluh.

Demikian juga kitab-kitab Mujarobat, Bab al-Jimak dan lain-lain yang juga merupakan sebahagian daripada pembicaraan dalam Ilmu Perubatan Melayu. Kitab-Kitab Melayu yang kebanyakannya masih belum dikaji dan diterbitkan, umumnya tertulis sekitar pertengahan abad kesembilan belas, secara umum mengambil pengetahuan awal itu dengan menambah sumber-sumber baru daripada pengalaman dan kemahiran tempatan dari masyarakat Dunia Melayu, termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Indonesia, Patani (Thailand Selatan) dan Selatan Filipina.

Antara kitab-kitab Melayu yang penting MSS 92514 (PNM), MSS 1292 (PNM) MS 33 (DBP) MS 1988.40 (Muzium Negeri Terengganu) dan manuskrip Yayasan Johor yang sama pula dengan beberapa manuskrip dalam koleksi dunia, termasuk koleksi Leiden University di Belanda dan Royal Asiatic Society di London, United Kingdom.

Sebahagian besar pembicaraan kitab-kitab ini menyerlahkan warisan daripada karya-karya terawal yang dinyatakan sebelumnya. MSS 1292 (PNM) misalnya amat jelas perkaitannya dengan Kitab Tib al-Rahmah khususnya dalam pembicaraan memelihara kesihatan diri untuk mencegah penyakit, selain huraian lengkap mengenai rawatan terhadap pelbagai jenis penyakit. Beberapa manuskrip yang tergolong sebagai ilmu perkasihan mengambil sebahagiannya daripada Kitab Bustanus Salatin, khususnya mengenai hukum jimak yang dianggap sebaga Sunnah Rasulullah. Pembicaraan mengenai anatomi dan fisiologi dalam Bustanus Salatin dapat dikesan dalam MSS 1790 (PNM) Hikayat Nurul Lisan Menjawab Masalah. Dari pembicaraan mengenai khasiat pemakanan dalam MSS 1790 itu dapat dikaitkan dengan pembicaraan yang sama dalam Kitab Tib al-Rahmah. Perkaitan pembicaraan ini yang merupakan sebahagian daripada tradisi penulisan kitab-kitab perubatan Melayu akan lebih difahami menerusi karya ini.

Pembicaraan buku ini terhadap kandungan inti naskhah-naskhah yang dikaji cukup membantu dalam membaca dan mengkaji manuskrip-manuskrip Kitab Tibb Melayu. Terdapat aspek pembicaraan yang hampir sama, misalnya pada aspek rohani dan jasmani manusia, mizaj atau tabii, akhlat dan quwwah, selain unsur-unsur alami, tanah, air, api dan angin yang mempengaruhi sistem kehidupan insan secara universal.

Bab-bab berikutnya mengenai ilmu tibb, membicarakan hal-ehwal penyakit, sebab-sebab dan unsur-unsur yang menyebabkan penyakit seterusnya rawatan ke arah penyembuhan dan pencegahan penyakit daripada berulang. Bahagian ini merupakan topik-topik penting sebagai kandungan kitab-kitab ilmu perubatan Melayu. Penulis juga menyerlahkan perkaitan yang rapat ilmu-ilmu itu dengan sistem, prinsip dan kaedah dalam amalan perubatan Melayu yang diamalkan oleh para tabib, pengamal dan perawat yang berkhidmat dalam bidang tersebut di seluruh pelusuk tanah air.

Satu lagi aset karya ini ialah dengan adanya ilustrasi yang cantik, bersifat saintifik seperti yang terdapat dalam pembicaraan sistem perubatan konvensional atau moden. Melalui ilustrasi, formula, diagram, gambar rajah di samping maklumat, deskripsi atau huraian yang tepat, menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan terhadap sesuatu gagasan yang dibincangkan. Dari segi pendekatan filologi juga, karya ini menepati disiplin yang digunakan, juga piawaian yang ditetapkan dalam penerbitan berkenaan.

KHAZANAH LANGIT DAN BUMI
DEKLARASI DAN METODOLOGI PENULISAN
PENGHARGAAN
KATA PENGANTAR I
KATA PENGANTAR II
KATA PENGANTAR III

BAB 1 MANUSKRIP PERUBATAN MELAYU

Fasal 1: Bustan aL-Salatin
Fasal 2: al-ahmah fi Tibb wa al-Hikmah
Fasal 3: Tayyibul Ihsan fi Tibb al-Insan
Fasal 4: Khazinatul Insan
Fasal 5: Kitab Tibb Tanah Melayu

BAB 2 PADA MENYATAKAN ILMU TIBB

Fasal 1: Unsur Rohaniyyah Manusia
Fasal 2: Unsur Jasmaniyyah Manusia
Fasal 3: Mizaj atau Tabi’ah
Fasal 4: Akhlat atau Cecair Tubuh
Fasal 5: Quwwah (Kekuatan/Tenaga)

BAB 3 PADA MENYATAKAN ILMU TASHRIH (ANATOMI TUBUH)

Fasal 1: Empat Puluh Anggota Tubuh Manusia
Fasal 2: Pada Menyatakan 7 Penghulu Anggota
Fasal 3: Pada Menyatakan Bilangan Segala Anggota

BAB 4 PADA MENYATAKAN SEBAB SAKIT

Fasal 1: Juzuk/Pembahagian Penyakit
Fasal 2: Penyakit Rohaniyyah
Fasal 3: Penyakit Jasmaniyyah

BAB 5 PADA MENYATAKAN MENGENAI KEADAAN SAKIT

Fasal 1: Tanda-Tanda Sakit
Fasal 2: Penentuan Jenis Rawatan

BAB 6 PADA MENYATAKAN PENGESANAN PENYAKIT

Fasal 1: Palpasi/Denyutan Nadi
Fasal 2: Qarunah/Warna Air Kencing

PENUTUP
BIBLIOGRAFI
BIODATA PENULIS

Weight0.34 kg
Dimensions21 × 14.5 × 1.3 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.