Pungguk: Nasionalis dan Pemikir Melayu

A. RAHIM ABDULLAH bertugas di Akademi Seni Kebangsaan (ASK), sebelum institusi tersebut bertukar namanya kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari universiti Malaya dalam bidang Penulisan Kreatif pada tahun 1985, beliau turut pernah bertugas selaku Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bhasa dan Pustaka (DBP). Beliau turut aktif menghasilkan puisi, cerpen dan kritikan.

Senarai penulis:
AMIRUDDIN MD. ALI HANAFIAH
ARBAK OTHMAN
HASNI ABAS
MOHAMAD MOKHTAR HASSAN
MOHAMAD SHAIDAN
MOHD. HANAFI IBRAHIM

Dewan Bahasa dan Pustaka (Cetakan pertama, 2019)
220 halaman, termasuk Indeks

RM25.00

Only 1 left in stock

Pungguk: Nasionalis dan Pemikir Melayu mengandungi tujuh kertas kerja penyelidikan tentang tokoh bernama Muhammad Yasin Maamor yang lebih dikenali dengan nama penanya Pungguk. Tercatat sejarah sastera Melayu moden sebagai pelopor puisi moden di Malaysia, beliau dinamakan sebagai “Bapa Sajak Melayu” dengan sajak-sajak awal beliau yang terkenal seperti “Di Tanah Segara” (1933) dan “Keluh Kasih” (1934).

Muhammad Yasin Maamor yang lebih dikenali dalam dunia kesusasteraan ini dilahirkan pada 18 September 1910 di Brickfields, Kuala Lumpur. Memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Melayu, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau telah menghasilkan sebuah novel, 19 cerpen, dan 19 puisi. Suka dan Duka, sebuah novel yang lahir pada tahun 1931 dalam cetakan jawi, merupakan novel tunggal yang dihasilkannya. Beliau turut menulis 28 buah rencana yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan pendidikan.

Nama Muhammad Yasin Maamor atau Pungguk dalam kesusasteraan moden tanah air tidak mungkin dipinggirkan, terutamanya apabila membicarakan tentang nasionalisme dan patriotisme Melayu. Terdapat tiga bidang yang diceburi oleh Pungguk secara serius. Pertama, bidang pendidikan. Beliau menjadi guru dan pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim buat beberapa waktu, di samping menjadi pengarang dan akhirnya Ketua Pengarang Majalah Guru (mulai 1934-1938) yang menjadikan beliau bukan sahaja terkenal dengan karya kreatifnya, tetapi amat besar jasanya dalam meniup dan membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu pada dekad 1930-an hingga 1940-an.

Bidang kedua, Pungguk juga terlibat dalam penulisan puisi—beliau antara pelopor sajak Melayu moden yang menyeru anak bangsa bangkit mengubah paradigma dan nasib anak mereka yang serba kekurangan. Berkenaan isu penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan anak Melayu, Pungguk bersetuju jika anak-anak Melayu menguasai kedua-dua bahasa itu. Hal ini kerana ia akan membuka peluang yang luas kepada diri mereka sendiri dan bangsa Melayu seluruhnya. Tambahan pula, pada zaman sekarang orang Melayu mestilah menguasai kedua-dua bahasa itu serentak. Walaupun sedikit bilangan mereka yang terpelajar itu akan terjun ke dalam dunia penulisan dan karang-mengarang, namun tidaklah sia-sia pelajaran bahasa Melayu yang diajar kepada mereka itu. Meskipun sedikit bilangan mereka itu yang betul-betul hendak menyingsing lengan dalam rangka menambahkan ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu.

Idea untuk mengadakan pelajaran bahasa Melayu di sekolah Inggeris itu tercetus di MPSI pada tahun 1929, tetapi menjadi kenyataan pada akhir tahun 1935, dengan mengadakan percubaannya di sekolah-sekolah di negeri Selangor. Dalam hal ini, Pungguk mengharapkan guru-guru sekolah Melayu yang dipilih mengajar di sekolah Inggeris itu akan mencuba dengan sehabis daya upayanya menjadikan cawangan pelajaran yang akan dimulakan itu berjaya dan maju, dan dengan jalan itu diharapkan peraturan itu akan berkembang pula diikuti oleh sekolah-sekolah Inggeris di lain-lain negeri di Semenanjung ini.

Meneliti pemikiran Pungguk dalam wacananya, selain membaca karya sastera, terutamanya puisi, cerpen dan novel Suka dan Duka, kita mendapati beliau memiliki sikap yang tegas terhadap masalah orang Melayu yang miskin, tidak mendapat pendidikan yang sempurna, kebebalan mereka yang tidak mahu merubah nasib dan lain-lain kelemahan lagi. Ini terjadi antara lainnya disebabkan Pungguk tebal dengan semangat nasionalismenya.

Kesan pemikiran daripada wacana yang dicetuskan oleh Pungguk dalam Majalah Guru dan akhbar Majlis serta novel Suka dan Duka ialah isi persoalannya yang menyangkut permasalahan dunia Melayu, martabat dan maruah orang Melayu. Rasa bimbang atau obsesi Pungguk terhadap sikap goyah orang Melayu akan bahasanya sendiri sebenarnya sangat objektif malah akibat sikap tidak mengapa dan memandang ringan kepada bahasa sendiri itu, akhirnya meninggalkan dampak yang cukup parah kepada nasib bahasa dan bangsa Melayu selanjutnya.

Meskipun dalam kesungguhannya memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi dan ilmu pengetahuan, Pungguk tidak bersikap tertutup tentang pentingnya bahasa lain, malahan dia cukup menerima hakikat betapa perlunya bahasa Inggeris di samping bahasa-bahasa lain dipelajari dan dikuasai oleh orang Melayu, khasnya para pelajar, pengarang atau editor akhbar dan majalah. Dengan menguasai lebih daripada satu bahasa, seseorang itu akan mendapat lebih faedah dari segi ilmu pengetahuan, urus niaga di peringkat antarabangsa dan kemudahan berkomunikasi sesama manusia.

Dalam kata lain, Pungguk dapat membaca tanda-tanda zaman yang akan merubah corak hidup manusia. Proses sosial yang terjadi pada era 1930-an sudah memberikan satu macam ramalan kepadanya untuk lebih berhati-hati, terutamanya apabila memikirkan kedudukan dan nasib masa depan orang Melayu di tanah airnya sendiri.

Pungguk bukan sahaja mempunyai semangat dan perasaan cinta akan bangsanya, tetapi juga memiliki mata batin yang subur sehingga mampu melihat dan menangkap gejala serta fenomena kehidupan dunia yang sedang dihadapi oleh anak bangsanya. Lantaran itulah dia menggunakan mata penanya sebagai alat untuk berdakwah dan menyeru kepada perubahan minda orang Melayu, sekiranya mereka mahu menjadi bangsa yang maju dan dihormati dunia. Sebenarnya inilah sebahagian ciri khas yang cuba dirungkai menerusi Pungguk: Nasionalis dan Pemikir Melayu, jati diri Pungguk yang dapat kita golongkan sebagai pemikir dan intelektual Melayu pada dekad 1930-an, ketika semangat nasionalisme Melayu sedang bernyala dan terus membakar jiwa orang Melayu.

Weight0.299 kg
Dimensions21.5 × 14 × 1.3 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.