Rampai Sari Puisi Warisan

Diselenggara oleh MOHD. YUSOF MD. NOR

DBP (Ulang Cetak, 2016)
192 halaman

RM20.00

Only 1 left in stock

Rampai Sari Puisi Warisan menghimpunkan sebilangan besar puisi Melayu tradisional, termasuklah pantun, syair, gurindam, dan seloka. Asasnya, Puisi Melayu tradisional terdiri daripada pantun, syair, gurindam, seloka, mantera, kata berirama, peribahasa, dan beberapa bentuk lain yang diambil atau disadur daripada kesusasteraan Arab-Parsi. Penggunaan puisi-puisi ini meluas di seluruh Nusantara.

Puisi Melayu dianggap ciptaan asli orang Melayu. Walaupun dari segi tekniknya, beberapa istilah dalam puisi Melayu tradisional diambil dari luar, tetapi dari segi bentuk dan idea yang disampaikan, puisi-puisi ini berlainan sekali dengan istilah asalnya. Umpamanya syair, berasal daripada perkataan Arab, tetapi bentuk syair Melayu berlainan sekali daripada bentuk syair kesusasteraan Arab. Begitu juga dengan gurindam dan seloka. Istilah gurindam diambil daripada bahasa Tamil, dan istilah seloka daripada bahasa Sanskrit, tetapi bentuk puisi-puisi ini dalam puisi Melayu tidak sama dengan bentuk puisi dalam bahasa asalnya. Istilah sahaja yang digunakan, sedangkan bentuknya yang tersendiri memang sudah ada dalam puisi Melayu.

Pada peringkat awal, puisi Melayu tradisional disampaikan secara lisan. Kebelakangan ini puisi-puisi itu dituliskan agar tidak hilang ditelan zaman. Masyarakat di desa atau di daerah pedalaman masih lagi menggunakan puisi-puisi tradisional. Puisi Melayu mempunyai nilai keindahan dan falsafahnya yang tersendiri. Puisi-puisi ini mengandungi falsafah kehidupan masyarakat yang melahirkannya, dan pandangan dunia masyarakat yang dilingkari oleh pengaruh alam sekelilingnya. Keseluruhan puisi menggambarkan semua aspek kehidupan, seperti untuk tujuan hiburan, gurau senda, pengajaran dan falsafah diri, upacara perubatan dan adat istiadat.

Untuk mengetahui isi puisi Melayu tradisional, kita perlulah mengetahui ciri-ciri masyarakat yang melahirkannya terlebih dahulu. Lahirnya puisi tradisional ialah pancaran daripada masyarakat Melayu tradisional. Ini adalah kerana masyarakat tradisional di Nusantara umumnya, memancarkan perasaan mereka melalui sastera, khususnya dalam bidang puisi.

Puisi tradisional dapat mencerminkan sifat-sifat masyarakat Melayu pada zaman silam. Ragam atau corak hidup masyarakat Melayu pada ketika itu amat berlainan dengan keadaan masyarakat Melayu masa kini. Masyarakat tradisional ialah masyarakat yang tertutup, dan diikat oleh kuasa adat dan lingkungan alam, menyebabkannya ia tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir dari luar yang boleh membawa perubahan. Dapat dikatakan bahawa dalam masyarakat seperti ini ada persatuan atau perpaduan yang mengikatnya. Ini diperkukuh oleh susunan masyarakat yang berkisar dalam kalangan raja dan istana, manakala rakyat jelata pula menaruh sepenuh taat setia kepada raja mereka.

Perlu diingat bahawa orang Melayu memang tidak suka berterus terang dalam sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi jika sesuatu yang hendak diperkatakannya itu merupakan perasaan hatinya. Orang Melayu bersifat sedemikian kerana perbuatan berterus terang itu diibaratkan seperti “orang yang berbaju tidak berseluar”, iaitu “tidak arif dikilas kata, tidak bijak bersilat cakap”. Selain terikat pada adat dan norma masyarakat, orang Melayu juga mempunyai nilai budi yang amat tinggi. Mereka lebih menghormati orang miskin yang berbudi daripada orang kaya yang sombong. Mereka tidak suka menonjolkan diri, dan kadangkala menghormati orang lain secara berlebih-lebihan. Mereka sanggup bersusah payah dan berhabis-habisan asalkan dapat mengambil hati atau berbudi kepada tetamu atau orang lain, seperti dalam seloka “Emak Si Randang”.

Disebabkan orang Melayu tidak suka berterus terang dalam memperkatakan sesuatu atau meluahkan perasaan hatinya, maka puisi ialah alat untuk mereka meluahkan perasaan, dengan menggunakan kata-kata kiasan dan sindiran, seperti yang banyak ditemui dalam prosa pantun Melayu. Sindiran yang tajam dalam puisi-puisi tersebut Memberikan pengajaran kepada masyarakat sezaman dan generasi yang seterusnya. Ketinggian budi orang Melayu memang susah untuk ditandingi. Budi menjadi teras kehidupan mereka setiap hari. Daripada itu dapatlah dinilai keluhuran budi masyarakat itu.

Sesuai dengan alam sekeliling masyarakat tradisional, puisi-puisi mereka juga menggambarkan alam atau suasana tempat mereka tinggal. Perkaitan pemikiran orang Melayu dengan suasana alam sekitarnya amat tinggi. Pengamatan dan pemerhatian mereka amat teliti. Pengamatan ini bukan sahaja terperinci, malah cukup indah untuk menggambarkan keadaan dan suasana di kampung pada zaman silam.

Bagi masyarakat Melayu tradisional, puisi menjadi alat komunikasi untuk menyampaikan hasrat. Mereka sering mengadakan upacara seperti menuai padi, puja pantai, perkahwinan, dan sebagainya, mengikut situasi dan waktu. Dalam upacara-upacara seperti inilah mereka bersuka ria dengan menari, berpantun, bersyair, berseloka, dan bergurindam. Tradisi ini berkembang dalam masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman, dan ia tidak mudah luput ditelan zaman. Walaupun puisi moden (sajak) berkembang dengan pesat, tetapi puisi tradisional masih terus dicipta dan digunakan dalam masyarakat Melayu kini.

Pendahuluan

PANTUN

Dua Kerat
Teka-teki
Budi
Kemesraan
Kerjasama
Kasih Sayang
Hormat-menghormati
Keberanian dan Keyakinan Diri
Taat Setia
Keagamaan
Simpati
Kebijaksanaan
Pendidikan
Peribahasa
Enam Kerat
Lapan Kerat
Sepuluh Kerat
Dua Belas Kerat
Berkait
Berkait: Raja Haji

SYAIR

Teka-teki
Makna Hasad
Tamak Haloba
Adab Bersaudara
Kasihkan Dunia
Hidup Bersaudara
Kasih Sayang
Kejatuhan Johor: Akibat Dengki Khianat
Kejujuran dan Kecurangan
Muafakat: Menghindarkan Ancaman Musuh
Balasan kepada yang Jahat
Sindiran: Perangai Manusia
Balasan Anak Derhaka
Peraturan Hendak Menemui Seseorang

GURINDAM

Hemat Diri
Kemuliaan Diri
Mencari Kebaikan
Kejujuran
Taat Setia
Keadilan
Fikir dan Kata
Sengketa
Ilmu
Mungkir Janji
Sifat yang Baik
Sifat yang Jahat
Keadilan
Suami Isteri
Perbuatan yang Tidak Baik
Perbuatan yang Baik
Beriman
Muslihat Dunia
Membuat Angkara
Tuah Manusia
Alamat Hari Nak Siang
Pakaian Raja Zaman Dahulu
Raja Bermain ke Laut
Taat Setia
Gambaran Sebuah Kota (Negeri)
Gambaran Hutan Rimba
Pandangan di Kampung

SELOKA

Emak Si Randang
Lebai Malang
Kias Ibarat
Nasib Malang
Gurauan

Glosari

Weight0.246 kg
Dimensions21.4 × 14.2 × 1.1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author