Regionalisme dalam Seni Bina Malaysia: Era Moden, Pascamoden dan Global

GURUPIAH MURSIB adalah pensyarah di Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau mendapat ijazah Sarjana Muda seni Bina dari University of Miami, Ijazah Sarjana dari Universiti Teknologi Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah juga dari Universiti Teknologi Malaysia.

MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI adalah Profesor dan pensyarah di Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dan Ijazah Sarjana Seni Bina dari University of Wisconsin, Milwaukee. Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari University of Edinburgh, Scotland. Beliau juga telah menulis sebanyak 33 buah buku berkenaan seni bina Malaysia, seni bina Islam, seni bina warisan tradisional dan seni bina masjid. Beliau juga menjadi penasihat utama Modern Architecture Studies in Southeast Asia (MASSA) di Taylors University dan Center for Islamic Architecture from the Sunnah (CIAS).

Dewan Bahasa dan Pustaka (Cetakan pertama, 2016)
248 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM75.00

In stock

Regionalisme dalam Seni Bina Malaysia: Era Moden, Pascamoden dan Global merakamkan sejarah perkembangan pendekatan regionalisme di Malaysia dan membicarakan ciri-ciri pendekatan tersebut serta asal usul pengaruhnya. Buat pertama kalinya, buku ini mempersembahkan maklumat seni bina yang luas dari perspektif sejarah moden seni bina di negara ini. Penulisan ini diharapkan dapat menjadi asas pemikiran kritis terhadap arah tuju seni bina kebangsaan di Malaysia.

Regionalisme dalam Seni Bina Malaysia: Era Moden, Pascamoden dan Global juga bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada pelajar, para arkitek dan pembuat dasar untuk menghasilkan seni bina regionalisme yang lebih bersifat mesra budaya, mesra persekitaran dan mesra nilai bagi negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Buku ini juga menyingkap tabir sejarah wacana regionalisme di Barat yang penting untuk diketahui agar pemahaman terhadap pendekatan regionalisme di Malaysia boleh dilihat secara kritis.

Tujuan utama penulisan buku tentang regionalisme ini adalah untuk memperkaya pemikiran tentang seni bina dan prinsip reka bentuk “bermoral” kepada dunia Melayu. Walaupun Malaysia disifatkan sebagai negara yang pesat membangun dan mempunyai pelbagai bangunan canggih serta berteknologi tinggi, ini semua belum cukup untuk memastikan bahawa tahap intelektual para arkitek, akademik seni bina dan artis berada pada tahap yang membanggakan. Apatah lagi dalam kalangan ahli akademik Sains Sosial dan Seni Halus yang kurang memahami wacana tentang seni bina pada tahap interpretasi nilai kesejagatan, nilai keagamaan dan nilai politik bagi memberi komentar tepat dan jitu terhadap pemikiran kritis seni bina.

Ramai dalam kalangan arkitek, akademik dan budayawan belum memahami aspek “morality” atau moral reka bentuk dalam seni bina. Apa yang wujud hanyalah sekadar revivalism asing dari segi meniru dan mengadaptasi rupa bentuk dan bahasa seni bina zaman silam atau dari negara lain dalam menghasilkan bangunan masjid, pentadbiran, perumahan dan institusi pengajian tinggi. Isu moral seni bina tidak banyak kedengaran.

Walaupun kini terdapat kesedaran yang baik terhadap pendekatan Regionalisme dalam kalangan arkitek Malaysia, namun tahap pemikiran mereka hanya terbantut kepada penggunaan bahan binaan dan juga penyelesaian isu penjimatan tenaga. Walaupun kedua-dua aspek ini penting tetapi persoalan besar terhadap semangat budaya setempat, politik serumpun, hak asasi menusia, demokrasi, nilai Islam dan banyak lagi aspek kehidupan masih tidak terjawab dalam persoalan penghasilan seni bina yang secocok dengan masyarakat setempat.

Bidang seni bina amat memerlukan “input” atau sumbangan penting daripada budayawan, ahli Sains Sosial dan politikus yang berfikiran luas bagi mencambahkan hasil seni bina yang lebih bersifat inklusif daripada eksklusif. Hanya melalui penulisan sebegini, dapatlah sedikit banyak ilmu tentang Regionalisme ini membantu mereka yang perlu memberi teguran dan sumbangan idea kepada perkembangan seni bina setempat.

Penulisan buku kini menjadi suatu “lost art” dalam kalangan ahli akademik. Dalam mengejar status keantarabangsaan di universiti tempatan, lebih ramai yang berminat terhadap penulisan jurnal luar negara dalam bahasa asing daripada mengembangkan wacana tempatan dalam bahasa vernakular setempat. Hal ini juga aspek yang ditegur oleh para regionalis yang menyebut tentang penghinaan dan “abandonment” atau keciciran tanggungjawab mengembangkan minda generasi masa hadapan dengan membantut perkembangan konsep, istilah, prinsip, falsafah dalam wacana seni bina dan bidang lain.

Dalam kiraan penulis, wacana seni bina sudah ketinggalan 100 tahun kerana konsep Regionalisme ini sudah mula diwacanakan oleh Frank Lloyd Wright dan William Morris pada akhir abad ke-19 di Amerika Syarikat dan Britain. Konsep politik seperti seni bina demokrasi yang diwacanakan oleh Louis Henry Sullivan adalah lebih tua daripada jangka waktu itu. Jika kita, sebagai serumpun daripada bangsa Melayu tidak berusaha memperkenalkan wacana dari Barat itu, maka usaha untuk menonjolkan jati diri dalam proses penentuan produk seperti bangunan akan terjejas.

Malaysia merupakan sebuah negara pesat membangun yang mengangkat pemikiran modern dalam rangka pembangunannya. Seni bina moden yang diperkenalkan oleh arkitek Barat diterima baik pada awal kemasukannya kerana ciri antarabangsa yang progresif, bebas daripada bayangan kolonial, serta bebas daripada rujukan etnik. Seni bina modem menjadi satu legasi dalam proses modernisasi yang pesat, muncul sebagai salah satu manifestasi penularan ideologi Barat ke dalam budaya Malaysia.

Dalam keghairahan pemodenan di Malaysia, pemikiran regionalisme telah wujud sebagai satu kesedaran kepada nilai setempat. Dalam edisi khas UIA International Architect Magazine (1984), satu liputan khas mengenai regionalisme seni bina di Malaysia telah dibuat. Malaysia telah dipilih kerana fenomena regionalisme seni binanya merupakan satu contoh regionalisme seni bina yang bukan sebagaimana pemikiran dunia Eropah. Sebaliknya ia mempamerkan kerumitan proses yang unik bagi Malaysia.

Kerumitan regionalisme seni bina yang dialami Malaysia tergolong sebagai fenomena “hard regionalism” yang dihadapi oleh negara-negara Timur yang bukan pewaris peradaban moden yang mengalami dilema kebanjiran modernisme dan kepupusan budaya tradisional. Sebagai sebuah negara pasca-kolonial yang baru mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia perlu membina aspirasi sosiopolitik untuk menyatukan pelbagai bangsa baru dalam semangat bebas daripada imperialisme baru yang mengancam kedaulatan menerusi penjajahan minda.

Harapan penulis agar Regionalisme dalam Seni Bina Malaysia: Era Moden, Pascamoden dan Global dapat menjadi landasan pemikiran baru yang bernas serta memacu usaha pemasyarakatan ilmu seni bina dalam kalangan rakyat Malaysia serta keseluruhan Nusantara. Dalam sesebuah negara bertamadun, keseluruhan rakyat mempunyai akses sepenuhnya kepada segala ilmu yang dinukilkan dengan teliti oleh para akademik yang bertanggungjawab terhadap perkembangan minda serta jiwa nusa bangsa.

Weight0.745 kg
Dimensions24.7 × 16.8 × 1.8 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 1 review
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. Yeo Bann Siang (Verified Reader)

    great service! fast reply too ! good job

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.