Out of stock

Reka Bentuk Masjid Warisan Melayu

MASTOR SURAT adalah Felo Kanan Akademik di Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia sejak Mac 2004 sehingga kini. Beliau memperoleh Diploma Seni Bina dan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari Universiti Teknologi Malaysia, Johor dan Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau diiktiraf sebagai Arkitek Profesional oleh Lembaga Arkitek Malaysia.

Dewan Bahasa dan Pustaka (Cetakan pertama, 2017)
255 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM100.00

Out of stock

Reka Bentuk Masjid Warisan Melayu membincangkan pelbagai tipologi atau penjenisan reka bentuk masjid yang telah dibangunkan di Alam Melayu, khususnya di Tanah Melayu. Penulisan buku ini khusus membincangkan tentang reka bentuk masjid di Alam Melayu dan mencadangkan bahawa bentuk dan perancangannya adalah diasaskan daripada reka bentuk masjid terawal di dunia Islam, yang mempunyai elemen seperti kubah tengah (central dome) dan sahn.

Kebanyakan pandangan cendekiawan pada masa kini bersifat lebih regionalistik ataupun lebih nasionalistik dalam mengandaikan bahawa reka bentuk itu berdasarkan adaptasi reka bentuk kuil, rumah atau pondok lain dari Alam Melayu. Maka, buku ini akan membentangkan perbahasan bahawa berkemungkinan konsep asas central mosque dan sahn wujud walaupun dalam bentuk bumbung piramid berkayu dan laman sahn yang mempunyai bentuk yang berbeza tetapi wujud sepertimana reka bentuk di Timur Tengah.

Reka Bentuk Masjid Warisan Melayu dihasilkan berdasarkan kajian yang menggunakan metodologi perbandingan terhadap reka bentuk masjid di Alam Melayu dan masjid-masjid di Timur Tengah. Contoh masjid yang dipilih ialah masjid warisan sehingga kurun ke-19. Seterusnya, penulis membuat perbandingan kasar dengan masjid-masjid di rantau Asia dengan menggunakan reka bentuk bangunan serta lakaran pelan dan keratan yang telah dibuat sebelum ini. Dalam erti kata lain, kajian yang telah dilakukan menumpukan analisis perbandingan data sekunder dan tidak menunjukkan data primer. Selain itu, penulis menjelaskan juga bentuk bangunan dari aspek reka bentuk seperti keperluan pengudaraan, tradisi binaan dan prinsip struktur serta keupayaan bahan binaan.

Reka Bentuk Masjid Warisan Melayu juga menumpukan perbandingan terperinci kepada data sekunder dari Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang mempunyai dokumentasi masjid warisan sebanyak 50 buah. Kesemua masjid yang dipilih ialah bangunan yang menggunakan sistem rentangan kayu. Persembahan buku ini juga mengandungi pelan-pelan tiang yang bukan daripada kayu kerana aspek penggunaan pusat ruang juga termasuk dalam ruang lingkup kajian. Secara khusus, aspek perbincangan tertumpu pada lapan buah masjid warisan di Indonesia dan Malaysia sahaja. Masjid-masjid yang dipilih telah dikenal pasti daripada tulisan akademik dan kajian kepustakaan.

Dalam buku ini juga, penulis mengetengahkan buat pertama kalinya teori bahawa reka bentuk masjid bumbung meru yang dibangunkan di Alam Melayu adalah diasaskan daripada gagasan masjid di Timur Tengah dan Asia Tengah. Teori ini amat berbeza daripada teori umum pada masa kini yang menganggap bahawa bentuk tipologi masjid tersebut datang secara langsung dari Alam Melayu yang diasaskan melalui idea tipologi kuil dan candi daripada kepercayaan Buddha, Hindu dan kepercayaan kuno atau animisme. Teori ini juga berbeza daripada pandangan popular bahawa bentuk tipologi segi empat sama berbumbung piramid atau meru ini diasaskan daripada tipologi rumah Jawa, wantilan, cungkup dan sebagainya.

Maka, tulisan ini penting bagi menyumbang pengetahuan sejarah tentang seni bina masjid-masjid di Alam Melayu, dan juga teori berkenaan prinsip reka bentuk masjid warisan Melayu. Penelitian dibuat berdasarkan kajian yang menggunakan metodologi perbandingan tipologi masjid warisan di Alam Melayu sebelum kurun ke-19 di Malaysia dan Indonesia serta masjid-masjid yang terdapat di Timur Tengah dan Asia Tengah, khususnya yang dibangunkan semasa era Kerajaan Uthmaniyah.

Signifikannya Reka Bentuk Masjid Warisan Melayu dapat dilihat dari dua aspek utama.

Pertama, dari aspek ilmu sejarah. Hasil kajian yang dipaparkan dapat menyumbang kepada penambahan ilmu tentang reka bentuk dan pengklasifikasian sesebuah bangunan masjid. Selama ini, terdapat beberapa aspek tentang masjid di Alam Melayu yang belum diketahui dan kini ditampilkan buat pertama kalinya dalam buku ini.

Kedua, tulisan ini mempunyai implikasi besar ke atas para arkitek yang ingin menggunakan pendekatan revivalisme (revivalism) atau regionalisme (regionalism) kerana ia memberikan ruang lingkup yang lebih luas, dan juga boleh dikatakan sebagai idea yang “progresif” dari aspek reka bentuk bangunan masjid. Akhir sekali, penulisan buku ini juga bertujuan memberikan maklumat dan berkongsi pendapat tentang pendekatan yang telah diambil oleh masyarakat terdahulu dalam membangunkan seni bina masjid. Maka, buku ini memang bermanfaat untuk dibaca oleh segenap lapisan masyarakat, terutama bagi mereka yang terlibat dalam industri pembinaan, khususnya dalam pembinaan masjid.

Weight1.29 kg
Dimensions26 × 26 × 1.8 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.