Rimba Harapan ini berlatarbelakangkan Ketari, Bentong dan Janda Baik dalam dekad 1920-an dan dekad 1930-an. Betapa kehidupan sosial, ekonomi dan kepercayaan orang Melayu tergugat oleh dasar penjajahan hingga memaksa peluasan penanaman getah dan industri perlombongan bijih secara besar-besaran selepas Perang Dunia Pertama. Bahkan, bencana alam membantu dasar Inggeris ini mempengaruhi dan menghancurkan ketenteraman dan cara hidup orang Melayu hingga mereka terpaksa lari meneroka hidup baharu ke dalam hutan yang lebih jauh.
Lantas, Janda Baik diteroka dan dibuka dengan kegigihan dan penderitaan mereka. Keadaan ini telah membuka mata dan fikiran tentang tafsiran sejarah yang penting, yang mengubah cara berfikir dan sikap orang Melayu.
Petikan Buku Rimba Harapan
Pak Kia tidak dapat bercakap sepatah pun. Bukan sahaja dia bosan melihat kesabaran Zaidi malah dia mulai mencurigai niat baik yang dikatakannya itu. Apakah jalannya hendak menimbulkan kesedaran orang Ketari terhadap tipu muslihat Pendekar ini. Kalau Pendekar ini boleh kaya kerana menjual tanah orang kampung, dapat membeli tanah di Asap, dapat mendirikan rumah dan dapat pula berkongsi membuka kebun rambutan dengan Zaidi sendiri tidak juga menyedarkan orang kampung, apa lagi yang boleh menginsafkan mereka. Kalau sekiranya kemudian kelak mereka insaf tentu Zaidi sendiri pun akan dianggap orang seperti Pendekar ini juga. Zaidi sekarang menikmati keuntungan dari hasil penganiayaan yang dilakukan oleh Pendekar Atan terhadap mereka. Kedainya bertambah maju kerana duit mereka, hasil menjual tanah melalui tipu helah Pendekar Atan.
“Aku tak percaya orang Ketari ini akan sedar. Kita semua ini bukannya cerdik sangat. Pendekar itu sendiri lebih daripada cerdik untuk menjaga namanya. Adalah muslihatnya. Dia tak peduli kita mampus atau mati kejang asalkan temboloknya kembung.”
(ms. 209)
Muhammad Hisyam Bin Hasan (Verified Reader) –