Out of stock

Risalah Untuk Kaum Muslimin

SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS adalah bekas Pengarah-Pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam atau dikenali dengan nama International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).

Ta’dib International (Terbitan Ketiga, 2019)
209 halaman

RM68.00

Out of stock

Product ID: 5993 Subjects: , Sub-subjects: , , ,

Risalah Untuk Kaum Muslimin adalah catatan kata lisan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973, ketika beliau bertugas di UKM sebagai Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di universiti itu, yang telah dicatat dalam bentuk tulisan ringkas dan kemudian ditaip oleh setiausaha penulis Cik Roselyn Hamzah. Di dalamnya terumus renungan mendalam pengarangnya berkenaan faham-faham utama dalam pandangan hidup Islām yang perlu diketahui oleh kaum Muslimin. Konsep-konsep penting yang dibicarakan merangkum faham agama, keadilan, ilmu, kebudayaan, kebebasan, akhlak, perubahan, pembangunan, kemajuan, kerasulan, bahasa, pengislaman, kesusasteraan, kesenian, tragedi, akal dan pensekularan.

Kata-kata dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin telah penulis mulai pada awal tahun 1973 dan akhiri dengan perenggan 74 pada bulan Mac tahun itu, dibiarkan begitu sahaja tanpa terusan. Ini disebabkan oleh perasaan penulis dewasa itu bahawa banyak perkara yang dihurai serta dibincangkan dalam Risalah ini bukan sahaja penting bagi bangsa kita, bahkan bagi Kaum Muslimin sedunia. kerana permasalahan yang terhurai dalamnya itu mengenai masalah kekeliruan mendalam yang sama sedang dideritai oleh Kaum Muslimin di merata dunia. Sedangkan kini pun, dalam suasana keadaan yang semakin meruncing ini, bangsa kita serta Kaum Muslimin amnya belum tampak sedar akan kekeliruan diri yang mengharunginya, kekeliruan diri yang berpunca dari penyelewengan faham mengenai Islām dan pandangan hidupnya—apatah lagi pula dewasa itu yang hampir tiga puluh tahun telah berlalu, bolehkan tiba pada nazar akali dahulu itu kesedaran yang diharapkan sehingga dapat menggerakkan diri ke arah pemulihan? Ternyata sekali kepada penulis bahawa faham-faham yang terkandung serta terbayang dalamnya, yang merangkumi saujana luas yang terumus di situ dan yang belum pernah terlintas dalam renungan dewasa itu dan yang lampau, telah jauh mendahului masanya sehingga pelaksanaan kefahaman serta kesedaran mengenai kenyataannya memang luput dari pencapaian. Lagi pula keberanian jiwa, keyakinan dan kemampuan akali yang sudah semestinya dikehendaki bagi melaksanakan kefahaman serta kesedaran dan tindakan sewajarnya belum terdapat.

Sebab utama yang mengakibatkan terjadinya keadaan begini adalah kejahilan masharakat kita kaum Muslimin mengenai Islām sebagai agama yang sebenarnya dan peradaban yang luhur lagi agung yang telah menghasilkan ilmu-ilmu Islamiah yang berdaya menayangkan pandangan alam yang tersendiri—kejahilan yang melenyapkan kesedaran akan tanggungiawabnya terhadap meletakkan amanah ilmu dan akhlak pada tempatnya yang wajar, sehingga sanggup membiarkan sahaja kekeliruan dan pelbagai macam penyelewengan dalam ilmu dan amal terus mengharungi pemikiran dan perbuatan para sarjana dan cendekiawan kita yang kebanyakannya masih terbelenggu pada gelang penghambaan ilmu-ilmu orientalis dan kolonial.

Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.

Barus dan Singkel, Pasai dan Ranir
Silam ditelan masa nan mungkir;
Lupa Jawaban dihafal mahir
Bagi menyangkal Munkar dan Nakir.

Shair yang merumuskan dengan ringkas keadaan kita ini telah penulis tulis pada tahun 1959. Memang sedari awal lagi firasat membisikkan bahawa Risalah ini bukan untuk telinga pasaran masatu mahu pun masam yang sedang ribut dicabuli wabak sekularisme, akan tetapi dicorongkan pada pendengaran mendatang—pendengaran yang akan dapat membangkitkan kesedaran yang mampu membawa perubahan pada alam fikiran kita yang sedang terumbang-ambing di lautan keraguan.

Bagaimanapun, kita bukanlah kaum yang boleh putus harapan, dan dari itu maka tiada boleh berdiam sahaja membiarkan cabaran zaman berlalu berleluasa tanpa tantangan. Kini kita sudah tiba semula di ambang sejarah, dan kesedaran umat sedang mulai membangkit. Dalam kematangan suasana kesedaran ini kelak tentu akan lahir para ilmuwan sejati yang mampu memainkan peranannya menuntut-bela keadilan dan kebenaran.

Sifat sejarah, menurut orang,
Ibarat pentas bermain wayang;
Cerita lampau dihurai dalang,
‘Pabila tamat segera diulang.

Jika demikian mustahil pantang
Giliran Islām pula mendatang;
Lakonan lama indah gemilang,
Di layar dunia semula terbentang.

Kita harus insaf bahawa nilai-nilai yang merupakan daya penggerak ‘lakonan lama’ itu sebenarnya bersifat kulli, ya’ni universal, dan dari itu maka ia senantiasa baharu dan kekal dalam agama kita. Tetapi ‘lakonan lama’ itu pula tiada dapat dimainkan sekiranya para pelakonnya kaum Muslimin sudah kehilangan ma’na-dirinya, kehilangan peribadi dan wataknya; sudah lupa akan peranannya, lupa akan sejarahnya, akan nilai-nilai anutannya, akan ilmu-ilmu yang menayangkannya. Dan apa yang telah hilang itu tiada mungkin didapati semula hanya dengan sekadar melaungkan semboyan kosong yang kini sedang bergema dengan tema ‘pembangunan’. Pembangunan, atau pembaharuan, atau pemulihan bukan bererti penyesuaian Islām dengan keadaan sejarah masakini; pembangunan bererti penentangan Islām terhadap keadaan sejarah masakini yang sudah jauh menyimpang dari jalan yang benar. Pembangunan yang al-Attas maksudkan mensharatkan keberanian jiwa, keyakinan dan kemampuan akal nescaya berkuasa menjelmakan perubahan besar dalam sejarah sehingga bersesuaian dengan kehendak Islām. Dan ini semua mewajibkan bukan sahaja perjuangan jasmani, bahkan lebih dari itu pencapaian ilmu yang tulen yang mesti diperjuangkan oleh tiap Muslim.

Gerak-daya menuju ke arah pencapaian pembangunan yang al-Attas maksudkan tentu akan mengambil masa yang lama justeru sebab pemikiran yang terbayang dalamnya merangkumi berbagai masalah ilmiah pokok yang belum ketara pada penglihatan batin sebahagian besar golongan ilmuwan kita; masih samar dalam pemikiran setengahnya; tiada disedari langsung oleh setengahnya lagi. Kemudian pula kepada mereka yang sedar akan terasa dengan jelas betapa besar dan hebatnya usaha yang harus dikerahkan demi menghadapi cabaran menggenting yang akan ketara pada penglihatan batinnya. Dan mereka inilah yang faham akan ertinya bersabar. Kepada mereka akan ternyata ruginya bergopoh dan untungnya beratur-rapih dalam melaksanakan perjuangan yang memanjang ini.

Oleh kerana firasat menggambarkan suasana dewasa itu belum sedia mengendahkan tujuan Risalah Untuk Kaum Muslimin, maka tiada penulis teruskan perkembangannya dalam bahasa kita, bahkan lebih sesuai demi dapat menyampaikan maksud serta amanahnya kepada dunia Islām sekiranya perenggan-perenggannya dikembangkan dalam bahasa Inggeris. Dan itulah yang telah al-Attas laksanakan pada kebanyakannya. Perenggan mengenai agama telah dikembang serta diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul Islām: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality pada tahun 1976. dan disampaikan sebagai suatu Sharahan pada Mu’tamar Islam Antarabangsa yang dianjurkan oleh Majlis Islam Eropah pada 5 haribulan April, 1976 di Dewan Besar Royal Commonwealth Society di London. Ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Turki, Jepun dan Korea. Kandungannya yang dikarang dalam bahasa Melayu dengan judul Islām: Faham Agama dan Asas Akhlak telah diterbitkan pada tahun 1977. Kemudian perenggan-perenggan lainnya hingga ke yang akhir telah penulis kembangkan dalam buku-buku bahasa Inggeris seperti Islām and Secularism (1978) yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Turki, Farsi, Urdu, Hindi, Malayalam, Indonesia, Bosnia, Albania; The Concept of Education in Islām (1980) yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Turki, Farsi, Bosnia, Indonesia; Islām and the Philosophy of Science (1989), yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Turki, Farsi, Bosnia, Indonesia; The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul (1990), yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Farsi; The Meaning and Experience of Happiness in Islām (1993), yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Turki, Jerman, Itali, Melayu; Prolegomena to the Metaphysics of Islām (1995), yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia dan Parsi.

Tindakan penulis untuk menyampaikan maksud serta amanah Risalah Untuk Kaum Muslimin kepada dunia Islām dengan perantaraan bahasa Inggeris itu kini terbukti berkesan, memandangkan bahawa faham-faham yang telah penulis kembangkan dari perenggan-perenggangnya memang benar diakui mengandung ma’na yang amat perlu diendahkan oleh para ilmuwan bangsa-bangsa Islām sendiri di merata dunia sehingga telah diterjemahkan oleh mereka ke dalam empat belas bahasa termasuk bahasa-bahasa agung Islām.

Lebih-kurang tiga atau empat tahun yang lalu sebuah salinan naskhah asal Risalah ini telah penulis amanahkan kepada Profesor Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud. Timbalan serta sahabat beliau di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islām (ISTAC), untuk simpanan dan perhatiannya peribadi. Wan Mohd Nor telah meneliti serta menggunakannya sebagai bahan rujukan dalam beberapa karyanya yang sangat bernilai dan seringkali menganjurkan masanya kini telah tiba untuk Risalah ini diterbitkan bagi bacaan umum. Begitu juga pendapat Dr. Muhammad Zainiy Uthman, Profesor Madya dan Pustakawan Ilmiah ISTAC dan beberapa Saljana Penyelidik kami Mohd. Zaidi Ismail, Mohd. Sani Badron, Wan Azhar Wan Ahmad, dan Md. Asham Ahmad, yang semuanya telah membaca dan ikhlas berusaha menguruskan penerbitan Risalah ini. Patut penulis ingati juga di sini Haji Mat Ali Mat Daud, Pendaftar ISTAC, yang telah mentaati kerja di samping beliau selama tigapuluh tahun, yang telah bersama menempuh pelbagai peristiwa genting dan mengenali benar riwayat lahirnya Risalah ini. Kepada mereka ini semua, yang budi dan baktinya membuktikan nilai diri yang penulis hargai, penulis menaruh kepercayaan meletakkan amanah pada tempatnya yang wajar untuk melanjutkan lagi memperkembangkan ilmu yang bermanfaat. Maka kini Risalah ini dihidangkan kepada para pembaca yang budiman, semata-mata hanya sebagai catatan, untuk penama kali sejak hampir tigapuluh tahun berlalu ia dirakamkan, termaktub tanpa sebarang perubahan pada ma’na dan kata dan gaya.

Weight0.367 kg
Dimensions21.4 × 14 × 1.8 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author