Out of stock

Saloma: Ikon Fesyen Retro (Retro Fashion Icon)

Katalog Arkib bersempena Pameran Ikon Fesyen Retro: Saloma

Jabatan Muzium Malaysia (Cetakan Pertama, 2017)
108 halaman termasuk Glosari

RM60.00

Out of stock

Saloma: Ikon Fesyen Retro (Retro Fashion Icon) merupakan katalog lengkap koleksi fesyen Saloma dalam simpanan Arkib Negara Malaysia, yang diterbitkan khusus untuk Pameran Ikon Fesyen Retro pada tahun 2017. Pameran ini merupakan penghargaan yang diberikan oleh Jabatan Muzium Malaysia kepada beliau sebagai wanita tempatan yang berpengaruh dalam mencetuskan inspirasi dan aspirasi kepada rakyat Malaysia dalam memartabatkan serni berpakaian mengikut gaya yang unik lagi tersendiri. Sebanyak 65 koleksi terpilih busana Saloma yang menjadi signifikan dalam kehidupan beliau sebagai artis tersohor suatu ketika dahulu telah diketengahkan dalam pameran ini. Busana-busana ini tersimpan rapi di Arkib Negara Malaysia dan julung kalinya dipertontonkan kepada orang ramai dengan mengetengahkan penggunaan beberapa teknik konservasi tekstil yang fleksibel, sesuai dan lembut demi menjamin kelangsungan elemen warisan serta nilai estetika yang terdapat pada bahan organik ini.

Saloma adalah seorang penyanyi dan pelakon filem yang popular pada zaman kegemilangannya sekitar lewat tahun 1950-an sehingga awal tahun 1980-an. Biduanita ini yang terkenal dan disanjung di Malaya pada ketika itu mendapat gelaran “Perintis Fesyen Malaya” kerana sentiasa tampil dengan personaliti menarik serta menitikberatkan rupa paras dan penampilan diri dalam kehidupan sehariannya. Keberanian beliau menggayakan pakaian ala barat dan daya kreativiti yang ditunjukkan menerusi fesyen-fesyen yang diketengahkan tatkala berkarya di atas pentas lakonan mahupun nyanyian, membuatkan nama beliau sering meniti di bibir serta terpahat di memori para peminatnya. Malah, kemunculannya turut mendapat perhatian segelintir artis Barat sehinggakan diberi jolokan sebagai “Marilyn Monroe of The East” sekitar tahun 1958 oleh Marlon Brando, seorang pelakon, pengarah serta aktivis filem yang berpengaruh dari Amerika Syarikat.

Saloma telah mencipta suatu gaya pemakaian fesyen yang unik, mengikut potongan badannya yang seramping 21 inci dan mendedahkan bahagian atas dada serta bahu. Pada ketika itu, fesyen sebegini agak baharu jika digayakan oleh seorang perempuan Melayu yang masih berpegang kuat dengan adat budaya ketimuran. Biduanita ini telah mempopularkan beberapa jenis pola potongan dan stail yang beliau sendiri gemari dalam membentuk imejnya yang tersendiri serta diterjemahkan dalam bentuk kontemporari. Antaranya ialah kain kipas, peplum, kain sempit, kain belah dan kebaya ketat yang masih mengekalkan ciri-ciri ketimuran walaupun terdapat unsur penambahan gaya barat pada sesetengahnya. Kain kipas yang terdapat pada pakaian beliau umpamanya, masing-masing mempunyai lima minimum lipatan dan ada yang mencecah semaksimum 15 lipatan. Kain tersebut yang digayakan di bahagian belakang atau hadapan ada di antaranya dipadankan dengan kain jarang, manik dan labuci.

Sementara kain belah yang digayakan di bahagian hadapan pula agak serong dan sempit. Ada juga di antara kain labuh yang dipakai beliau tidak mempunyai zip, seolah-olah disarungkan sahaja. Manakala kebaya ketat Saloma mempunyai potongan leher yang luas dan berzip di bahagian belakang baju, serta berlainan sama sekali daripada kelaziman pembikinan kebaya tradisional yang berpotongan leher berkelepek. Beliau turut gemar memakai pakaian yang bercirikan baju bodo yang telah dikontemporarikan dalam bentuk yang lebih singkat dan bersaiz kecil.

Peplum pula merupakan sejenis fesyen kegemaran wanita Melayu tempatan yang diperkenalkan Saloma sekitar tahun 1950-an sehingga 60-an. Contoh peplum dan kain belah sempit terbaik yang pernah digayakan oleh beliau ialah semasa menyanyikan lagu “Selamat Pengantin Baru” dalam filem “Madu Tiga” pada tahun 1964. Beliau telah mempopularkan potongan kebaya tradisional klasik sehingga ia digunapakai sebagai pakaian seragam rasmi kepada pramugari-pramugari Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Singapore Airlines (SIA) sehinggalah ke hari ini.

Daya kreativiti dan imaginasi Saloma yang tinggi telah banyak memberi ilham kepada beliau dalam penghasilan pakaian melalui citarasanya yang menggemari konsep ‘suai dan padan’. la sekaligus membentuk identiti beliau yang istimewa, unik lagi tersendiri. Beliau menggunakan tambahan sulaman labuci dan manik, mencipta teknik jahitan serta lilitan dan tambahan peplum pada bahagian lengan serta pinggang bagi menjadikan pakaian untuk persembahan pentasnya menjadi lebih anggun serta menarik. Kesemuanya adalah hasil sentuhan peribadi beliau sendiri yang gemar menjahit sekiranya berkelapangan.

Malahan setiap pakaian yang dihasilkan bagaikan mempunyai roh, jiwa dan semangat di dalamnya agar tubuh beliau yang mengenakannya tampak menarik bersesuaian dengan majlis, filem atau tema lagu yang dibawa. Di samping itu juga, pemilihan warna baju Saloma pula kebanyakannya menggunakan padanan warna yang berbeza atau colour block. Setiap pakaian seperti blaus, gaun pendek dan kebaya yang direka cipta serta digunakan oleh beliau adalah tidak sedondon warnanya, asalkan menarik dan mempunyai kelainan. Beliau juga berani menggayakan semula hiasan kepala daripada buah-buahan sama seperti yang pernah digayakan oleh Carmen Miranda dalam filem “The Gang’s All Here” (1943) sebagai kostum dalam filem “Saudagar Minyak Urat“, merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Singapura dan diarahkan oleh pengarah Ramon A. Estella pada tahun 1959.

Keberanian beliau mengambil risiko dalam setiap percubaan menggayakan sesuatu pakaian demi mencari kelainan membuatkan setiap rekaan fesyennya sentiasa menarik, segar dan berinovasi, malah sering dinanti-nantikan oleh para peminatnya dari semasa ke semasa. Ternyata Saloma bukan sahaja kreatif, malah wajar digelar artisan atas kemahiran yang dimiliki.

Weight0.424 kg
Dimensions23 × 23 × 0.7 cm
Format

Class

Language

,

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.