Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh: Pencari dan Pemikir

Disunting oleh SOHAIMI ABDUL AZIZ

Penerbit USM (Cetakan Pertama, 2003)
179 halaman termasuk Indeks

RM18.00

Only 1 left in stock

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh: Pencari dan Pemikir membawa pembaca menikmati hasil daripada perantauan Muhammad Haji Salleh menerusi kupasan kritis terhadap karya-karya beliau oleh pengkaji sastera. Benang-benang aksara kepenyairan Muhammad Haji Salleh mula bersilang dan bertaut semenjak beliau mula mengasah mata pena dan menggilap bakatnya pada tahun 1960-an. Bermula dengan sajak-sajak yang ditulisnya di England, kini sasterawan kelahiran Perak ini telah menghasilkan beberapa buah antologi seperti Sajak-Sajak Pendatang (1973), The Travel Journals of Si Tenggang II (1979), Sajak-Sajak Sejarah Melayu (1981), Kalau Atau dan Maka (1988) dan Aksara Usia (1998).

Di samping berminat dengan sajak, beliau juga meneliti teks-teks daripada kesusasteraan Melayu. Kecenderungan beliau kepada khazanah sastera Melayu lama seperti pantun menjadi salah satu perkembangan yang menarik tentang Muhammad Haji Salleh. Selain menjadi seorang penyair, Muhammad Haji Salleh juga ialah seorang sarjana sastera dan telah menghasilkan buku-buku ilmiah seperti Yang Empunya Cerita: The Mind of the Malay Author (1991) dan Puitika Sastera Melayu (2000).

Pendidikan Inggeris menjadi latar belakang Muhammad Haji Salleh. Beliau mendapat pendidikan Inggeris semenjak di bangku sekolah hingga ke universiti di luar negara. Beliau mula menulis sajak dalam bahasa Inggeris kerana bahasa Inggeris sudah menjadi sebahagian daripada sistem bahasanya. Maka bahasa lnggeris sebagai bahasa yang besar pada pandangan beliau ketika itu. Dengan perkataan lain, Muhammad Haji Salleh dengan bahasa Inggeris tidak dapat dipisahkan pada peringkat awal penulisannya. Bagi beliau bahasa Inggeris telah menjadi wahana untuk beliau menyampaikan buah fikirannya. Akibatnya, beliau dicurigai Melayunya walaupun cuba untuk berjinak-jinak dengan sastera dan budaya Melayu sekembalinya dari England.

Sebenarnya Muhammad Haji Salleh mula tertarik dengan sastera bangsanya setelah pulang ke tanah air dari England. Kemudian antara tahun 1970-1973, ketika menuntut di University of Michigan, Ann Arbor, Amerika Syarikat beliau telah diperkenalkan dengan kesusasteraan Jawa, Bali dan Burma. Di sini juga beliau dapat mempelajari kesusasteraan dari Timur yang lain seperti dari China dan Jepun. Pada tahun 1970-an, beliau mula menulis tentang sastera Melayu lama dan minat beliau semakin mendalam terhadap sastera Melayu lama ini apabila berpeluang lagi mendekati khazanah lama ini di luar negara khususnya di Eropah.

Menjejaki sejarah Muhammad Haji Salleh seperti menjejaki satu daerah yang terbelah dua, iaitu satu daerah puisi dan satu lagi daerah esei. Atau satu daerah kreatif dan rasa, dan satu daerah kognitif. Kedua-dua daerah ini adalah daerah-daerah yang membina dirinya dan saling bertalian. Muhammad Haji Salleh lebih dikenali sebagai penyair di Malaysia yang boleh menulis dalam dua bahasa dengan baik. Usaha-usahanya untuk meneroka dunia sastera Melayu lama sebagai seorang sarjana masih belum benar-benar diterima oleh sesetengah pihak. Pernah suatu ketika berlaku polimik yang berpanjangan tentang hal ini. Namun beliau masih terus menggali khazanah lama itu.

Oleh kerana beliau adalah penyair yang berbakat besar dan cekap menggunakan bahasa dengan baik, maka keistimewaan ini banyak mempengaruhi beliau dalam menulis esei-eseinya. Maka esei-esei dan kemudian membentuk buku-buku ilmiah yang ditulisnya memperlihatkan gaya penulisan yang kreatif, artistik, dan dinamik penggunaan bahasanya. Di sini jelas dua daerah yang disebut tadi bertaut dan berkembang.

Muhammad Haji Salleh sebagai seorang penyair dan sarjana telah menjadi fokus seminar pada kali ini. Sajak-sajak beliau telah diteliti dan begitu juga dengan esei-esei yang telah dihasilkan. Maka sebanyak sepuluh kertas kerja telah dapat dihimpun di dalam buku ini. Setiap kertas kerja itu dibangunkan menjadi bab-bab tertentu. Muhammad Haji Salleh sendiri telah menyumbang sebuah bab, iaitu bab kedua yang bertajuk “Jalan Pulang dari Kembara Seberang.”

Tinta Pengantar

Pengenalan

1. Jalan Pulang dari Kembara Seberang

2. Kepengarangan Muhammad Haji Salleh dalam Aksara Usia

3. Seorang Pencari dan Pemikir

4. Muhammad Haji Salleh: Jujur dan Mersiknya Suara Seorang Penggeledah Sastera Dunia

5. Estetika Kesusasteraan Melayu: Satu Pandangan Muhammad Haji Salleh

6. Muhammad Haji Salleh (Si Tenggang dan Tun Sri Lanang Moden) dalam Dunia Perasaan dan Pemikiran Puisinya

7. Muhammad Haji Salleh Menyisir Tradisi Melayu-Islam dan Kemodenan dalam Aksara Usia

8. Satu Karya Parodi: Melihat Pemikiran Muhammad Haji Salleh dalam Sajak-Sajak Sejarah Melayu

9. Muhammad Haji Salleh sebagai Sasterawan Negara: Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka

Penyumbang

Indeks

Weight0.268 kg
Dimensions21.5 × 15.2 × 1.3 cm
Author(s)

, , , , , , , ,

Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.