Sejarah Aritmetik dan Aljabar Islam mempunyai banyak maklumat tentang sumbangan tamadun Islam dalam bidang matematik. Fakta sejarah yang terkandung di dalamnya diadun secara tersusun berpandu kepada sumber utama yang sahih. Ianya sesuai untuk bacaan pelajar matematik peringkat sekolah, maktab dan universiti serta guru dan orang awam yang meminati sejarah dan falsafah matematik. Buku ini dikembangkan daripada kajian yang mendalam dan diperkukuh dengan petikan manuskrip dan tulisan peninggalan ahli matematik Muslim silam. Buku ini mendapat sanjungan daripada beberapa ilmuwan tanahair dalam bidang sejarah dan falsafah matematik.
Aritmetik dan aljabar adalah cabang-cabang penting matematik selain daripada geometri, trigonometri, astronomi dan muzik. Matematik mendapat kedudukan yang penting dalam pengelasan ilmu falsafah. Matematik menjadi bidang sepunya kepada banyak bidang ilmu yang bersumberkan akal. Matematik menjadi penghubung alam tabii dengan alam tinggi bagi ahli falsafah, menjadi alat penting dalam bidang syari‘at bagi seorang Muslim, menjadi keperluan asas bagi masyarakat umum.
Dalam Sejarah Aritmetik dan Aljabar Islam, penulis memulakan perbincangan tentang kedudukan matematik dalam pengelasan ilmu tradisi Islam serta faktor pendorong penulis untuk menyelidiki secara mendalam tentang sejarah aritmetik dan aljabar Islam. Sumbangan Muslim dalam aritmetik dan aljabar masih menjadi daerah majhul kepada kebanyakan ahli sejarah kontemporari. Menyedari hakikat ini, penulis dengan penuh rasa terharu, telah mencuba untuk membawa balik kenangan manis pencapaian sarjana Muslim dalam bidang matematik sebagai rentetan pensejarahan penting yang tidak seharusnya dilupakan oleh penulis sejarah. Dalam penulisan ini, fakta serta sumber yang sahih sahaja dipertimbangkan dan kesimpulan yang dibuat tidak bergantung kepada teks-teks sejarah matematik popular yang menjadi rujukan masa kini.
Berdasarkan manuskrip asal serta syarah klasik dan moden, penulis memaparkan kembali pencapaian Muslim dalam bidang aritmetik dan aljabar dalam enam bab utama buku ini (Bab 2 — Bab 7). Bab-bab tersebut menjadi intisari buku ini. Sumbangan tokoh-tokoh matematik yang terkenal diperincikan mengikut tajuk perbincangan. Tokoh-tokoh tersebut termasuklah al-Khawarizmi, Ibnu Qurrah, al-Uqlidisi, Ibnu Laban, Ikhwan al-Safa, Ibnu Sina, al-Khazin, al-Buni, al-Hind, al-Baghdadi, al-Arbili, Ibnu al-Yasamin, al-Karaji, al-Maghribi, al-Tanukhi, Ibnu Badr, Ibnu al-Banna’, Ibnu Khaldun, al-Qabisi, Ibnu al-Haitham, ‘Umar Khayyam, Nasir al-Din al-Tusi, Syaraf al-Din al-Tusi, al-Farisi, Ibnu al-Ha’im, al-Qalsaldi, Ibnu Hamzah dan al-Khatib.
Kajian-kajian ahli matematik tamadun Islam dalam era kegemilangannya menjadi asas penting kepada pembinaan matematik Barat kemudiannya. Antara sumbangan ilmuan Muslim yang terpenting ialah pengasasan sistem-10 yang digunakan di seluruh dunia hari ini. Dengan pengasasan ini, pengiraan menjadi mudah dan aritmetik menempatkan dirinya sebagai cabang ilmu yang berkembang dengan pesat dalam tradisi ilmu Islam. Ahli matematik Muslim kemudiannya membincangkan tajuk-tajuk matematik secara kuantitatif dan kualitatif dalam budaya penulisan mereka.
Antara tajuk yang mendapat perhatian termasuklah operasi asas aritmetik, kaedah penyemakan operasi, sistem-10, sistem-60, nombor kuasa dua sempurna, penghampiran punca kuasa dua, nombor tak terhingga, nombor negatif, surd, nombor nisbah dan bukan nisbah, nombor sempurna, kurangan dan lebihan, pasangan nombor karib, siri dan jujukan, pilihaturan dan gabungan, aljabar dan masalah nilai anu, aljabar linear, masalah Diofantus, pembuktian aruhan, masalah aljabar-geometri dan rampaian masalah aljabar dalam karya silam.
Reviews
There are no reviews yet