Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas

Ahmat Adam adalah Profesor Emeritus dalam bidang sejarah, bekas Felo Penyelidik Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Felo Pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies, Oxford University. Penyelidikan akademik beliau meliputi sejarah Indonesia moden, gerakan kebangsaan di Asia Tenggara dan sejarah persuratkhabaran berbahasa Melayu. Antara karya yang dihasilkan beliau adalah Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua), Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang Dibaca Selama Ini?, Suara Minangkabau: Sejarah Dan Bibliografi Akhbar Dan Majalah Di Sumatera Barat 1900-1941, Sejarah Awal Pers dan Kebangkitan Kesadaran Keindonesiaan, dan Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia.

Penerbit UKM (Cetakan Kedua 1994)
168 halaman

RM15.00

In stock

Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas membicarakan latar belakang sejarah dan perkembangan dunia persuratkhabaran berbahasa Melayu di Kepulauan Melayu dan Sri Lanka pada abad itu. Karya Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas merupakan pengembangan daripada suatu kertas kerja yang berjudul “Persuratkhabaran Melayu abad ke-19: perkembangannya di alam Melayu” yang dibentangkan pada Seminar Kebangsaan Akhbar dan Majalah anjuran Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia pada 25 dan 26 Januari 1988.

Selain memberikan sejarah pertumbuhan dan perkembangan akhbar dan majalah dalam bahasa Melayu yang terbit pada abad ke-19 karya ini juga menyertakan satu senarai induk beranotasi tentang simpanan di Amerika Syarikat, Australia, Indonesia, Malaysia, Nederland, Singapura, Sri Lanka dan United Kingdom.

Bahagian pertama karya Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas memberikan sejarah perkembangan persuratkhabaran berbahasa Melayu di Kepulauan Melayu (dan Sri Lanka) pada abad yang lalu. Pada bahagian keduanya pula, penulis telah menyusun bibliografi akhbar dan majalah yang terbit dalam bahasa Melayu pada abad yang lalu menurut kronologi. Bahagian ketiga pula memberikan nama para editor akhbar-akhbar tersebut serta sedikit latar diri mereka dengan mengikut susunan abjad. Pada bahagian pertama, judul-judul akhbar dan majalah diberikan dalam huruf besar; ini disertai dengan maklumat mengenai tempat diterbitkan, nama penerbit, kekerapan terbit, aksara atau/dan bahasa yang digunakan, bentuk cetakan, tarikh mula terbit dan tarikh terakhir terbit. Turut dicatatkan ialah nama editor atau editor-editor yang terlibat dan tempat akhbar atau majalah itu disimpan. Betapapun demikian, tidak semua maklumat yang diperlukan itu dapat dicari dan dalam keadaan yang demikian penulis memberikan tanda [?].

Orang Eropah dan yang berketurunan Eropah, termasuklah mereka yang digolongkan sebagai Indo atau Serani, memakai nama bapa atau keluarga. Begitu juga dengan nama orang Cina. Untuk mereka itu nama keluarga diutamakan. Ini berbeza dengan orang Melayu, Jawa, dan peribumi lain, yang memakai nama lahirnya (kecuali orang Batak yang memakai nama marganya atau gelarnya dan orang Minangkabau yang memakai gelarnya). Bagi orang Melayu nama bapa tidaklah diutamakan.

Penulis telah mengekalkan bentuk ejaan yang asal bagi judul akhbar dan majalah, serta nama orang seperti yang terpakai di dalam akhbar dan majalah tersebut. Oleh itu, ejaan cara Belanda yang memakai huruf-huruf ‘ch’, ‘dj’, ‘ie’, ‘j’, ‘oe’, dan ‘tj’ hendaklah dibaca dengan disesuaikan dengan ejaan Malaysia-Indonesia yang memakai, sebagai gantinya, ‘kh’, ‘j’, ‘i’, ‘y’, ‘u’ dan ‘c’. Demikian pula halnya, dengan ejaan nama ‘Muhammad’ yang mempunyai beberapa variasi seperti ‘Mohammad’, ‘Mohammed’, ‘Mohd’ dan ‘Mahomed’. Kesemua bentuk ini dipakai berdasarkan ejaan bentuk asalnya seperti yang terpakai di dalam akhbar-akhbar itu. Begitu juga dengan ejaan judul Jawi Peranakkan dan Sekola Melayu yang dikekalkan seperti aslinya.

Hampir kesemua judul akhbar dan majalah yang disenaraikan di dalam bibliografi ini telah penulis periksai di perpustakaan luar negeri dan dalam negeri. Penyelidikan ini telah dimulakan pada tahun 1972, ketika penulis sedang mengumpul bahan untuk tesis kedoktoran falsafah, di Amsterdam, Leiden dan Den Haag. Pada tahun 1973 penyelidikan telah diteruskan di Museum Pusat, Jakarta selama tujuh bulan.

Kemudian, pada tahun 1974 sekali lagi penulis berada di Nederland untuk selama empat bulan. Peluang untuk memperdalam lagi penyelidikan bagi akhbar-akhbar Indonesia periode abad ke-19 telah dimanfaatkan apabila penulis berkesempatan ke Belanda sekali lagi untuk selama empat bulan dalam tahun 1981 dan kemudiannya untuk selama 5 hari dalam bulan Mei, 1990.

Mulai tahun 1987 barulah penulis berpeluang meneliti akhbar-akhbar Melayu yang terbit di Singapura dan Malaysia dan terakhirnya berkesempatan pula melihat mikrofilem akhbar Alamat Langkapuri dan senaskhah Wajah Selong, yang terbit di Sri Lanka.

Buku Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas menambah satu lagi karya tentang sejarah persuratkhabaran Melayu, yang masih ketara kurangnya, baik di Malaysia mahupun di Indonesia. Semoga karya ini akan dapat dimanfaatkan oleh para sarjana dan penyelidik yang memerlukan rujukan yang mudah dicari jika diketahui dimana tersimpannya, khususnya bagi mereka yang berminat tentang sejarah, kebudayaan dan pemikiran masyarakat di Kepulauan Melayu.

Weight 0.237 kg
Dimensions 15.2 x 1.0 x 23 cm
Edition

Format

ISBN

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas”

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You may also like…

  • Peranan Intelektual

    Peranan Intelektual

    RM18.00
  • Hikayat Hang Tuha (Atau Hikayat Hang Tua)

    Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua)

    , , , RM75.00
  • Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang Dibaca Selama Ini

    Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang Dibaca Selama Ini?

    , , , RM32.00
  • Melayu, Nasionalisme Radikal dan Pembinaan Bangsa

    Melayu, Nasionalisme Radikal dan Pembinaan Bangsa

    , , RM42.00