Sejarah dan Sosioekonomi Wanita Melayu Kedah 1881-1940

MAHANI MUSA adalah pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau menumpukan kajiannya terhadap beberapa aspek sosioekonomi orang Melayu khususnya di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan 20.

Penerbit UKM (2005)
255 halaman

RM45.00

In stock

Product ID: 4368 SKU: 9789679427271 Categories: , , , Tags: , , , , , ,

Sejarah dan Sosioekonomi Wanita Melayu Kedah 1881-1940 merupakan kajian kritis terhadap penglibatan wanita Melayu Kedah dalam sektor sosioekonomi. Penglibatan wanita Melayu seawal-awalnya dicatat dalam sumber China dan sumber Portugis. Sumber China, Hai Yu, menyebut tentang kemunculan wanita sebagai peniaga pasar malam dan berniaga di sepanjang jalan di bandar Melaka. Fakta ini disokong oleh catatan Tome Pires yang menyifatkan kegiatan perniagaan oleh kaum wanita ini telah menjadi sumber pendapatan penting bagi perbendaharaan Melaka menerusi cukai yang dibayar kepada pembesar yang menguasai jalan-jalan di Melaka.

Di Kedah, wanita yang berpengaruh bukan setakat mampu berdagang, malah dilantik mengetuai utusan kerajaan ke luar negara sebagaimana yang berlaku pada tahun 1771 di Kedah. Pada bulan Mac Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah telah menghantar utusan yang diketuai oleh seorang wanita ke Acheh untuk meminta bantuan Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk memulihkan kedudukan baginda dan menghalau orang Bugis keluar dari Kedah. Rombongan ini pulang semula ke Kedah pada April 1771 dengan membawa bersama-sama mereka Francis Light serta dua buah kapal perang, senjata dan 30 orang sepoi.

Beberapa orang wanita bangsawan seperti Wan Masheran, Wan Hajar, dan Wan Fatimah (Perlis) ternyata mempunyai signifikan tertentu terhadap wibawa politik negeri Kedah pada abad ke-19. Perkara ini telahpun diulas dalam beberapa kajian. Apa yang tidak diketahui oleh sesetengah pihak ialah golongan wanita bangsawan juga terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi. Kedudukan sebagai golongan kerabat diraja ternyata membuka lebih banyak peluang kepada wanita bangsawan untuk berdagang dan mengumpulkan harta.

Walau bagaimanapun, penglibatan dalam sektor ekonomi ini hanya melibatkan sebilangan kecil wanita bangsawan yang bijak dan bercita-cita tinggi seperti Che Manjalara, isteri Sultan Abdul Hamid.

Sumbangan penting terhadap pertumbuhan ekonomi negeri Kedah sebenarnya datang daripada golongan wanita biasa. Perkara ini telah disebut secara khusus di dalam Undang-Undang Kedah A. H. 1311/ 1893. Undang-undang ini telah disalin oleh Ku Din Ku Meh atau nama sebenarnya Ku Baharuddin Ku Meh. Beliau adalah Penguasa Penjara di Alor Setar yang kemudiannya dihantar ke Setul pada tahun 1897 oleh Sultan Abdul Hamid untuk berkhidmat sebagai Penolong Pentadbir apabila sistem pengintegrasian wilayah Siam atau Thesaphiban dijalankan.

Undang-Undang Kedah A. H. 1311/1893 (versi Ku Din Ku Meh) ini dipercayai telah digunakan sejak abad ke-17 iaitu semasa pemerintahan Sultan Rijaluddin Muhammad Syah (1625-1652). Undang-undang ini mengandungi 41 fasal kesemuanya dan diikuti oleh Undang-Undang Laut Melaka, Undang-Undang Nobat dan salinan lesen bijih timah yang dititahkan oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1881-1943) dan juga senarai sultan Kedah seramai 17 orang. Senarai ini bermula dengan Sultan Mohammed Shah dan berakhir dengan Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Dengan senarai ini, dan beberapa penambahan lain, Undang-Undang Kedah A. H. 1311/1893 dipercayai terus digunakan sehingga abad ke-19. Meskipun ada bahagian dalam versi ini yang sama dengan Undang-Undang Kedah versi Winstedt, namun perbezaan besar masih kelihatan dalam bahagian-bahagian yang membincangkan perkara yang sama. Malah ada bahagian tertentu seperti pemungutan hasil ripai, peraturan hubungan antara tuan dan orang berhutang, hasil nobat, dan perakuan tentang wanita sebagai pekerja tidak disentuh dalam versi Winstedt.

Dalam konteks pensejarahan Malaysia, Undang-Undang Kedah A. H. 1311/1893 merupakan satu-satunya undang-undang tradisional yang mengiktiraf peranan wanita dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri. Pengiktirafan ini tidak pernah kelihatan dalam mana-mana undang-undang adat Temenggung yang ditemui setakat ini termasuk Undang-Undang Melaka. Perihal perakuan tentang kerja kaum wanita ini muncul dalam fasal 16 iaitu tentang nikah kahwin. Dalam bab pembahagian harta sekiranya berlaku perceraian, Tuan Shaikh Abu Bakar, kadi negeri Kedah sekitar awal abad ke-l9, memberi peringatan kepada para hakim agar berlaku adil terhadap kaum wanita kerana golongan inilah yang bekerja kuat mencari rezeki di negeri itu. Perakuan ini dengan sendirinya membayangkan wanita Melayu Kedah mempunyai sejarah tersendiri dalam konteks sosioekonomi negeri Kedah.

Undang-Undang Kedah A. H. 1311/1893 menjadi asas penting kajian ini yang memberi tumpuan kepada keterlibatan wanita Melayu dalam aspek tanah, harta pusaka, pekerjaan, gejala berhutang, pendidikan dan kesihatan sejak tahun 1880-an sehingga sebelum pendudukan Jepun. Undang-Undang ini memberi ruang untuk mengesan kesinambungan dan perubahan yang berlaku dalam tempoh tersebut yang berkait dengan peranan wanita dalam pembangunan sosioekonomi negeri Kedah.

Selain Undang-Undang Kedah, Sejarah dan Sosioekonomi Wanita Melayu Kedah 1881-1940 turut meneliti fail-fail kerajaan negeri Kedah sejak awal abad ke-20 sehingga awal tahun 1940-an yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia dan cawangannya di Kedah turut mengutarakan beberapa penemuan yang menarik.

Berdasarkan penelitian ke atas dokumen-dokumen kerajaan didapati wanita Melayu telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri Kedah sejak sebelum kedatangan British pada tahun 1909. Meskipun keaktifan bekerja dan mengumpul harta ini tidak dapat digambarkan dengan angka-angka dan bancian (kecuali banci pekerjaan) namun hal ini tidak dapat memadamkan hakikat bahawa wanita Melayu merupakan pencari rezeki yang aktif di negeri itu.

Kayu ukur bagi keaktifan ini berdasarkan kekerapan nama wanita Melayu yang muncul dalam indeks-indeks pejabat tanah, pejabat daerah, Pejabat Harta Pusaka, fail mahkamah dan lain-lain. Sumbangan wanita Melayu dalam bidang ekonomi, terutamanya pertanian diakui penting oleh pihak British, malah menjadi satu sebab mengapa jawatan Pegawai Perubatan Wanita diwujudkan di Kedah pada tahun 1925. Tujuan utama diperkenalkan jawatan tersebut adalah untuk memajukan perkhidmatan kesihatan kaum ibu dan kanak-kanak Melayu. Hal ini kerana wanita Melayu merupakan pengeluar bahan makanan yang penting, sementara kanak-kanak merupakan sumber atau bekalan guna tenaga buruh untuk masa akan datang.

Pendek kata, berlawanan dengan teori yang dikemukakan oleh sesetengah pengkaji yang melihat penjajahan sebagai suatu gerak kuasa besar yang telah mengubah nasib kaum wanita menjadi lebih terpinggir dan lebih bergantung kepada kaum lelaki, kes di Kedah pula membuktikan peranan wanita terus signifikan dalam sejarah pembangunan sosioekonomi negeri itu tanpa mengira zaman. Pembahagian buruh, misalnya, membentuk dominasi pekerjaan mengikut jantina. Bidang pekerjaan yang mendatangkan upah dianggap milik kaum lelaki sementara urusan rumah tangga semakin menjadi ruang kaum wanita.

Meskipun tekanan sebegini diakui wujud dalam mana-mana negara yang menerima penjajahan, namun ia tidak bermaksud semua masyarakat yang dijajah itu pasif terhadap perubahan. Wanita Melayu Kedah semasa era penjajahan, misalnya, bukan sahaja giat memohon tanah dan mengumpul harta, malah bersedia mempertahankan harta mereka daripada jatuh ke tangan pihak lain. Himpunan dokumen rasmi kerajaan mendedahkan bahawa wanita Melayu sebagai kumpulan yang kerap menghantar petisyen ke pejabat-pejabat kerajaan dan tidak keberatan mendakwa suami sendiri serta golongan atasan di mahkamah berhubung pemilikan harta dan tanah.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.495 kg
Dimensions 22.8 × 15.3 × 2 cm
Edition

Format

ISBN

9789679427271

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Sejarah dan Sosioekonomi Wanita Melayu Kedah 1881-1940”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.