Sejarah Islam di India: Abad ke-8 hingga Abad ke-20

AZHARUDIN MOHAMED DALI adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

DBP (Cetakan Pertama, 2014)
455 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM25.00

Only 1 left in stock

If you purchase this book you will earn 5 reward points!
ISBN: 9789834614607 Product ID: 673 Subjects: , Sub-subjects: , , , ,

Buku Sejarah Islam di India: Abad ke-8 hingga Abad ke-20 merupakan buku penting yang menjadikan Islam sebagai asas perbincangan. Berbagai-bagai aspek merangkumi kehadiran Islam, kerajaan dan tokoh Islam mahupun peristiwa-peristiwa yang membabitkan orang Islam di India antara abad kelapan hingga abad ke-20 yang menjadi tumpuan utama.

Buku Sejarah Islam di India: Abad ke-8 hingga Abad ke-20 dihasilkan dengan menggunakan sumber rujukan yang mendalam yang pasti menjadi sumber rujukan penting kepada pelajar sama ada pada peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi serta mereka yang berminat dengan sejarah Islam. Lebih penting lagi, buku ini akan mengisi kekosongan yang wujud dalam meneliti dan memahami Islam di India. Diharapkan buku ini memberikan faedah kepada semua pembaca.

Penulisan Sejarah Islam di India: Abad ke-8 hingga Abad ke-20 bertujuan untuk mengetengahkan kenyataan bahawa Islam merupakan agama yang telah melalui satu perkembangan yang cukup menarik di beberapa wilayah di dunia dan salah satunya di benua kecil India. Sejarah Islam di India: Abad ke-8 hingga Abad ke-20 secara umumnya mempunyai beberapa tema dan dikembangkan dalam bab-bab yang terdapat di dalamnya. Tema-tema yang dimaksudkan ialah sejarah perkembangan Islam, kemunculan tokoh-tokoh Islam dalam sejarah Islam di India, aliran-aliran pemikiran Islam dan cabaran-cabaran serta permasalahan yang dihadapi masyarakat Islam di India. Keempat-empat tema ini mengikat perbincangan yang terdapat dalam buku ini.

Secara keseluruhannya, Sejarah Islam di India: Abad ke-8 hingga Abad ke-20 dibahagikan kepada 16 bab.

Bab l hingga Bab 5 membincangkan kedatangan Islam, pertapakan serta kewujudan kerajaan Islam dalam Kesultanan Delhi. Hal ini bermakna, dalam bab ini perbincangan akan menjurus kepada sejarah Islam di India antara abad kelapan hingga abad ke-15. Salah satu perkara yang terdapat dalam bab ini ialah zaman kesultanan di India, sama ada Kesultanan Ghaznawi, Ghori, Khilji, Tughlaq, Sayyid mahupun Lodi.

Sebahagian besar zaman pertengahan di India, didominasi oleh kerajaan-kerajaan ini. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna bahawa tidak ada kisah lain dalam sejarah India, selain kisah kerajaan Islam ketika zaman pertengahan (antara abad kelapan hingga abad ke-16) ini. Terdapat juga kerajaan besar seperti Vijayanagar di bahagian selatan India yang muncul sebagai sebuah empayar yang sangat cemerlang. Selain itu, di Deccan wujud kerajaan Bahmani. Gerakan-gerakan Bhakti yang antara lain diterajui Ramanuja juga berkembang pesat ketika itu. Walau bagaimanapun, hal ini tidak disentuh dalam buku ini kerana perhatian diberikan kepada sejarah Islam di India.

Dalam konteks perkembangan sejarah India, abad kelapan hingga abad ke-14 sering dirujuk sebagai zaman pertengahan dan salah satu ciri yang sangat menonjol ialah aspek persaingan dan perebutan kuasa, pembunuhan, peperangan dan seumpamanya. Keadaan ini sangat menonjol apabila membincangkan kerajaan-kerajaan Islam. Kisah perebutan kuasa antara ayah dengan anak, antara saudara, antara pembesar pusat dengan pembesar wilayah merupakan sesuatu yang lazim berlaku hampir dalam setiap kerajaan, begitu juga dengan peperangan antara kerajaan.

Persaingan antara Islam dengan Hindu wujud ketika zaman ini. Dalam keadaan sesetengah pemerintah merupakan pemerintah yang liberal dengan dasar-dasarnya yang terbuka, terdapat pemerintah yang sanggup melangkaui syariat Islam dan ada juga yang bertindak keras terhadap mereka yang bukan beragama Islam. Hal ini ketara ketika perbincangan merujuk personaliti-personaliti tertentu seperti Mahmud Ghazni atau Fairuz Shah Tughlaq. Perkara ini sangat penting untuk diberikan penjelasan.

Pertama, hal ini boleh melahirkan kekeliruan dan tuduhan yang akhirnya akan menjejaskan keseluruhan objektif buku ini. Tindakan keras yang dilaksanakan oleh sebahagian pemerintah Islam sebagaimana yang disebutkan itu sebenarnya tidak lari daripada kelaziman yang berlaku pada zaman itu. Ketika kuasa ditentukan melalui peperangan, maka kekerasan juga dilakukan untuk memastikan kuasa yang ada di tangan tidak terlepas ke tangan pihak lain. Kedua, tindakan-tindakan keras, sama ada pembunuhan dan meruntuhkan pusat-pusat keagamaan merupakan satu tindakan politik yang diambil oleh pemerintah tersebut. Kita harus melihat peristiwa-peristiwa itu dari kaca mata zaman itu dan tidak boleh dinilai dari kaca mata hari ini

Keadaan inilah yang menimbulkan masalah di Babri, misalnya peristiwa meruntuhkan Masjid Babri dilihat pada hari ini, sedangkan peristiwa itu berlaku ratusan tahun yang lalu. Dalam kes Babri, sejarah telah menjadi senjata yang mengesahkan peristiwa runtuhnya kuil Rama dan berdirinya Masjid Babri, namun tindakan meruntuhkan masjid dan menaikkan kuil menyebabkan India balik ke zaman pertengahan yang dipenuhi episod peperangan dan pertelingkahan.

Seterusnya, bermula dari Bab 6 hingga Bab 9, memberikan perhatian kepada perkembangan dan perjalanan sejarah Islam ketika zaman Kerajaan Mughal. Keempat-empat bab ini menumpukan kemunculan keraj aan Mughal yang diasaskan oleh Babur yang dianggap sebagai meneruskan legasi dan kelangsungan kerajaan Islam sebelumnya, serta keupayaan Babur untuk menjana sebuah kerajaan yang agung. Bab ini ditamatkan dengan pemerintahan Humayun.

Bab 7 membincangkan Akbar, pemerintah Mughal yang namanya terus kekal sebagai antara pemerintah yang agung. Perhatian kemudian menjurus kepada pemerintahan Jahangir dan Aurangzeb. Antara lain bab ini akan melihat kemunculan Shah Jahan yang zamannya dianggap sebagai zaman keemasan dalam kerajaan Islam di India.

Bab 9 pula memberikan perhatian kepada dua perkara; pertama, kecemerlangan pada zaman Mughal dan kelemahannya. Istilah kecemerlangan yang digunakan dalam bab ini merujuk kecemerlangan dalam bidang seni bina yang dilihat begitu dominan dalam Kerajaan Mughal, terutama ketika zaman Akbar dan Shah Jahan. Hal ini tidak bermakna aspek-aspek lain seperti pemerintahan dan ekonomi tidak cemerlang sepanjang sejarah Kerajaan Mughal. Perhatian diberikan kepada seni bina kerana keupayaan kerajaan ini dalam bidang ini telah membolehkan sebahagian daripada binaannya seperti Taj Mahal terus kekal dikagumi sebagai antara pencapaian cemerlang dalam tamadun manusia hingga kini. Dalam aspek berikutnya, perhatian diberikan kepada zaman kemerosotan dan kelemahan kerajaan ini apabila beberapa faktor yang membawa kepada keadaan ini dibincangkan.

Bab 10 hingga Bab 13 memberikan perhatian kepada sejarah orang Islam di India ketika zaman penjajahan British. Harus diakui bahawa bab-bab ini merupakan bahagian yang paling penting kerana penduduk tempatan, terutamanya orang Islam sedang menghadapi keadaan yang begitu mencabar. Oleh sebab bidangnya yang sangat luas, maka perhatian hanya diberikan kepada beberapa aspek yang disifatkan sangat penting.

Misalnya dalam Bab 10, perbincangan menjurus kepada gerakan pemulihan Islam di India pada abad ke-l9. Perhatian diberikan kepada kedudukan ulama serta peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh revivalis seperti Sayyid Ahmad Barelvi, Shah Waliullah dan sebagainya. Setelah itu, perhatian diberikan kepada kemunculan aliran tradisionalis dan modenis yang diwakili dua kelompok yang berbeza, iaitu kelompok yang dikenali sebagai Deoband dan kelompok yang dikenali sebagai Aligarh.

Dalam keadaan ini, beberapa tokoh penting akan disebutkan termasuklah Sayyid Ahmad Khan yang kedudukannya begitu dominan dalam tempoh pertengahan kedua abad ke-19 hingga awal abad ke-20. Isu-isu politik telah memainkan peranan yang penting dalam abad ke-20. Orang Islam dilihat memasuki fasa yang sangat getir apabila mereka terpaksa mencari tapak untuk berdiri kesan persaingan pihak British dan masyarakat Hindu yang menjadi kelompok majoriti. Dalam keadaan inilah muncul Allama Iqbal yang bukan sahaja berdiri sebagai penyair yang tersohor, tetapi juga merupakan seorang ahli falsafah, pemikir dan intelektual serta ahli politik.

Kesemua kualiti yang dimiliki Iqbal digunakan untuk memastikan orang Islam tidak terus tertinggal dalam arus perubahan yang berlaku. Perkara ini dibincangkan dalam Bab 12. Dalam Bab 13 pula, perhatian diberikan kepada aktiviti yang dilaksanakan oleh parti politik Islam yang penting, iaitu Liga Muslim. Selain itu, peranan yang dimainkan oleh Muhammad Ali Jinnah dalam perkembangan politik Islam ini turut diberikan perhatian khusus, terutamanya dalam usaha Jinnah untuk membentuk sebuah negara Islam merdeka. Usaha ini kemudian berjaya dengan kemunculan Pakistan.

Seterusnya, Bab 14 hingga Bab 16 membicarakan konflik di Kashmir, cabaran yang terpaksa dihadapi orang Islam di India dan konflik agama yang berlaku di India membabitkan orang Islam dan Hindu. Konflik Kashmir sebagaimana yang dibincangkan dalam bab 15 merupakan antara konflik yang masih terus berlaku sehingga hari ini, malah tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Konflik ini mempunyai perkaitan langsung dengan sejarah yang berlaku di India, terutamanya yang berkaitan gerakan politik Islam sebelum merdeka serta pemisahan India yang berlaku pada tahun 1947.

Orang Islam di India juga terus-menerus menghadapi berbagai-bagai bentuk cabaran selepas kemerdekaan. Cabaran ekonomi, sosial dan politik ini dibincangkan dalam Bab 14, sementara Bab 16 melihat konflik agama di India membabitkan berbagai-bagai peristiwa, termasuklah peristiwa Masjid Babri dan Gujarat. Perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam era pascakemerdekaan ini membuktikan bahawa orang Islam terus berhadapan dengan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam memastikan kelangsungan mereka di benua kecil India.

Weight0.540 kg
Dimensions13.6 × 2.3 × 21.6 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 2 reviews
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. Mokhtar Senik (Verified Reader)

    (0) (0)
  2. Stanley Jana (Verified Reader)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.