Out of stock

Sejarah Lukut: Kegemilangan Sebuah Pemerintahan Melayu Abad ke-19

ROSISWANDY MOHD. SALLEH adalah Penolong Kurator di Muzium Adat, Jabatan Muzium Malaysia.

Jabatan Muzium Malaysia (Cetakan Pertama, 2019)
296 halaman termasuk Lampiran dan Rujukan

RM55.00

Out of stock

Sejarah Lukut: Kegemilangan Sebuah Pemerintahan Melayu Abad ke-19 memaparkan rentetan peristiwa dari awal sehingga Lukut diserahkan kepada Sungai Ujong pada lewat tahu 1870. Daerah Lukut dipercayai telah wujud sejak ratusan tahun lagi dan sama seperti daerah-daerah lain seperti Sungai Ujong, Tanjung Tuan, Rembau, Kelang, Sungai Ujong, Jempol dan Linggi. Lukut dikategorikan sebagai salah sebuah daerah pesisir Selat Melaka yang digelarkan sebagai ‘negeri timah’ kerana kaya dengan sumber mineral dan antara penyumbang utama sumber bijih timah kepada kerajaan Melaka.

Sejak berdekad lamanya bijih timah sebagai salah satu komoditi utama bagi perdagangan dan ekonomi dunia hingga meletakkan daerah-daerah di pesisir Selat Melaka termasuk Lukut yang dilabelkan sebagai ‘straits produce‘ atau hasil keluaran selat. Hasil tersebut kemudiannya didagangkan melalui Negeri-Negeri Selat sebelum dieksport ke serata dunia. Sepanjang abad ke-19 menyaksikan kegemilangan Lukut setanding dengan pusat perlombongan bijih timah yang lain di Nusantara. Abad ke-19 merupakan tempoh kemuncak dalam pengeluaran bijih timah yang didorong oleh kadar permintaan yang melonjak tinggi kesan daripada senario revolusi perindustrian yang berlaku di Eropah dan berlakunya beberapa siri peperangan di negara-negara luar seperti Perang Saudara di Amerika. Bijih timah banyak digunakan dalam bidang pembuatan barangan seperti perkakas rumah, peralatan industri dan pengetinan makanan.

Faktor-faktor ini menyebabkan semua negeri di rantau Asia Tenggara yang kaya dengan sumber bijih timah seperti Kelang dan Lukut telah dieksploitasi bagi menampung permintaan tersebut. Kelang dan Lukut menjadi tumpuan para pembesar, pelabur dan pekerja-pekerja yang merebut peluang untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah. Situasi ini menjadi satu industri baharu yang menjanjikan kekayaan dan kemakmuran kepada semua pihak. Justeru itu, Lukut dan daerah-daerah lain di Nusantara mula berubah secara drastik dalam aspek kegiatan ekonominya iaitu dari sebuah negeri yang berasaskan kegiatan maritim kepada negeri perlombongan bijih timah. Abad ke-19 juga menyaksikan era kemajuan dan pemodenan negeri-negeri Melayu pantai barat Semenanjung Tanah Melayu kesan daripada perkembangan industri perlombongan dan perdagangan timah.

Pada awalnya, konsep pemerintahan daerah-daerah di Selangor termasuk Lukut awal telah ditadbir secara bebas oleh pembesar masing-masing. Walaupun sejarah Lukut masih tidak jelas dari aspek pemerintahannya tetapi daerah Lukut dipercayai telah didiami oleh Orang Asli. Sudah pasti masyarakat ini mempunyaı ketua atau batin tersendiri yang bertindak sebagai pemimpin mereka. Mereka bebas untuk mentadbir aspek politik, ekonomi dan menguatkuasa peraturan dan undang-undang mengikut keputusan sendiri. Namun Lukut dan beberapa daerah Selangor yang lain masih tertakluk kepada ketuanan Kerajaan Kesultanan Selangor. Apa yang menarik, meskipun wujudnya kebebasan para pembesar mentadbir wilayah (daerah) masing-masing, dalam masa yang sama mereka tidak memberikan sebarang ancaman atau perpecahan kepada keutuhan institusi Kerajaan Selangor. Faktor utama kepada kekuatan ini adalah disebabkan kesemua pembesar daerah tersebut terdiri daripada putera raja dan kerabat terdekat kepada Sultan Selangor.

Namun, menjelang akhir abad ke-19, Lukut merosot dan semakin hilang dari sebutan radar. Antara faktor terakhir yang menyebabkan ekonomi Lukut mengalami kemerosotan ialah apabila Dato’ Kelana Sungai Ujong membuat tuntutan dan mendakwa Lukut adalah wilayah miliknya. Tuntutan Sungai Ujong tersebut telah pun bermula sejak awal tahun 1860-an iaitu semasa pemerintahan Raja Jemaat lagi tetapi gagal dimuktamadkan dengan baik. Ketika pemerintahan Raja Jemaat, tuntutan Sungai Ujong tidak berjaya kerana pengaruh Raja Jemaat masih kuat. Sebaliknya setelah Raja Bot memerintah Lukut, tuntutan demi tuntutan telah dibuat oleh Sungai Ujong dan ia merupakan faktor utama yang memberikan kesan kepada untung nasib Raja Bot di Lukut. Dato Kelana Sungai Ujong tidak berputus asa dan telah membawa isu tuntutan tersebut kepada pihak British di Negeri-Negeri Selat. Akhirnya Raja Bot tidak mampu mempertahankan haknya di Lukut dan terpaksa akur dengan perjanjian persempadanan di antara Sungai Ujong dengan Selangor yang bermula pada tahun 1878 dan telah dimuktamadkan pada tahun 1880.

Pada tahun 1880, kegemilangan Lukut telah berakhir dan turut dipercayai bahawa tiada sebarang aktiviti ekonomi di daerah tersebut. Pekan Lukut dianggap sebagai ‘ghost town‘ atau pekan mati. Lukut hanya sekadar sebuah daerah yang kecil yang tidak lagi penting dan dilupakan. Kelenyapan Lukut telah digantikan dengan kemunculan Tanjung Kemuning yang kemudiannya dinamakan sebagai Port Dickson atau Pelabuhan Dickson pada tahun 1889.

Weight0.769 kg
Dimensions24 × 16 × 2 cm
Author(s)

Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.