Sejarah Perak dihidangkan secara ringkas meliputi seluruh sejarah negeri itu dari zaman sebelum sejarah lagi, iaitu “Zaman Batu” hinggalah ke zaman sekarang (Kurun Masihi yang ke-20). Sejak “Zaman Batu” yang dikatakan itu hingga ke kurun Masihi yang ke-14, sejarah negeri Perak yang diceritakan dalam buku ini bolehlah dikatakan sejarah yang agak samar, kerana huraian mengenai sejarah zaman itu hanyalah berdasarkan bukti daripada batu dan barang-barang peninggalan zaman purba sahaja. Setelah memasuki akhir kurun Masihi yang ke-14, baharulah sejarah negeri Perak itu dapat dihuraikan dengan jelas, iaitu sejak wujudnya perhubungan antara kerajaan Melayu Melaka dengan daerah yang sekarang disebut negeri Perak, hinggalah negeri Perak menjadi sebuah negeri yang berkerajaan Melayu, bersultan, turun-temurun. Hingga ke hari ini kesultanan Perak telah melalui zaman lebih kurang 450 tahun. Sejarah negeri Perak yang dinyatakan dalam buku ini, iaitu sejak dari mula bersultan lagi, (sejak awal kurun Masihi yang ke-16) hingga sekarang ini, dipusatkan kepada peristiwa sejarah di negeri itu yang berkisar di sekitar kesultanan dan rakyat Melayu negeri Perak yang telah mengalami pahit manis hidup di negeri itu.
Sepanjang pemerintahan sultan Melayu yang bertukar-tukar ganti itu, diketahui bahawa negeri itu telah diancam oleh orang Siam (Thai), telah ditakluk oleh kerajaan Acheh, dan telah didatangi oleh peniaga Portugis dan Belanda yang berebutkan bijih timah hasil negeri itu. Keluarga diraja negeri itu telah berhubung, kait-mengait dengan keluarga diraja negeri di sekitarnya. Kegiatan Acheh dan Belanda di negeri itu dan hal yang lain-lain yang telah berlaku dalam kurun Masihi yang ke-16 dan 17 juga diketahui.
Dalam bab mengenai peristiwa dalam kurun Masihi yang ke-18, dihuraikan pula sejarah kegiatan orang Melayu Bugis dan Kepulauan Riau-Lingga dan Selangor di negeri Perak, serta zaman keemasan pemerintahan di negeri Perak dalam masa pemerintahan sultannya yang bergelar Sultan Iskandar Zulkarnain.
Kemudian dinyatakan pula peristiwa bersejarah di negeri Perak yang berhubung dengan Raja Bugis di Selangor, dan peranan yang telah dimainkan oleh orang Siam (Thai) serta orang Inggeris (Kompeni Inggeris) di negeri Perak dalam kurun Masihi yang ke-19 kerana berebutkan hasil bijih timah di negeri itu. Sejarah daerah Larut dari pertengahan kurun Masihi ke-19 yang bermula dengan kisah Che Long Jaafar mula mengetahui bumi daerah itu banyak mengandungi bijih timah hinggalah pecahnya “Perang Larut”, ada dihuraikan dalam bahagiannya yang tersendiri.
Sejarah negeri Perak yang berhubung dengan sebab-musabab kemasukan British ke negeri itu sejak akhir kurun Masihi yang ke-19 hingga tercetusnya “Perang Perak”, langsung menyebabkan negeri itu masuk ke bawah naungan kerajaan British, dan kemudiannya disekutukan dengan Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dalam Negeri-Negeri Melayu yang Bersekutu (Federated Malay States), juga dihuraikan dalam buku ini. Sejarah “Perang Perak” yang menceritakan bagaimana orang Melayu Perak menentang penjajahan British di negeri itu, dinyatakan dengan lanjut dalam bahagiannya yang tersendiri.
Sejak awal kurun Masihi yang ke-20, dapat pula diperhatikan perubahan yang berlaku di negeri Perak selama dalam pemerintahan sultan-sultannya yang terkenal, iaitu Sultan Idris Murshidul A’zam Shah dan puteranya Sultan Iskandar Shah. Kemudian dihuraikan pula peristiwa bersejarah di negeri itu pada masa pendudukan tentera Jepun (1941 1945). Negeri itu kemudiannya masuk ke dalam “Malayan Union” dan Persekutuan Tanah Melayu (1948), iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Aziz yang telah mangkat dalam tahun 1948 itu juga. Lepas itu pada masa pemerintahan Sultan Yusuf Izzuddin Shah, negeri Perak turut pula sama dalam Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, iaitu dimerdekakan daripada pemerintahan kerajaan British (1957). Setelah Sultan Yusuf digantikan oleh Sultan Idris II, putera almarhum Sultan Iskandar Shah, negeri Perak tetap menjalani perubahan-perubahan yang akan menjadi sejarah pada masa hadapan.
Demikianlah ringkasan sejarah negeri Perak yang dihidangkan dalam buku ini, dengan harapan supaya apa yang tertulis dapat dibaca dan apa yang tersirat dalam tulisan itu dapat difahami bersama-sama untuk meneruskan perjuangan bagi memelihara kedaulatan dan kemerdekaan serta kemajuan tanah air kita yang dikasihi, negara Malaysia.
Reviews
There are no reviews yet