Out of stock

Seksologi: Ilmu Perkasihan Melayu

HARUN MAT PIAH (b. 1937 – d. 2019) mendapat pendidikan di Universiti Malaya, SOAS University of London, dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

NASEER SOBREE merupakan penyelidik ilmu perubatan Melayu dan juga pengasas Baytul Hikma.

Perpustakaan Negara Malaysia (Cetakan Pertama, 2019)
411 halaman termasuk Bibliografi, Glosari, Indeks, dan Lampiran

RM95.00

Out of stock

Seksologi: Ilmu Perkasihan Melayu merupakan istilah baharu yang diberikan kepada sekumpulan ilmu yang sebelum ini dikenali sebagai ilmu jimak, kitab jimak, rukun jimak, ilmu perempuan (ilm an-nisa), ilmu berahi, ilmu syahwat, ilmu erotis dan beberapa yang lain. Selain dari itu kandungan pembicaraan juga meliputi makna ilmu pengasih, pembenci, guna-guna juga cinta dan kasih sayang. Istilah yang baharu ini dirasakan lebih tepat dan dapat merangkumi semua konsep atau liputan ilmuilmu yang disebutkan itu. Dengan demikian istilah yang digunakan ini lebih tepat dengan maksud atau hala tuju ilmu yang dibicarakan ini, iaitu untuk menimbul dan memanfaatkan rasa kasih, sayang dan cinta yang syahdu di samping menikmati dan bersyukur atas nikmat yang diberikan Tuhan kepada sekalian makhluknya.

Sementelah pula, seluruh perlakuan yang dipersoalkan ini adalah berpusat kepada hubungan seks atau hubungan kelamin antara suami-isteri dengan menekankan rasa kasih sayang, cinta dan kebahagiaan kepada pasangan berkenaan. Selain daripada itu istilah ini menepati makna dan konsep ilmu seksologi yang dipakai dan difahami secara universal. Dengan demikian dalam kajian ini semua istilah berkenaan dipadukan ke dalam istilah Ilmu Seksologi atau Ilmu Perkasihan Melayu Tradisional. Istilah ringkas seterusnya disebut Ilmu Seksologi, ilmu perkasihan atau Seksologi Melayu.

Sepertimana ilmu-ilmu tradisional yang lain, Ilmu Seksologi juga terdapat dalam bentuk tulisan atau manuskrip, baik yang masih tersimpan dalam pelbagai koleksi mahupun yang telah diterbitkan dalam bentuk buku, termasuk dalam cetakan batu (litograf). Dan selain dalam bentuk tertulis ilmu ini juga dipelajari, diamalkan dan diwarisi melalui transmisi lisan. Namun demikian kajian ini menumpukan kepada bahan-bahan tertulis, khususnya manuskrip-manuskrip yang kebanyakannya masih belum dikaji dan diterbitkan.

Sesungguhnya Ilmu Seksologi merupakan bidang persoalan yang cukup luas dan dibicarakan secara terbuka dalam kitab-kitab dan naskhah-naskhah lama. Ratusan manuskrip dalam pelbagai bidang membicarakannya sebagai salah satu daripada ilmu tradisional yang merupakan warisan budaya, ketamadunan dan kearifan bangsa Melayu. Selain itu terdapat ratusan buku telah diterbitkan, diedarkan di pasaran terbuka di seluruh tanah air. Buku-buku ini umumnya dijual melalui premis-premis yang menyajikan ratusan buku yang tergolong sebagai pengetahuan Islam. Buku-buku ini dalam pelbagai judul tetapi kandungannya tetap di sekitar Ilmu Seksologi yang dimaksudkan dalam kajian ini. Keadaan ini membuktikan bahawa persoalan-persoalan berhubung jimak, cinta dan kasih sayang merupakan bidang pembacaan yang popular, dibaca dan dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat umum. Dengan demikian perlu diberikan perhatian, diulas secara ilmiah, diberikan panduan dalam memanfaatkannya sesuai dengan ajaran Islam dan nilainilai kemanusiaan sejagat.

Pada dasarnya, sebagai inti persoalan ilmu ini membicarakan tentang wati (jimak, senggama, persetubuhan) dalam perkahwinan, menurut ajaran sunnah yang bersumberkan al-Quran dan Hadis dan lebih dikenali sebagai sunnah Nabi. Selanjutnya persoalan dalam ilmu ini, secara teori dan praktisnya dikaitkan dengan persoalan kemasyarakatan iaitu dalam konteks hubungan cinta dalam Ilmu Seksologi sebagai manifestasi cinta dan kasih sayang dalam ruang kehidupan yang lebih luas, rumah tangga, suami isteri, ahli-ahli keluarga dan anggota masyarakat seluruhnya. Pengetahuan atau sumber ilmu ini terdapat dalam naskhah-naskhah lama Melayu yang tersimpan dalam pelbagai koleksi dunia baik di tanah air mahupun di luar negara. Umumnya dikenali dengan judul Kitab Jimak, Ilmu Jimak, Babul Jimak, Ilm an-Nisa, Bahr an-Nisa dan beberapa yang lain atau malah kebiasaannya tanpa judul. Selain daripada itu ilmu ini juga disalurkan melalui ilmu-ilmu lain, dalam naskhah-naskhah lain, termasuk ilmu perubatan (Kitab Tib), ilmu ramalan, ilmu firasat, raksi, laksana dan lain-lain.

Terdapat lebih daripada 20 naskhah yang tergolong dalam kategori ini dalam simpanan pelbagai koleksi dunia termasuk Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, Pusat Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka dan Muzium Seni Islam di Kuala Lumpur. Di luar negara seperti di Leiden, London, Jakarta dan Sri Lanka juga menyimpan naskhah-naskhah ini baik secara khusus sebagai ilmu jimak mahupun dalam manuskrip-manuskrip dengan judul-judul yang lain yang jumlahnya melebihi 100 naskhah. Sebuah buku, Kitab Tajul Muluk, terbitan Maktabah Sulaiman Mar’i, Singapura (tiada tarikh) dapat dianggap sebagai sebuah Kitab Tib Melayu yang tipikal. Di dalamnya, selain membicarakan ilmu perubatan, ubat dan penyakit, beberapa bab daripadanya berbicara mengenai judul dan subjudul dalam Ilmu Seksologi, termasuk persoalan wati dan perkara-perkara yang berhubungan dengannya.

Weight1.165 kg
Dimensions25.4 × 17.7 × 2.6 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.