Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941

Ahmat Adam adalah Profesor Emeritus dalam bidang sejarah, bekas Felo Penyelidik Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Felo Pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies, Oxford University. Penyelidikan akademik beliau meliputi sejarah Indonesia moden, gerakan kebangsaan di Asia Tenggara dan sejarah persuratkabaran berbahasa Melayu. Antara karya yang dihasilkan beliau adalah Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua), Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang Dibaca Selama Ini?, Suara Minangkabau: Sejarah Dan Bibliografi Akhbar Dan Majalah Di Sumatera Barat 1900-1941, Sejarah Awal Pers dan Kebangkitan Kesadaran Keindonesiaan, dan Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia.

UM Press (2012)
269 halaman

RM48.00

In stock

Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941 sebenarnya adalah lanjutan daripada kajian awal yang merupakan sebahagian daripada telaah berkaitan persuratkhabaran peribumi di Indonesia yang telah pun diterbitkan dengan judul The Vernacular Press and the Emergence of Modern Indonesian Consciousness. Kajian mengenai persuratkhabaran di Sumatera Barat secara khusus sengaja dilakukan justeru kerana sejarah persuratkhabaran Melayu di Wilayah ini masih terlalu kurang diberikan perhatian.

Setahu penulis, sehingga kini, tidak banyak yang dihasilkan mengenai sejarah pers di ranah Minangkabau, lebih-lebih lagi yang menyentuh jangka masa sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua. Percubaan awal yang pernah penulis lakukan pun hanya terbatas pada periode abad ke-19 dan sampai tahun 1913 iaitu sesuai dengan tema yang penulis pilih untuk kajian sejarah pers bagi seluruh Hindia Timur Belanda.

Setelah 16 tahun buku tersebut terbit, penulis berasakan bahawa sejarah persuratkhabaran Melayu di wilayah yang dinamakan Sumatra’s Westkust pada zaman penjajahan Belanda perlu diungkapkan lagi. Oleh hal yang demikian Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941 memberikan perhatian khusus kepada babak perkembangan pers di Minangkabau sehingga 1941 iaitu tahun terakhir munculnya surat khabar atau surat berkala di Sumatera Barat sebelum pemerintahan Belanda ditamatkan oleh Jepun.

Beberapa kajian mengenai Sumatera Barat sebelum ini ada menyinggung nama-nama akhbar dan majalah yang terbit pada periode tersebut, lantaran para penelaahnya menggunakan bahan-bahan daripada surat khabar atau majalah kontemporari yang masih tersimpan di beberapa perpustakaan. Namun begitu, tidak semua maklumat yang diberikan mengenai judul akhbar atau majalah dan masa terbitnya betul. Ada kalanya maklumat mengenai nama penerbitan, tempat terbit dan orang yang terlibat dalam pengendalian surat khabar dan majalah itu juga tidak tepat; malah sering pula mengelirukan.

Penulisan sejarah dan penyusunan sebuah senarai satuan (union list) akhbar dan majalah di Minangkabau ini, lebih merupakan percubaan untuk memberikan suatu survey dan seterusnya menghasilkan sebuah inventori yang berupa bibliografi yan beranotasi mengenai surat khabar dan surat berkala yang telah diterbitkan di wilayah Sumatera Barat antara tahun 1900 dan 1941.

Periode empat dasawarsa pertama abad kedua puluh dipilih semata mata kerana pada jangka masa ini—yang merupakan zaman penghujung era kolonialisme Belanda di Indonesia—baru orang Minangkabau dan bangsa bumiputera di tempat lain di kepulauan Indonesia menjadi bertambah sedar terhadap perlunya perubahan, baik dari segi politik, sosial, mahupun ekonominya. Kepada orang Minangkabau dewasa itu perubahan bererti berusaha mengejar ‘kemajuan’. Ia menjadi tema pokok bagi kaum cendekiawan dan elit politik bangsa itu. Justeru kemajuan pun dilihat sebagai tema yang sentral dalam perbahasan dan polemik kaum intelektual Minangkabau pada zaman dasawarsa awal paruh pertama abad ke-20.

Tetapi kemajuan yang dipacu itu pun sebenarnya berupa reaksi masyarakat Minangkabau terhadap tindakan keras Belanda sejak suku pertama abad ke-19 hingga ke dasawarsa pertama abad ke-20 untuk ‘menjinakkan’ orang Melayu Sumatera Barat agar menerima kehadiran penjajahan Belanda sebagai upaya menegakkan Pax Neerlandica di kepulauan Melayu.

Konflik agama dalam masyarakat Minangkabau yang berputik pada penghujung abad ke-18 dan membuahkan perang saudara antara 1821 dan 1837 apabila Belanda turut melibatkan diri demi upaya menjinakkan ‘kedegilan’ Islam terhadapnya. Ini telah menjadi latar belakang pada gagasan mengejar kemajuan yang diuar-uarkan pada dasawarsa awal abad yang lalu.

Justeru kemajuan yang dilaung-laungkan pada awal abad yang lalu itu tidaklah terlepas daripada penampilan pertentangan bersifat keagamaan yang berlaku dalam masyarakat Minangkabau khususnya antara kaum reformis yang didakwa sebagai pembawa ajaran Wahabi dengan masyarakat Islam Minangkabau yang mahu mengekalkan tradisi, baik dari segi adatnya mahupun pegangan keislamannya. Dalam konteks konflik sosioagama inilah tumbuh dan berkembangnya persuratkhabaran Melayu di Minangkabau.

Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941 cuba melihat sejarah pertumbuhan dan perkembangax1 akhbar dan majalah atau surat berkala (istilah yang dipakai pada dasawarsa pertama abad yang lalu) di Sumatera Barat berlatarkan keadaan masyarakat Minangkabau pada periode paruh kedua abad ke-19 sampai pecahnya Perang Dunia Kedua. Kajian ini cuba membuktikan bahawa di Minangkabau setiap pengarang, penolong pengarang, pemberita atau koresponden mahupun penerbit akhbar dari majalah yang diterbitkan, telah terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung dalam pertubuhan yang membawakan ideologi yang dipengaruhi oleh agama atau adat mengikut apa yang difahaminya mengenai konsep kemajuan itu.

Ada tiga jalur pemikiran yang kelihatannya menjadi acuan pegangan ideologi mereka itu. Ada yang melihat bahawa kemajuan itu perlu dicapai melalui kerjasama dengan tamadun Barat demi mengangkat martabat masyarakat Minangkabau dalam dunia yang pesat berubah; ada pula yang melihat bahawa kemajuan itu hanya boleh dicapai seandainya ideologi keislaman orang Minangkabau itu dibersihkan daripada segala yang dilihat sebagai khurafat dan bid’ah yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenarnya; ,dan ada pula kelompok yang mahukan ketenteraman masyarakat dipelihara dengan tidak usah menggugat tradisi dan kaedah melakukan ibadat agama asalkan tidak membawa perpecahan yang merosakkan masyarakat Minangkabau. Golongan terakhir ini sangat yakin bahawa kata-kata “Adat bersendi Syarak dan Syarak bersendi Kitabullah” itulah yang sebaik-baiknya dilestarikan.

Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941 cuba melihat perkembangan persuratkhabaran di Sumatera Barat berdasarkan empat tema pokok. Tema pertama merujuk kepada konflik antara adat dan agama yang diperlihatkan dalam Perang Paderi abad ke-19 yang kemudiannya timbul semula pada awal abad ke-20 dengan berlakunya dikotomi di antara surat khabar yang mendukung adat dan tradisi dengan penerbitan-penerbitan yang berhaluan Islam modernis seperti yang diusahakan oleh golongan al-Moenir.

Tema kedua pula melihat perkembangan pers di Minangkabau yang disokong oleh kesedaran terhadap permodenan masyarakat terutama dengan berkembangnya pendidikan ala Barat dan lahirnya pertubuhan-pertubuhan sosial yang pada akhirnya membawa kepada pertumbuhan kesedaran politik.

Tema yang ketiga melihat kegiatan persuratkhabaran dengan berlatar belakangkan pelaksanaan undang-undang pers yang represif yang berlaku pada tahun-tahun 1906, 1914 dan 1917 serta 1931. Untuk melihat efek undang-undang tersebut terhadap pers, perbincangan juga ditumpukan kepada kes-kes persdelict yang memerangkap para jurnalis sejak dasawarsa pertama hinggalah ke tahun-tahun 1930-an pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua.

Tema yang keempat, cuba melihat bagaimana kelahiran surat khabar dan majalah itu telah menyerlahkan haluan ‘ideologi’ surat khabar dan majalah yang disalurkan melalui empat aliran iaitu: adat, agama Islam reformis, agama Islam konservatif dan politik radikal yang anti-kolonialisme di Sumatera Barat.

Selanjutnya Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941 memberikan senarai akhbar dari majalah yang terbit sepanjang periode 1900 sampai 1941. Maklumat mengenai penerbit, pencetak, pengarang, tempat sesebuah akhbal atau majalah diterbitkan dan harga langganannya serta inventori penerbitan-penerbitan itu juga diberikan sedapat mungkin.

Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941, yang kajiannya penulis lakukan sedikit demi sedikit sejak akhir tahun lapan puluhan, sangatlah rumit dan memerlukan kesabaran dan ketelitian yang mencabar, lantaran terlalu banyaknya judul akhbar dan majalah yang terbit di Sumatera Barat sekitar dua ratus lebih; bertambah lagi kesukarannya, apabila tidak semua pula akhbar dan surat berkala itu masih tersimpan di mana-mana perpustakaan dan arkib. Sekalipun masih ada yang tersimpan dalam bentuk asli, mikrofilem atau mikrofisch, di perpustakaan-perpustakaan terkenal, namun banyak juga yang sudah musnah dimakan bubuk atau tidak dijaga atau dirawat dengan baik oleh sesetengah penyimpannya.

Bila mana naskhah asli sesuatu surat khabar atau surat berkala yang terbit di Sumatera Barat tidak ditemukan, judul dan maklumat seperti lokasi atau bandar tempat diterbitkan, waktu terbitnya serta orang yang terlibat mengeluar dan mengendalikannya telah cuba dikesan. Ini dilakukan melalui kenyataan atau laporan yang diberikan oleh surat khabar dan majalah lain yang terbit sama ada di dalam ataupun di luar daerah Sumatera Barat, khususnya akhbar dan majalah yang terbit pada periode yang sama, baik di Jawa mahupun di Sumatera sendiri, yang kebetulannya masih tersimpan di perpustakaan-perpustakaan, sama ada di Jakarta, Leiden, Den Haag atau Amsterdam.

Kesemua akhbar dan majalah, kecuali yang dinyatakan sebaliknya, telah terbit dalam bahasa Melayu sama ada dalam tulisan Rumi atau Jawi atau kedua-duanya sekali. Ada yang menggunakan] bahasa Melayu tinggi dan ada pula menggunakan bahasa Melayl1 rendah atau bahasa Melayu-Tionghoa; bahkan ada juga akhbar atau majalah yang menggunakan loghat atau dialek Minangkabau dalam huruf Rumi. Mana-mana akhbar dan majalah yang terbit dalam tulisan Jawi atau kedua-dua Rumi dan Jawi, telah dinyatakan pada tempat-tempat yang relevan.

Diharapkan Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941 akan dapat menarik perhatian para sarjana terhadap betapa kayanya maklumat mengenai Sumatera Barat yang tersimpan di dalam kandungan akhbar dan majalah bagi periode berkaitan yang koleksinya masih ada tersimpan di perpustakaan-perpustakaan yang telah dinyatakan.

Adalah diharapkan Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941 akan memanfaatkan para peminat sejarah perkembangan pers daerah di Sumatera Barat, dan juga mereka yang ingin mengetahui apa yang berlaku di Sumatera Barat seperti terungkap di dalam akhbar dan majalah Minangkabau pada periode 1900 hingga 1941. Semoga senarai akhbar dan majalah yang dipaparkan juga dapat memberi faedah kepada penyelidik, dan mereka yang mengkaji masyarakat Sumatera Barat pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua abad yang lalu.

Penulis berasa bahawa penyusunan akhbar dan majalah mengikut kronologi akan dapat membantu pengkaji yang berminat untuk menggunakannya sebagai sumber; dan demikian pula maklumat dan petunjuk yang diberikan mengenai lokasi penerbitan, kekerapan terbitnya, harga langganannya, tempat simpanan akhbar dan majalah yang berkaitan (jika masih ada) dan mengenai tokoh-tokoh yang terlibat sebagai penerbit, pengarang dan pemberita, serta haluan sesebuah akhbar atau majalah diharapkan boleh memberi manfaat kepada para penelaah.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.430 kg
Dimensions 15.2 × 1.3 × 22.7 cm
Edition

Format

ISBN

9789831005316

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Suara Minangkabau: Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah di Sumatera Barat 1900-1941”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You may also like…