Terukirnya Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik Malayonesia

SHAHARIR MOHAMAD ZAIN adalah Profesor Emeritus. Beliau adalah pemegang biasiswa Colombo (1967 dan 1975) dan perintis pelajar aliran Melayu ke seberang laut. Beliau pernah mendapat biasiswa Fulbright Scholarship untuk menjalankan kajian di University of California, Santa Cruz, Amerika Syarikat dengan fokus kepada Formulasi Mekanik Kuantum dengan Kamiran Lintasan. Beliau adalah anak Melayu pertama yang memperoleh Ph.D dalam bidang matematik dengan judul tesisnya, ‘The Formulation of Quantum Action Principle via Gateaux Variation’.

Penerbit USM (Cetakan pertama, 2018)
231 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM37.00

In stock

Terukirnya Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik Malayonesia adalah hasil pelebaran dan pendalaman makalah syarahan umum penulis yang berjudul “Apa Ada pada Bahasa Melayu” di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 10 April 2009 setelah beliau diundang oleh pihak universiti itu atas prakarsa Jawatankuasa Amanah Bahasa USM. Pada masa itu, bahasa Melayu mengalami henyikan besar daripada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula pada 2002. Protes demi protes lembut terbuka dan tersembunyi dilakukan oleh pelbagai pihak sejak riak mula lagi tetapi tanpa apa-apa kesan lalu marak dan berkemuncakkan dengan unjuk rasa (tunjuk perasaan atau demonstrasi) besar-besaran di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2009 bagi tuntutan menghapuskan dasar berkenaan dengan cogan “Perhimpunan Raksasa 100 Ribu” berjalan dari Masjid Negara, Kuala Lumpur ke Istana Negara berhampiran dengan lambang kubu pendaulat dan benteng bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang malangnya sejak mula lagi sudah pun ditawan oleh penaja PPSMI.

Kejahilan umat Melayu Malaysia tentang pencapaian sains dan matematik mereka sendirilah yang menjadi satu daripada punca mudahnya pemimpin, inteligensia dan cendekiawan terpasang mengenyahkan semula bahasanya sendiri di persada bahasa pengantar ilmu itu sejak 2003 atas nama keramatnya PPSMI, dan sejak 2016 pula menyamar sebagai DLP. Buku ini memuatkan perbahasan isu ini antara penulis dengan bapa PPSMI, Dr. Mahathir, dan penyokong tegarnya, PAGE. Sangkalan penulis terhadap hujah-hujah kewajaran DLP di sini juga sepatutnya mencabar pembaca akan naifnya menerima kebaikan penjelma PPSMI.

Tahukah anda bahawa Tamadun Malayonesia adalah pencipta angka perpuluhan dengan angka kosong tertua di dunia? Ada lagikah unsur sains ciptaan umat Malayonesia mendahului umat Eropah sebelum abad ke-19 M? Terukirnya Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik Malayonesia ada jawaban yang menggegarkan pembaca terhadap soalan-soalan ini. Kehebatan sains dan matematik umat Malayonesia yang baharu disembulkan ini diharap mampu menyegarkan jiwa ilmu bangsa ‘Melayu Malaysia’ khususnya.

Istilah Melayu, kepulauan Melayu, rumpun Melayu dan sebagainya kini sudah menjadi kabur, dikaburi oleh istilah Indonesia dengan bahasa Indonesia, kepulauan Indonesia, rumpun Indonesia dan pelbagai nama berkata sifat “Indonesia” lain lagi yang ditonjolkan berbeza daripada yang berkata sifat “Melayu”. Justeru sejak kebelakangan ini, istilah seperti Melayu-Indonesia semakin popular dengan maksud “Melayu dan Indonesia” seperti bidang “pengajian Melayu” semakin digantikan dengan pengajian Melayu-Indonesia, bahkan jurnal bidang ini yang masyhur terbitan SOAS, University of London, United Kingdom, berjudul Indonesia and the Malay World Journal. Hal keadaan inilah maka di dalam buku ini sering jugalah penulis cuba menggunakan Malayonesia sebagai nama rantau yang sebelum abad ke-20 M menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca, bahkan bahasa diplomasi dan bahasa ilmunya. Istilah asalnya Malayunesia ciptaan ahli etnografi Briton abad ke-19 M yang juga mencipta Indunesia sebelumnya, setelah beliau merasakan istilah Indunesia itu kurang tepat kerana terlampau menonjolkan kehinduan manusia di rantau berkenaan, sedang sebaliknya yang sepatutnya berlaku di banyak sub-rantaunya. Malayunesia lebih menonjolkan komponen bahasanya, iaitu bahasa Malayu (ejaan “Melayu” ketika itu).

Namun Malayonesia (hasil ubahsuai ejaannya oleh penulis) bermaksud rantaunya atau orangnya dengan bahasa amnya yang pelbagai; oleh itu untuk spesifiknya penulis menerbitkan istilah seperti Malayonesia Melayu, atau Malayonesia-Melayu jika ada kekeliruan, yang dipakai dengan maksud orang Malayonesia dan berbahasa Melayu; begitu juga Malayonesia Indonesia dan sebagainya. Ini mungkin lebih baik daripada istilah Melayu Malaysia, Melayu Indonesia, Melayu Brunei, Melayu Singapura, Melayu Campa, Melayu Petani dan sebagainya lagi yang telah cuba diketengahkan oleh penulis ini juga dalam usaha menjadikan “Melayu” sebagai bahasa atau bangsa generik bagi Asia Tenggara ini. Sekarang ini, dalam usaha menyatukan bahasa-bahasa rasmi di Malayonesia ini digunakan istilah bahasa Indonesia-Malaysia-Brunei-X dan mungkin X itu ialah Singapura, Campa, Petani dan lain-lain jika penyatuan bahasa ini berjaya diperluaskan lagi. Ini tentunya amat tidak sesuai, berserabut dan tidak teramalikan.

Mungkinkah nama Malayonesia mampu menyelesaikan kemelut ini? Inilah harapan terbaharu penulis. Dengan keadaan kecelaruan di atas itulah maka Bab 1 dikhaskan bagi memerihalkan istilah Melayu dan penjenamaan semula “rumpun Melayu” dan “alam Melayu” sebagai Malayonesia.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.42 kg
Dimensions 24 × 16.5 × 1.5 cm
Edition

Format

ISBN

9789674612436

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Terukirnya Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik Malayonesia”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.