Ulama dalam Perjuangan Tanah Air

BERHANUNDIN ABDULLAH adalah pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Bidang kepakaran beliah ialah dakwah dan kepimpinan Islam.

DBP (Cetakan Pertama 2018)
139 halaman

RM15.00

Only 1 left in stock

Ulama dalam Perjuangan Tanah Air ditulis untuk memperingati perjuangan ulama tanah air dalam usaha menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah. Zaman penjajahan Tanah Melayu bermula semenjak kedatangan Portugis dan pendudukannya pada tahun 1511 Masihi ke atas Melaka. Berurutan dari tahun 1511 inilah Tanah Melayu terus dijajah dari satu negeri ke satu negeri dan dari tahun ke tahun serta bertukar tangan dari satu kuasa ke satu kuasa penjajah yang anti-Islam.

Masyarakat Melayu ketika itu banyak bergantung pada kuasa sultan dan perjuangan ulama. Ulama merupakan tempat pergantungan rakyat untuk segala urusan kemasyarakatan termasuk dalam membuat keputusan pemerintahan negeri. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah abad ke-19 dan 20 yang telah menampilkan ramai tokoh ulama terkemuka memperjuangkan kemerdekaan.

Dalam masa pihak penjajah cuba menguasai kuasa pemerintahan, ulama tetap ke hadapan untuk menasihati pihak pemerintah, khususnya raja atau sultan. Apabila penjajah menggunakan kekerasan dan kebendaan yang banyak, maka pihak pemerintah mula mengalah dan menyerahkan sedikit demi sedikit kuasa kepada penjajah. Keadaan semakin tertekan setelah British mengambil kuasa hampir seluruh negeri-negeri Melayu di alam Melayu di kitar abad ke-18 dan 19. Kerajaan Melayu hampir kehilangan kuasa memerintah.

Sebelum Perang Dunia II, gelombang perjuangan menuntut kemerdekaan sudah mulai meninggi di beberapa buah negara Asia temasuk di Tanah Melayu. Kesan gelombang ini maka lahirlah beberapa orang dalam kalangan guru agama, guru sekolah dan wartawan yang menjadi pemimpin serta berusaha mewujudkan pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) untuk mencapai kemerdekaan dalam lingkungan apa yang dikenali sebagai Melayu Raya.

Selepas Perang Dunia II, semangat rakyat bertambah tinggi dan gerakan mereka bertambah hebat untuk mencapai kemerdekaan. Mereka menjadikan kejayaan Jepun mengalahkan Barat sebagai suatu keyakinan bahawa kekuatan Barat boleh ditumpaskan oleh kekuatan orang Asia sendiri. Maka lahirlah tokoh seperti Sutan Djenain yang telah mengilhamkan gerakan rakyat. Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad telah mendirikan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKM), dan Ahmad Boestamam mengetuai Angkatan Pemuda Insaf (API). Penubuhan parti politik lain seperti UMNO pula dipimpin oleh golongan nasionalis yang mendapat pendidikan Barat.

Menerusi Ulama dalam Perjuangan Tanah Air, pembaca dapat melihat bagaimana permainan penjajah yang begitu rancak menggugat Islam dan masyarakatnya di bumi Tanah Melayu dan dalam masa yang sama mengembangkan fahaman gaman dan ideologi sekular. Penjajah telah banyak melakukan kezaliman dan perhambaan terhadap umat Islam sepanjang penjajahan meneka. Terdapat juga ulama yang tidak mmpersetujui tindakan penjajah yang mahu merampas hak mereka ditangkap dan dibunuh.

Langkah yang diambil oleh penjajah tidak sedikitpun berjaya mematahkan semangat perjuangan ulama dan murid-murid yang setia kepada ajaran Islam. Para ulama bersedia melawan kemungkaran dan kezaliman para penjajah. Meskipun pemerintahan Islam telah berpindah kepada penjajah tetapi kuasa Barat tidak mudah untuk menerapkan peraturan dan undang-undang ciptaan manusia tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada ulama besar yang berkuasa mengeluarkan fatwa dan kebenaran sultan. Ulama Islam tetap teguh dengan dasar perjuangan mereka yang berprinsipkan hukum Islam dalam setiap pembaharuan dan pembangunan.

Salah satu perjuangan yang berteraskan jihad dilancarkan di Pahang setelah perjuangan Melayu menentang British gagal dan bersembunyi di Kelantan dan Terengganu. Peranan agama yang ditanamkan oleh ulama menerusi semangat jihad telah menyerang Jeram Ampai, Pahang dan mendapat kemenangan. Kesedaran ini datangnya daripada inspirasi Sayyid Abdul Rahman al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh di Terengganu.

Semangat ini juga dapat dilihat di Terengganu apabila penasihat British telah dilantik pada tahun 1919 dan banyak peraturan baharu yang melibatkan cukai tanah dan hasil tanah diwujudkan. Peraturan tersebut amat membebankan penduduk tempatan. Dalam keadaan tersebut muncul pemimpin tempatan seperti Haji Zakaria atau Haji Kia di Telemong, Mat Zin bin Mat Min, Tok Janggut atau Lebai Deraman. Kesemua ini adalah di bawah arahan serta bimbingan Haji Abdul Rahman Limbong , salah seorang ulama dalam perjuangan tanah air yang bekerja keras menentang penjajah.

Haji Abdul Rahman Limbong akhirnya telah berjaya ditangkap oleh pihak British dan dibuang negeri ke Mekah sebagai tahanan politik dan diberikan elaun saraan hidup bulanan.

Unsur agama yang dimainkan oleh pejuang tanah air sebagai gerakan anti-British amat ketara. Ajaran yang disebarkan menegaskan bahawa sesiapa yang mematuhi peraturan baharu (yang dibawa oleh penjajah) bererti menyebelahi orang kafir laknatullah. Ini dikaitkan lagi dengan penegasan bahawa segala peraturan baharu British ialah undang-undang kafir. Ajaran ini disampaikan oleh Haji Musa bin Abdul Ghani ketika beliau mengajar ilmu agama, memungut zakat harta dan fitrah di kawasan Kuala Berang. Haji Musa selalu mengemukakan ayat al-Qur’an dan hadith ketika menyampaikan hujahnya.

Selain beliau, Haji Abdul Rahman Limbong turut menegaskan bahawa tanah ialah hak Allah dan pihak pentadbiran tidak boleh mengambil cukai ke atas tanah yang diusahakan oleh mereka. Kata-kata Haji Abdul Rahman Limbong ini sudah pasti mendapat perhatian dan didengari oleh orang kampung. Tambahan pula beliau seorang ulama yang disanjung dan dihormati.

Pendirian Tok Janggut, iaitu seorang murid kepada Tok Ku Paloh telah memperlihatkan keberkesanan ilmu yang meresap ke dalam jiwanya dengan pengisian perjuangan (jihad) menentang penjajah. Dalam syarahan agama, beliau mahu pengikutnya berjihad seperti orang Acheh melawan Belanda (1873-1913).

Ulama dalam Perjuangan Tanah Air menampakkan bahawa usaha ulama ke arah menuntut kemerdekaan rancak berjalan. Mereka berjuang untuk membebaskan bangsa dan tanah air daripada penjajah dengan semangat kental perjuangan berasaskan Islam. Mereka menggunakan segala peluang yang ada untuk membentuk umat Islam yang berani mempertahankan kebenaran Islam. Ada juga dalam kalangan ulama menggunakan gelanggang seni persilatan untuk menarik para belia menyertai perjuangan mereka di samping menyemai akhlak yang murni dan ilmu Islam dalam diri anak-anak muda.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.180 kg
Dimensions 14 × 0.8 × 21.5 cm
Edition

Format

ISBN

9789834900106

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Ulama dalam Perjuangan Tanah Air”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.