Out of stock

Undang-Undang Adat Negeri Kedah Abad ke-19 Milik Ku Din Ku Meh

Penulisan bersama JELANI HARUN, MAHANI MUSA, IDRIS MANSOR dan ‘AISYAH KAMARUDDIN

Penerbit USM (Cetakan Pertama, 2021)
265 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM48.00

Out of stock

Undang-Undang Adat Negeri Kedah Abad ke-19 Milik Ku Din Ku Meh merupakan kajian dan usaha transliterasi terhadap sebuah naskhah perundangan adat negeri Kedah yang terhasil pada tahun 1893 dan masih belum pernah diterbitkan. Penemuan manuskrip Undang-Undang Adat Negeri Kedah yang pernah dimiliki oleh Ku Din Ku Meh (Tengku Baharudin bin Tengku Meh, meninggal dunia pada tahun 1932) telah menambahkan lagi koleksi karya penting yang lahir dalam sejarah persuratan Kedah. Pemilikan naskhah tersebut mungkin ada hubungannya dengan kedudukan Ku Din Ku Meh yang pernah berkhidmat selaku Penguasa Penjara di Alor Setar pada zaman Sultan Abdul Hamid Halim Syah (1881-1943). Manuskrip tersebut mencatatkan nama penulis atau penyalinnya sebagai Haji Muhammad Saad bin Nasir yang tinggal di Bukit Batu Hampar, Merbok, Kedah. Walau bagaimanapun, sehingga kini identiti sebenar Haji Muhammad Saad bin Nasir masih belum dapat dikenal pasti secara jelas.

Sepanjang yang diketahui, manuskrip edisi tulisan Jawi bagi Undang-Undang Adat Negeri Kedah masih belum ditransliterasi ke tulisan Rumi dan belum pernah diterbitkan secara keseluruhannya. Oleh itu, manuskrip undang-undang tersebut amat wajar sekali diketengahkan kepada masyarakat sebagai sebahagian daripada dokumen sosiobudaya istana kesultanan pada abad ke-19. Transliterasi Rumi dalam buku ini adalah berasaskan sebuah salinan mikrofilem yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia (ANM 2007/0002643). Manuskrip tersebut bertarikh 20 Rabiulawal 1311H yang bersamaan dengan 1 Oktober 1893M. Salinan manuskrip Jawi tersebut diperoleh oleh pihak arkib daripada YM Tengku Ibrahim al-Haj pada tahun 1970.

Salinan manuskrip Jawi yang berada dalam simpanan Arkib Negara tidak mengandungi judul yang khusus. Oleh itu, bagi tujuan penerbitan ini, manuskrip tersebut dinamakan sebagai Undang-Undang Adat Negeri Kedah berasaskan suatu frasa pada halaman 7 yang menyatakan bahawa matlamat pemerintah negeri Kedah ketika itu adalah untuk “perbuat undang-undang peraturan segala adat negeri”. Selain itu, perkataan adat telah digunakan dengan banyak dalam manuskrip yang memperlihatkan matlamat pengarangnya untuk menyatakan bahawa undang-undang yang wujud di Kedah ketika itu adalah berteraskan peraturan atau undang-undang adat. Dalam konteks masa silam, adat, peraturan dan undang-undang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain; semuanya berhubung dengan kekuasaan raja dan pemerintah bagi melaksanakan amalan undang-undang dan adat istiadat dalam negeri.

Keunikan dan keistimewaan Undang-Undang Adat Negeri Kedah terserlah melalui kepelbagaian isi kandungannya yang merangkumi persoalan undang-undang yang timbul di Kedah pada abad ke-19, termasuk beberapa pernyataan undang-undang yang memperlihatkan kekerasan hukuman kepada para pesalah, sekali gus memberi gambaran tentang permasalahan sosial yang berlaku di Kedah pada ketika itu. Manuskrip tersebut juga kaya dengan nasihat dan panduan adat serta adab pemerintahan kepada raja dan pembesar, di samping pelbagai cerita teladan yang bersumberkan kisah para nabi dan alim ulama. Secara keseluruhannya, isi kandungan manuskrip Undang-Undang Adat Negeri Kedah terbahagi kepada tujuh tajuk seperti berikut:

  1. 40 fasal undang-undang adat negeri Kedah.
  2. Adat undang-undang jong dan segala jenis perahu.
  3. Fasal undang-undang nobat Kedah.
  4. Kejadian iblis dan syaitan, serta pelbagai cerita tentang jin, malaikat dan juga Nabi Adam.
  5. Cerita tentang nabi-nabi dan alim ulama, termasuk Nabi Khidir. Pada akhir bahagian ini terdapat catatan nama pemilik manuskrip sebagai Ku Din Ku Meh dan nama penulis sebagai Haji Muhammad Saad bin Nasir yang tinggal di Bukit Batu Hampar, Merbok, serta tarikh penulisan pada 20 Rabiulawal 1311H.
  6. Surat lesen bijih timah zaman Sultan Abdul Hamid Halim Syah yang terdiri daripada 17 fasal peraturan mencari bijih timah.
  7. Senarai nama sultan pemerintah negeri Kedah bermula dengan sultan yang pertama, iaitu Sultan Muhammad Shah hingga sultan ke-17, Sultan Abdul Hamid Halim Syah.

Berdasarkan tajuk-tajuk kecil yang terkandung di dalamnya, ternyata Undang-Undang Adat Negeri Kedah mengandungi kepelbagaian maklumat yang penting tentang sejarah kesultanan Kedah yang turut meliputi hal-hal yang berhubung dengan nasihat pemerintahan, amalan undang-undang, cerita tentang nabi dan alim ulama, serta salasilah raja-raja Kedah. Di samping undang-undang adat, manuskrip tersebut turut mengandungi undang-undang perairan atau undang-undang di laut dan beberapa bahagian yang berkaitan dengan nobat dan surat peraturan lesen bijih amah di Kedah pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Syah. Dalam perkataan lain, manuskrip Undang-Undang Adat Negeri Kedah merupakan sebuah naskhah yang mengandungi amalan perundangan adat di negeri Kedah pada abad ke-19, khususnya pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Syah (1882-1943M).

Sistem Ejaan dan Nota Transliterasi
Prakata

1. Pengenalan
2. Undang-Undang Adat Negeri Kedah

Glosari
Lampiran
Rujukan
Bibliografi
Penulis
Indeks

Weight0.428 kg
Dimensions24.2 × 16.5 × 2.1 cm
Author(s)

, , ,

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.