Out of stock

Undang-Undang Minangkabau: Wacana Intelektual dan Warna Ideologi

UMAR JUNUS menjadi Mualim Tamu di Perpustakaan Negara Malaysia dari September 1994 hingga Ogos 1995.

Perpustakaan Negara Malaysia (Cetakan Pertama, 1997)
320 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM35.00

Out of stock

Undang-Undang Minangkabau: Wacana Intelektual dan Warna Ideologi mengkaji sebuah manuskrip Melayu lama iaitu Undang-undang Minangkabau, suatu karya Melayu lama yang amat penting, yang sebenarnya merupakan rakaman bertulis tentang pemikiran dan adat satu suku kaum Melayu yang masih diamalkan sehingga kini, termasuk di Malaysia. Naskhah yang dikaji ini adalah satu-satunya manuskrip Undang-Undang Minangkabau yang terdapat di Malaysia. Usaha mentransliterasikan manuskrip ini dapat mendedahkan hukum adat Minangkabau dalam bentuknya yang asli kepada masyarakat di negara ini.

Dalam kajian ini, penulis telah membaca, mentransliterasi dan menganalisis manuskrip Undang-Undang Minangkabau dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia yang menjadi teks utama kajian. Kupasan beliau yang lebih menjurus kepada aspek wacana dan hubungan di antara bahasa Melayu dan Minangkabau telah membawa kita kepada bidang peranan pengarang dan kepengarangan dalam tradisi penulisan manuskrip Melayu. Untuk memperkukuh analisisnya, penulis banyak menggunakan teori sastera, khususnya teori intertekstual, suatu perkembangan baru dalam kajian manuskrip Melayu. Manuskrip yang dikaji ini mengandungi sembilan bab, dipercayai ditulis oleh penulis yang sama. Empat bab adalah tentang Undang-Undang Minangkabau, empat bab lagi tentang hukum Islam, dan adab raja-raja Melayu serta satu bab adalah teks dalam bahasa Arab. Semua bab dalam naskhah tersebut telah dianalisis oleh penulis.

Pembicaraan ini, meskipun menggunakan bahan yang biasa dikaitkan dengan filologi, namun ia bukan kajian filologi. Ini terlihat pada judul kajian ini: Undang-Undang Minangkabau, wacana intelektual dan warna ideologi. Pada pembicaraan bab 1, “Problematik pendekatan teks dan hakikat ilmu”, kajian ini ingin melihat wacana intelektual milik seorang intelektual Melayu/Minang awal abad 19, tanpa perlu menganggap beliau adalah juga pengarangnya. Persoalan ini lebih lanjut dibicarakan pada bab 3 “Pengarang, si menulis dan pemilik teks”. Buku ini akan membincangkan bagaimana bentuk wacana intelektual pada masa itu dan bagaimana warna ideologinya. Kedua-duanya penting kerana pada masa itu intelektual kita mula berkenalan dengan berbagai-bagai budaya yang saling berbeza, terutama apabila dilihat dalam rangka seorang intelektual dengan latar budaya Minang.

Terlihat ada semacam pergeseran antara budaya Minang yang matrilineal dan budaya Islam yang berkembang dari budaya yang patrilineal, hingga ia lebih difahami orang sebagai sesuatu yang patrilineal. Pada masa itu juga orang makin merasakan kehadiran kuasa politik barat yang di Minangkabau biasa dihubungkan dengan Belanda. Semuanya akhirnya meletus dalam bentuk Perang Paderi. Ini dianggap bermula dengan pergeseran antara orang yang melihat kebiasaan hidup di Minang sebagai bahagian integral daripada kehidupan adat dan budaya mereka yang mesti dipertahankan dengan orang yang melihat hal itu sebagai bertentangan dengan apa yang diwajibkan dalam Islam. Pergeseran itu yang berkembang jadi pertentangan fizikal akhirnya memberi kesempatan kepada Belanda untuk campurtangan. Buku ini memperlihatkan bagaimana ketiga-tiga unsur ini mengejawantah dalam teks-teks dalam Undang-Undang Minangkau (MSS 1589), milik Perpustakaan Negara Malaysia yang diperolehi pada tahun 1991.

Pada teks A terlihat bagaimana orang memanipulasi hubungan antara adat dan syara’, yang dibicarakan pada bab 5, dan adalah fenomena umum pada pembicaraan tentang adat Minang yang lebih lanjut dibicarakan pada bab 13 apabila penulis membandingkan teks A dengan berbagai-bagai teks lain tentang adat Minang. Buku ini memberikan interpretasi lain terhadap teks yang selama ini dianggap hanya layak dikaji menerusi kajian filologi. Buku ini mengembangkan sistematik lain dan ini terlihat pada sistematik pembicaraan pada kajian ini.

Weight0.59 kg
Dimensions22.8 × 15.2 × 2.2 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.