USNO dan BERJAYA: Politik Sabah

HAMDAN AZIZ adalah Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Peradaban, Pusat Pendidikan Asas dan Liberal, Universiti Malaysia Terengganu.

DBP (Cetakan Pertama, 2015)
323 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM50.00

In stock

USNO dan BERJAYA: Politik Sabah memberikan tumpuan kepada faktor yang mempengaruhi pasang surutnya parti USNO dan BERJAYA di Sabah sepanjang tahun 1961-1991. Antara aspek yang diberi tumpuan termasuklah organisasi parti, Badan Penyelenggara Politik, United Sabah Islamic Association (USIA), Yayasan Sabah, Majlis Kesedaran BERJAYA, perlembagaan serta penglibatan kedua-dua parti dalam pilihan raya. Selain itu, tumpuan diberikan terhadap beberapa isu utama yang membawa kejatuhan parti seperti kepimpinan, perkauman, keagamaan serta pengaruh pusat.

Sebagai latar belakang, buku ini meneliti beberapa isu yang berkait dengan kesedaran berpolitik dalam kalangan masyarakat peribumi Sabah sebelum tahun 1961. Tempoh kajian buku ini meliputi tempoh bermula dengan kesedaran berpolitik dalam kalangan masyarakat peribumi. Seterusnya, penubuhan serta kejatuhan USNO kepada BERJAYA, manakala kejatuhan BERJAYA kepada PBS. Fasa terakhir perbincangan buku ini berkisar kepada pengaruh UMNO di Sabah sehingga BERJAYA mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Buku ini dihasilkan bagi mengetahui betapa pentingnya situasi politik di Sabah sepanjang tahun 1961-1991. Pertukaran tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah dalam tempoh tersebut terlalu kerap berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Sehingga hari ini, terdapat lima parti politik yang pernah membentuk kerajaan di Sabah, iaitu Perikatan Sabah, USNO, BERJAYA, PBS dan UMNO (BN).

Buku ini mempunyai kepentingan daripada tiga sudut. Pertamanya, untuk mencari jawapan terhadap beberapa krisis politik Sabah yang tidak berkesudahan. Kedua, buku ini cuba menggalurkan pengalaman parti USNO dan BERJAYA yang bertanding dalam pilihan raya bagi tempoh 1961-1994. Ketiga, memberikan ruang kepada mana-mana organisasi politik membuat rancangan tersusun dan mantap setelah membandingkan kekuatan dan kelemahan yang wujud dalam organisasi USNO dan BERJAYA.

Sepanjang dasawarsa 1970-an, parti politik yang menjuarai ruang kancah politik Sabah ialah USNO dan BERJAYA. Namun begitu, pasang surut kedua-dua parti politik berkait rapat dengan pengaruh kerajaan persekutuan terhadap dasarnya di Sabah. Dalam pada itu, kemasukan UMNO ke Sabah pada tahun 1991, sangat dialu-alukan majoriti penduduk Islam Sabah. Keadaan ini disebabkan kerajaan PBS yang didominasi peribumi bukan Islam serta kaum Cina. Tindakan PBS yang menyertai gagasan pembangkang bersama-sama dengan Parti Melayu Semangat 46 mengukuhkan lagi azam penduduk Islam Sabah untuk menjemput UMNO ke Sabah.

Sebelum UMNO, DAP dan PAS terlebih dahulu bertapak di Sabah. DAP telah bertanding dalam beberapa kali pilihan raya sebelum itu dan pernah memenangi kerusi Parlimen Sandakan pada tahun 1978 dan tahun 1986. PAS pula, hanya mengisi ruang sebelum kedatangan UMNO. Dalam Pilihan Raya Umum 1986, calon PAS yang bertanding di Kota Belud, Jambongan dan Kimanis mendapat undi yang memberangsangkan. Namun setelah kedatangan UMNO, majoriti peribumi Islam Sabah lebih menaruh harapan kepada UMNO.

UMNO bernasib baik apabila mendapat sokongan sebulat suara daripada pemimpin USNO. Sebagai menunjukkan sokongan yang tidak berbelah kepimpinan USNO bertindak membubarkan parti. Tindakan pembubaran ini dibuat melalui satu resolusi khas dalam Mesyuarat Agung Khas di Kota Kinabalu pada 22 Februari 1991. Dalam pada itu, kesemua ahli USNO disarankan menyertai UMNO, manakala harta diserahkan kepada pertubuhan USIA. Berbeza daripada BERJAYA, parti ini mulai surut dalam arena politik Sabah apabila mengalami kekalahan berterusan kepada PBS dalam Pilihan Raya DUN Sabah (1985, 1986 dan 1990). Kekalahan berterusan menyebabkan parti ini bertindak membubarkan parti secara rasmi berkuat kuasa pada 20 September 1992.

Dua persoalan utama yang diberi perhatian oleh penulis melalui buku ini, iaitu pertama, melihat bagaimana corak perkembangan parti politik seperti USNO, BERJAYA dan UMNO pada peringkat awal serta persaingan yang wujud pada setiap kali pilihan raya. Keadaan ini merujuk UNKO yang merupakan saingan terdekat kepada USNO, manakala USNO merupakan saingan terdekat kepada BERJAYA. Kedua, buku ini akan meneliti sejauh mana faktor dalaman dan luaran mempengaruhi pasang surut parti politik USNO dan BERJAYA dalam kedua-dua fasa pemerintahan.

Prakata
Pendahuluan
Penghargaan
Senarai Singkatan

BAB 1 Terbitnya Citra Politik Negeri Bawah Bayu

BAB 2 Terlerainya Penjajahan, Munculnya Penyatuan

BAB 3 Kepimpinan Politik dalam Politik USNO dan BERJAYA

BAB 4 Pasangnya Citra Politik USNO dan BERJAYA dalam Arena Politik Sabah

BAB 5 Surutnya Gelombang USNO dan BERJAYA di Sabah

BAB 6 Kesimpulan: Pasang Surut Gelombang Politik di Sabah

Bibliografi
Indeks

Weight0.444 kg
Dimensions21.6 × 14.1 × 1.8 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.