Susur Galur Sejarah Industri Majalah Melayu 15 August 2022 – Posted in: Book Excerpts

Oleh: Shahrul Nazmi Sannusi dan Siti Ezaleila Mustafa

Industri penerbitan majalah Melayu telah mula berkembang sejak sekitar 1800-an lagi. Majalah pertama di negara ini ialah edisi pertama Bustanul Ariff atau versi Inggerisnya Malay Magazine, yang diterbitkan pada bulan Januari 1821. Selepas itu, enam buah majalah Melayu yang semuanya memuatkan tulisan berupa dakyah Kristian diterbitkan, iaitu Taman Pungatuan (1848), Pungutip Segala Remah Pungutauan atau The Malay Gleaner (1851), Chermin Mata (1858), Sahabat (1895), Pelajaran Skola Agama (1895), dan Warta Melayu (1896).

Dalam keadaan masyarakat majmuk di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan, penggunaan bahasa etnik hanya digunakan oleh kaum-kaum tertentu sahaja. Maka, dapat disimpulkan pada ketika itu tiada media yang lebih berkesan daripada percetakan untuk menjamin perhubungan komunikasi yang berkesan dalam kalangan anggota satu-satu golongan atau kaum.1

Dunia permajalahan Melayu adalah suatu fenomena yang bukan sahaja menarik, tetapi mengagumkan. Walau bagaimanapun, tidak banyak majalah yang diterbitkan pada waktu ini dapat bertahan lama. Al-Imam yang diterbitkan pada tahun 1906 misalnya mampu bertahan selama dua tahun sahaja. Bagi majalah yang bersaiz pasaran kecil seperti Al-Hidayah (1916), penjualannya hanya bertumpu di Kelantan.

Jelas di sini bahawa penerbitan majalah pada zaman sebelum perang bukanlah satu jenis perniagaan yang viable untuk dijalankan. Selain pasaran yang terbatas, pengedaran majalah mempunyai masalah kerana sistem perhubungan masih belum begitu efisien. Walau bagaimanapun, penerbitan majalah tetap diteruskan atas kesedaran bahawa majalah boleh dijadikan sebagai satu saluran penyampaian maklumat dan pendidikan kepada masyarakat Melayu pada zaman itu.

Majalah Melayu yang sebenar diterbitkan di Kuala Kangsar oleh masyarakat Melayu sendiri ialah majalah berunsurkan agama, iaitu Khizanah Al Ulum (1904) dan Al-Imam (1906) untuk kepentingan bangsa dan agama Islam. Penerbitan majalah ini memberi pengaruh besar pada masyarakat Melayu ketika itu dan dipasarkan sehingga ke luar negeri. Walaupun hanya bertahan dalam tempoh yang agak singkat, majalah tersebut telah menggerakkan momentum dalam penerbitan Melayu. Sebelum Perang Dunia Kedua, senario penerbitan majalah Melayu banyak dipengaruhi oleh semangat yang diasaskan oleh Al-Imam walaupun jumlah majalah agama hanya 19.2 peratus daripada keseluruhan majalah yang diterbitkan waktu itu.

Perkembangan dunia penerbitan majalah dan pertambahan minat yang meluas dalam kalangan wanita juga telah mendorong berkembangnya penerbitan majalah berkaitan wanita. Pada awal tahun 1930-an, terdapat dua majalah yang cuba mengetengahkan masalah wanita. Yang pertama ialah Kenchana, diterbitkan di Kota Bharu pada bulan April 1930 dan disunting oleh Asaad Shukri bin Haji Muda. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1905 adalah penggiat sastera dan budaya yang terkenal di Kelantan.

Majalah Kenchana diterbitkan pada tarikh 11 Oktober 1947. Atur letak gambar dan teks majalah ini disusun pada ketika itu hampir menyamai atur letak yang terdapat dalam majalah-majalah lain ketika ini. Semua halaman dalam majalah ini menggunakan warna hitam dan putih, manakala gambar dan teks berwarna hanya terdapat pada bahagian muka hadapannya. Konteks kandungan Kenchana banyak berfokus pada isu kebangsaan dan hal ehwal masyarakat di Tanah Melayu pada ketika itu. Majalah wanita yang kedua pula ialah Bulan Melayu yang diterbitkan di Johor Bahru pada bulan Jun 1930. Bulan Melayu diterbitkan oleh seorang wanita bernama Hajah Zin bte Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain. Beliau yang dilahirkan pada 22 Januari 1903 adalah tokoh pendidik dan politik wanita yang terkenal di negeri Johor.

Bulan Melayu menjadi majalah rasmi Persekutuan Perempuan Melayu Johor yang kebanyakan ahlinya terdiri daripada golongan pendidik. Bulan Melayu juga banyak membincangkan soal ekonomi, terutamanya peranan kaum wanita dalam bidang perniagaan. Majalah ini menjadi pencetus idea kepada dasar pandang ke Timur yang diamalkan oleh Tanah Melayu pada ketika ini. Bulan Melayu menggalakkan kaum wanita di negara ini untuk menceburi perniagaan dan mencontohi kejayaan yang dikecapi oleh wanita Jepun yang sanggup berkorban demi kepentingan keluarga masing-masing.

Jelas di sini bahawa majalah yang diterbitkan pada zaman sebelum kemerdekaan banyak ditunjangi oleh golongan cendekiawan, pemimpin masyarakat, dan nasionalis yang berhasrat untuk berkongsi idea dan mengubah paradigma masyarakat Melayu. Selain itu, penulis cuba menerapkan unsur-unsur nasionalis dengan harapan untuk memberi kesedaran dan menyokong usaha untuk mencapai kemerdekaan.

Faktor Agama dan Kebangsaan

Perkembangan awal penerbitan majalah Melayu negara ini banyak didorong oleh dua faktor, iaitu eksploitasi terhadap agama dan semangat kebangsaan. Persoalan berkaitan agama menjadi teras dalam dunia permajalahan Melayu sekurang-kurangnya sebelum meletus Perang Dunia Kedua pada penghujung tahun 1941. Persoalan agama bukan semata-mata menjadi asas penting dalam persembahan editorial kebanyakan majalah, malah terdapat hampir 30 majalah yang keseluruhannya berkaitan agama.

Hanya pada dekad 1930-an, barulah muncul persoalan selain agama dalam permajalahan Melayu, antaranya yang berhubung dengan semangat kesusasteraan dan kebangsaan. Selain itu, ada majalah yang mendukung matlamat memberikan kesedaran, pengetahuan dan pendidikan kepada orang Melayu supaya sedar akan kebangsaan mereka dan seterusnya memajukan diri masing-masing untuk mengambil bahagian yang sebelum ini dikuasai oleh “orang asing”. Namun demikian, jumlah pembaca ketika ini amat terbatas disebabkan pendidikan yang belum meluas, di samping batasan pengedaran majalah yang ada. Oleh sebab itu, kebanyakan majalah dalam era ini tidak mampu bertahan lama di pasaran.

Walaupun semua majalah yang diterbitkan sebelum perang terpaksa dihentikan penerbitannya, momentum permajalahan Melayu tidak terhenti semasa Perang Dunia Kedua. Hal ini demikian kerana beberapa buah majalah yang menjadikan negara Jepun sebagai kiblat dan subjek utama telah diterbitkan.

Ketika ini, majalah yang dibenarkan beroperasi merupakan majalah yang condong terhadap propaganda cita-cita “Kemakmuran Bersama di Asia Timur Raya” seperti Fajar Asia (1943) dan Semangat Asia (1944). Isi kandungan majalah Fajar Asia banyak menyalurkan kandungan berkenaan semangat ketuanan bangsa dan menentang penjajahan dari barat terutamanya pihak Inggeris dan Belanda di rantau Asia Tenggara. Namun begitu, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, dunia permajalahan Melayu kembali aktif dengan penerbitan majalah sastera dan budaya seperti Hiboran (1946), Mastika (1946), dan Mutiara (1948).

Dari tahun 1957 hingga 1959, momentum industri permajalahan Melayu menjadi perlahan disebabkan perubahan logistik ekoran perubahan pusat pentadbiran Tanah Melayu dari Singapura ke Kuala Lumpur. Perubahan itu menyebabkan sistem pengedaran majalah dan aktiviti percetakan dan pasaran iklan terpaksa dirancang semula. Proses perubahan sistem tulisan Jawi kepada Rumi turut menjejaskan perkembangan dunia permajalahan Melayu. Kemunculan radio massa baharu, iaitu Radio Malaya (1959) dan Televisyen Malaysia (1963) mulai mengisi masa terluang penduduk. Tambahan pula, bahan bacaan yang menjadi pilihan utama masih lagi dikuasai akhbar.

Keadaan ini bertambah buruk apabila banyak jabatan atau organisasi kerajaan menerbitkan majalah hanya untuk memenuhi tanggungjawab sosial dalam usaha membangunkan masyarakat yang berhadapan dengan masalah kekurangan bahan bacaan. Contohnya, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) telah menerbitkan Dewan Bahasa (1957), Dewan Masharakat (1963), dan Dewan Pelajar (1967). Dengan penerbitan majalah yang tidak bersandarkan pertimbangan ekonomi pasaran, dunia permajalahan Melayu menjadi lembap kerana penerbit swasta yang bergantung pada jualan naskhah majalah tidak berupaya bersaing dengan majalah yang diberi sokongan kewangan oleh kerajaan atau organisasi awam.

Era Penerbitan Majalah Hiburan Komersil

Tahun 1970 hingga 1979 menyaksikan kebangkitan ketara penerbitan majalah hiburan apabila semakin banyak penerbit swasta melibatkan diri dalam industri penerbitan majalah Melayu. Majalah hiburan sensasi berkisar soal artis dan filem serta majalah hiburan separa lucah semakin popular ketika itu. Namun begitu, mulai Januari 1976, setelah tindakan pengharaman dikenakan terhadap penerbitan majalah berunsurkan lucah, dunia permajalahan Melayu terus dipimpin oleh majalah hiburan seperti Utusan Radio dan Televisyen (URTV) pada tahun 1970, Variapop (1975), Varia Filem (1976), Varia Lagu (1976), Kisah Cinta (1976), Sarina (1976), dan Selekta Femina (1978).

Pada masa yang sama majalah komik dan humor turut berkembang pesat dengan pimpinan majalah Gila-Gila (1978) terbitan Creative Enterprise. Edarannya mencapai 50,000 naskhah sebulan dan diterbitkan dua kali sebulan. Selain itu, terbit Telatah (1981) dan Mat Jenin (1981), tetapi hanya untuk tempoh yang singkat kerana kedua-duanya tidak mampu menyaingi Gila-Gila dan Geli Hati. Namun demikian, kejayaan Gila-Gila yang disifatkan sebagai instant itu membawa padah apabila berlakunya salah pengurusan kewangan syarikat, sekali gus menyebabkan orang yang mengilhamkannya, Meor Shariman dan Mishar terpaksa meninggalkan Creative Enterprise. Syarikat itu kemudiannya diuruskan oleh Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein, dan Azman Yusof.

Selepas meninggalkan Gila-Gila, Mishar menubuhkan Creative Corporation dan menerbitkan komik Batu Api (1984). Pada waktu ini, muncul banyak majalah berbentuk komik dan humor oleh kartunis-kartunis terkenal. Kartunis Yamin Daud, misalnya menerbitkan komik Fotorama (1984), sementara Kamal Amir dan Poe pula menerbitkan Kreko (1984), diikuti pula dengan penerbitan semula Telatah Olok-Olok (1986) oleh Zaree Mahmood. Majalah humor lain juga muncul di pasaran seperti Loyar Beruk (1985), Toyol (1985), Gelak (1987), Geletek (1988), Jenakarama (1989), Seloka 21 (1989) dan Gelagat (1989).

Selain itu, majalah berkonsepkan dakwah Islam memperlihatkan semula pengaruhnya setelah tercetus Revolusi Iran. Kemunculan majalah pendidikan yang seiring dengan sukatan pelajaran sekolah bagi membantu persediaan pelajar menghadapi peperiksaan awam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembaca muda.

Walaupun muncul banyak majalah di pasaran, majalah Melayu pada dekad 1970-an sememangnya sukar untuk menarik pengiklan, terutamanya pengiklan bumiputera kerana kedudukan ekonomi golongan bumiputera yang masih ketinggalan.2 Oleh itu, survivaliti majalah Melayu bergantung pada sirkulasi, kecuali majalah bertemakan wanita yang menunjukkan daya tahannya kerana semakin banyak kaum wanita yang berpendidikan membacanya. Selepas kemunculan majalah Wanita (1969) oleh Utusan Melayu, muncul majalah wanita lain seperti Keluarga (1976), Jelita (1976), Femina (1977), Selekta Femina (1978), Alam Wanita (1978), dan Widuri (1979).

Pada era perkembangan majalah Melayu, iaitu pada tahun 1980 hingga 1989, terdapat lebih 50 buah majalah dari dekad sebelumnya beredar di pasaran. Perkembangan ini menjadi petanda sihat bahawa dunia permajalahan Melayu berkembang pesat dengan persaingan sihat. Majalah-majalah yang muncul ketika ini juga lebih bersifat khusus dan disasarkan kepada pembaca-pembaca tertentu. Pengkhususan majalah diberikan lebih tumpuan pada era kematangan, iaitu pada tahun 1990 hingga 1999 kerana adanya persaingan sengit dalam dunia permajalahan Melayu. Pada waktu ini, majalah perniagaan seperti Usahawan Malaysia (1990), Pancaniaga (1990), Motivasi Niaga (1991), Dewan Ekonomi (1994), Dataniaga (1996), Skop Niaga (1997) dan majalah teknikal seperti Majalah PC (1997) mulai muncul.

Majalah human interest masih meraih bilangan pembaca yang tertinggi dalam dekad 2000-an. Menurut Adi Satria, Pengarah Urusan Utusan Media and Sales (UMES), terdapat 34 buah majalah klon Mastika yang cuba menyainginya.3 Namun begitu, sehingga tahun 2005, penerbitan majalah bertemakan lelaki mula menjadi fokus sebilangan penerbit kerana minat terhadap majalah ini mula meningkat dalam kalangan lelaki muda yang mementingkan kerjaya, kesihatan, dan gaya hidup moden. Oleh itu, Utusan Karya misalnya menerbitkan majalah UMPH pada September 2004 khusus untuk menyaingi satu-satunya majalah bertemakan lelaki iaitu Maskulin (2002) terbitan Kumpulan Media Karangkraf.

Pada bulan November 2005, dua buah gergasi penerbitan majalah, iaitu ACP Magazine dan Hearst Magazine International melancarkan isu pertama majalah Cosmopolitan versi bahasa Melayu di Malaysia. Lazimnya, kegiatan cross border publishing di negara ini melibatkan majalah luar negara yang berbahasa Inggeris. Namun begitu, kali ini ACP dan Hearst mengorak langkah baharu dengan percubaan untuk menguasai pembaca wanita Melayu muda yang berumur antara 20-an hingga 30-an yang belum atau baru berumah tangga, berkerjaya dan mempunyai gaya hidup metropolitan.

Kedua-dua penerbit ini mengambil peluang mengisi kekosongan dalam industri permajalahan Melayu yang dikatakan tidak mempunyai sebuah majalah wanita Melayu tempatan yang dapat menepati cita rasa golongan wanita muda metropolitan ini. Tambahan pula, penglibatan jenama Cosmopolitan yang amat masyhur dalam penerbitan majalah Melayu akan merancakkan lagi industri periklanan Melayu. Edisi pertama Cosmopolitan Malaysia mempunyai jumlah naskhah mula cetak sebanyak 40,000 naskhah dan dijual dengan harga RM5.50 senaskhah.

Jelaslah bahawa perkembangan sejarah penerbitan majalah berbahasa Melayu sangat berkait rapat dengan faktor sosial sekeliling seperti pendidikan, agama, dan kebudayaan. Perkembangan populasi penduduk khususnya golongan muda yang meningkat pada era pascaperang juga mempengaruhi prestasi pertumbuhan dan permintaan terhadap majalah bercorak hiburan di negara ini.


Rujukan

1. Hamedi Mohd Adnan. 2002. Direktori Majalah-Majalah Melayu Sebelum Merdeka. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

2. Hamedi Mohd Adnan. 2003. Penerbitan Majalah di Malaysia: Isu-Isu dan Cabaran. Shah Alam: Karisma Publication.

3. Adi Satria. 2003. Cabaran iklan dalam penerbitan majalah berbahasa Melayu. Kertas kerja dalam Simposium Dunia Permajalahan Melayu 2003, Menara DBP, Kuala Lumpur, 12-13 Ogos.


Esei ini diambil daripada buku Penerbitan Majalah Hiburan dalam Era Digital (Penerbit UKM, 2018) karya Shahrul Nazmi Sannusi dan Siti Ezaleila Mustafa, dengan sedikit suntingan.


Beli Buku Ini