Surah-Surah Terlarang: Persoalan Nasional — Sebuah Ulasan 5 September 2022 – Posted in: Book Reviews

Oleh: Razan Rosman

Siri Telaah Buku anjuran Kawah Buku dan PPAS telah melabuhkan tirainya beberapa minggu sudah. Buku yang menjadi bahan telaah kali ini berjudul Surah-Surah Terlarang: Persoalan Nasional oleh Hishamuddin Rais. Persoalan Nasional merupakan himpunan pojok mingguan di bawah “Siri Merakam Sejarah” yang terbit di portal Suara Keadilan, Tukar Tiub, dan Malaysiakini sekitar 2017-2018. Latar penulisan ini adalah suasana menjelang PRU-14 pada tahun 2018.

Mereka yang setia mengikuti penulisan Hishamuddin Rais pasti akan mendekati Persoalan Nasional dengan waspada. Jangan-jangan buku ini adalah sebahagian daripada kempen untuk meraih sokongan masyarakat Melayu ketika pilihan raya. Apalagi jika kita lihat tempoh waktu pojok-pojok ini diterbitkan—seolah-olah ia disusun ke arah grand finale iaitu PRU-14. Memang, Hishamuddin Rais terkenal sebagai sosok propagandis ulung di Malaysia.

Kita juga sedia maklum bahawa Hishamuddin Rais tidak pernah lokek dengan sindiran-sindiran pedas yang bikin sesetengah orang tidak senang duduk; dan Persoalan Nasional ini masih pekat dengan gaya bahasa beliau yang provokatif itu—walau sebaik mana pun ia cuba dilunakkan oleh barisan editor.

Justeru mengapa Persoalan Nasional ini penting sampaikan Kawah Buku berani menjadikannya penerbitan sulung mereka? Tidak cukup dengan menerbit, Kawah Buku malah lanjut mengadakan siri telaah dengan rentang masa lima minggu, mengulitinya bab demi bab.

Saya fikir Persoalan Nasional mewakili suara hati setiap daripada kita yang menghasratkan pembinaan suatu cita bangsa Malaysia yang murni, yakni jati diri Malaysia yang disepakati dan merangkum segenap segmen sosial yang ada. Perbahasan mengenai persoalan nasional yang dibangkitkan oleh buku ini penting untuk diangkat, dibicarakan, malah dikritik secara terbuka.

Lalu atas dasar tanggungjawab sebagai warga, pertamanya sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghidupkan ruang awam menerusi wacana-wacana yang menyumbang kepada pemecahan permasalahan-permasalahan yang terkait langsung dengan masyarakat.

Keduanya, dan terpenting, kita kelihatannya tidak lagi membicarakan perihal persoalan nasional dengan serius. Dalam erti kata, letak duduk kita sebagai sebuah bangsa dengan hasrat, iltizam, dan impian yang dikongsi dan disepakati secara bersama. Kali terakhir persoalan nasional ini dibahaskan di peringkat kebangsaan—dan diikuti dengan penuh minat oleh pemikir-pemikir tempatan—adalah Debat Kebudayaan antara Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Lim Kit Siang pada 1968.

Sekonyong-konyong terjadinya tragedi 13 Mei 1969, diikuti dengan Dasar Ekonomi Baru 1971, dan kemudian fasa developmentalisme Mahathir pada 1980-an. Wacana kebudayaan dan kebangsaan perlahan-lahan dipinggirkan daripada wacana awam dan digantikan dengan unjuran-unjuran angka yang menunjukkan tahap kegembiraan rakyat Malaysia. Pendapatan isi rumah kian meningkat, tetapi kita saban hari masih lagi menonton kebobrokan yang berulang daripada para politikus yang kita pilih tanpa jemu.

Maka atas dua sebab inilah Persoalan Nasional, meski sebagai sebuah karya genre popular, menjadi wajar untuk dibahaskan. Sementelahan dengan kegawatan politik dan kemelut kepimpinan yang kita saksikan dewasa ini.

Biduk Lalu Kiambang Bertaut

Persoalan Nasional bersandar pada tiga tema besar iaitu: (1) persoalan nasional; (2) psike Melayu; dan (3) keperibadian nasional. Ketiga-tiga tema besar ini pula digerakkan oleh persoalan “yang lain” yang menjadi arus bawah yang mempengaruhi alur gerak wacana-wacana mengenai persoalan nasional dari 1874 hingga sekarang.

Bagi Hishamuddin Rais, krisis politik yang dialami pada 2018 dan lanjut sampai sekarang adalah manifestasi kegagalan kita untuk menemukan—atau tepatnya menyepakati—suatu cita budaya yang dapat dijadikan teras bagi pembentukan sebuah bangsa Malaysia. Wacana yang dibawa oleh Hishamuddin Rais adalah wacana Melayu-Kemelayuan.

Lewat sorotan sejarah, beliau melihat bahawa kehadiran yang lain secara besar-besaran akibat dasar kolonial telah mengubah landskap sosial dan politik di Tanah Melayu lalu mempengaruhi perkembangan sahsiah dan pandangan dunia Melayu—yang beliau istilahkan sebagai psike Melayu.

Secara panjang lebar, beliau menambah bahawa kegagalan nasionalisme Melayu suatu ketika dahulu untuk memartabatkan budaya pentakrif “peribumi”, dan ditambah dengan pemilikan ekonomi yang lemah, telah melahirkan pandangan sarwa yang bersifat fatalisme dalam kalangan Melayu—menjadi bahagian daripada psike Melayu. Pelecehan bahasa, peminggiran soal kebudayaan, dan sifat reaksionari yang ada pada masyarakat sekarang merupakan antara manifestasi kegagalan menemukan cita bangsa tersebut.

Terakhirnya, persoalan nasional yang tak kunjung selesai dilihat menjadi asbab kepada prasangka tebal antara kaum terutama dalam kalangan tiga etnik terbesar di Semenanjung. Jalur-jalur etnik dan agama menjadi unsur utama yang mempengaruhi wacana-wacana awam khususnya dalam aspek-aspek yang menyentuh sensitiviti kelompok seperti bahasa, pendidikan, dan kebudayaan. Ketiadaan budaya pentakrif tidak sahaja meninggalkan lompong besar dalam pemaknaan harian terhadap gagasan bangsa Malaysia, tetapi juga tidak memungkinkan pencarian jalan tengah bagi pembentukan dasar-dasar yang lebih inklusif dan bermakna.

Adapun jurang yang wujud dalam masyarakat ini sekali gus menjadi hambatan yang merencatkan pembinaan dialog-dialog jernih yang dapat menjalin keterangkuman antara kepelbagaian aspirasi yang wujud dalam masyarakat. Lalu, kita terus terperangkap dalam kemelut perkauman yang tak kunjung habis.

Di sini, Hishamuddin Rais jelas. Persoalan nasional harus dituntaskan. Keperibadian nasional harus dicari. Masyarakat Melayu perlu memperbetul kemelut kepimpinan politiknya. Hal yang sama perlu dilakukan oleh kelompok-kelompok etnik lain. Suatu budaya pentakrif yang disepakati bersama harus diangkat. Bangsa bagi masyarakat Malaysia harus ditemukan.

Namun, Hishamuddin Rais tidak menawarkan jalan penyelesaian bagi kemelut persoalan nasional yang kita hadapi sekarang. Ocehan beliau hanyalah hamparan permasalahan yang kita geluti kini; memukul kita dengan realiti. Begitupun, buku ini dapatlah dilihat sebagai perintis bagi perbahasan-perbahasan lanjut berkaitan persoalan nasional. Harapan beliau, ia membuka jalan kepada wacana-wacana bermakna dalam pencarian bangsa bersama.

Refleksi Perbincangan Kawah Buku

Membaca Persoalan Nasional serasa membaca Dilema Melayu (sans elemen Darwinisme Sosial) yang membawa kita menonton episod-episod politik yang menjadi manifestasi kegagalan kepimpinan politik Melayu untuk menawarkan kestabilan politik dan kesaksamaan sosial semasa. Jika Mahathir Mohamad melihat ekonomi sebagai jalan penyelesaian bagi kemelut persoalan nasional, Hishamuddin Rais pula menoleh kepada pemartabatan sebuah identiti nasional berteraskan kebudayaan peribumi.

Bacaan intim terhadap karya ini menyedarkan kita tentang ciri konstruk (constructedness) yang sering diabaikan dalam menanggapi wacana-wacana identiti seperti etnik. Idea “Tanah Melayu”, “Alam/Dunia Melayu”, dan “Melayu-Kemelayuan” yang banyak disentuh oleh Hishamuddin Rais dalam Persoalan Nasional umumnya digunakan tanpa soal oleh orang ramai serta dianggap sebagai sudah terberi. Hakikatnya ia adalah suatu idea yang dibentuk dari proses sejarah yang panjang.

Kesinambungan negara-bangsa moden yang kita namakan Malaysia pada hari ini adalah suatu proses sejarah yang panjang. Justeru, proses sejarah yang bermuara kepada Malaysia hari ini adalah politi-politi tua silam yang sekarang kita kategorikan sebagai “politi-politi tua Melayu”. Ia menjadi semacam tali pusat kepada pembentukan Malaysia pada hari ini buat sebahagian besar daripada masyarakat Melayu khususnya.

Pengajuan semacam ini lanjut memperlihatkan bahawa kesedaran berbangsa adalah fenomena moden—sejauh gagasan tentang negara-bangsa (nation-state) diperkirakan. Dalam ruang lingkup perbahasan mengenai negara hukum moden, bangsa-kebangsaan/nasion-nasionalisme (nation-nationalism) menjadi unsur pemeri yang memacu pembentukan konsep kewarganegaraan sesebuah negara dan, terutama sekali, mencirikan binaan sosial yang menopang konsep kewarganegaraan tersebut. Dan sememangnya kesedaran berbangsa sentiasa hadir dengan kehendak untuk berbangsa.

Adapun kesedaran berbangsa itu mendahului kehendak untuk berbangsa. Jika kesedaran berbangsa merupakan realisasi tentang hakikat boleh-wujud kelompok yang terikat dengan kekhususan sejarahnya, maka kehendak untuk berbangsa pula adalah pelahiran aspirasi kelompok dengan hasrat yang kuat untuk mengangkat aspirasi tersebut sebagai sebahagian, jika pun bukan keseluruhan, daripada takrif kenegaraan-kewarganegaraan.

Dalam hal ini, Ruhan Shahrir menyediakan landasan untuk kita berlepas ke dalam perbahasan ini. Beliau melihat kesedaran berbangsa sebagai sebuah proses menyaring—anggota (warganegara), ingatan (memori selektif), unsur budaya (identiti pengikat), dan nilai (tafsiran sepunya). Hal ini tidak sahaja berlaku antara-kelompok, tetapi boleh berlaku secara dalaman (intra-kelompok) dan masing-masing bergulat untuk menjadi pemenang tunggal. Kepelbagaian aspirasi ini juga disebut oleh Shamsul AB sebagai bangsa idaman (nations-of-intent).

Lewat pemahaman ini, kita mulai dapat menangkap kerencaman yang wujud dalam pencarian keperibadian kebangsaan Malaysia. Pencarian ini memerlukan tekad politik yang kuat daripada segenap aspirasi yang ada untuk menyepakati sebuah cita bangsa bersama. Saya kira awal mula bagi pembinaan naratif bersama ini adalah lewat pengakuan (acknowledgment) dan rekonsiliasi dengan masa lampau—bahawa realiti Malaysia yang kita hidupi sekarang ini adalah realiti kehidupan bersama tanpa yang lain.

Persoalan Nasional dapat dijadikan pemula untuk kita membicarakan kembali persoalan nasional, sekaligus mengarah kepada, meminjam konsep Ruhan Shahrir, pembentukan nasionalisme Malaysia terangkum.


Tulisan ini pertama kali diterbitkan oleh Suara Nadi, sebuah periodikal terbitan Penang Institute pada 5 September 2022. Disiarkan semula dengan izin, beserta sedikit suntingan.


Razan Rosman adalah penyelidik di Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE), Universiti Sains Malaysia.